Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Richard Branson tolak undangan SG debat isu hukuman mati dengan Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
Richard Branson tolak undangan SG debat isu hukuman mati dengan Shanmugam

Hartawan Richard Branson dan Menteri MHA, K Shanmugam. (Gambar-gambar: AFP, CNA)

Diterbitkan : 31 Oct 2022 11:28AM Dikemas Kini : 31 Oct 2022 11:34AM
SINGAPURA: Hartawan Britain Richard Branson menolak undangan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk berdebat mengenai pendekatan Singapura dalam menangani masalah dadah dan hukuman mati.

Menurutnya perbincangan itu "memerlukan suara-suara tempatan" dan perdebatan di televisyen "tidak dapat membantu menghuraikan isu rumit berkaitan hukuman mati".

Dalam surat terbukanya yang dimuat naik di blog beliau pada Isnin (31 Okt), Encik Branson berkata perbincangan sedemikian "akan menjadikan pedebatan yang serius seakan satu pertunjukan".

Sebaliknya beliau menggesa MHA membincangkan isu itu dengan pihak-pihak berkepentingan seperti aktivis, peguam dan wartawan.

"Memansuhkannya bukan, seperti yang ramai berhujah, satu konsep Barat yang dipaksa ke atas seluruh dunia," tambahnya. "Ini adalah tentang hak manusia sejagat dan aspirasi bersama kemanusiaan bagi memajukan kesamarataan, kesaksamaan, maruah dan kebebasan di mana-mana sahaja, untuk semua orang."

Dalam suratnya itu yang ditujukan kepada Menteri MHA, Encik K Shanmugam, Encik Branson juga menyuarakan "rasa penuh hormat bagi Singapura dan rakyatnya serta segala pencapaian negara anda sejak puluhan tahun yang lalu".

"Atas dasar rasa hormat inilah yang rasa terpanggil untuk bersuara apabila saya melihat keadaan menjadi teruk dengan pelaksanaan hukuman mati oleh Singapura," kata beliau.

"Dan bukan saya seorang sahaja yang menyuarakan hal ini. Terdapat ramai rakyat Singapura, termasuk peguam, akitivis hak manusia, pertubuhan masyarakat awam dan pihak-pihak lain, yang menyuarakan keprihatinan serupa."

Encik Branson juga berkata hukuman mati bagi kesalahan dadah adalah "keterlaluan dan tidak berkesan" dalam menangani masalah tersebut.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Singapura "adalah antara sekumpulan kecil negara" yang terus melaksanakan hukuman mati, serta salah satu yang melakukan demikian bagi kesalahan dadah.

Encik Branson sebelum ini lantang menyuarakan pandangannya terhadap hukuman mati yang dilaksanakan di Singapura bagi jenayah seperti pengedaran dadah, dan turut bersuara terhadap hukuman mati yang dijalankan ke atas Nagaenthran Dharmalingam awal tahun ini.

"Sebagaimana anda tahu, saya adalah anggota Suruhanjaya Global berhubung Dasar Dadah, kumpulan pemimpin global yang menyokong perubahan berpanjangan, termasuk ramai mantan pemimpin negara dan pemerintah yang disegani," kata beliau.

"Kami sudah mengkaji langkah untuk melawan dadah yang gagal sejak 15 tahun lalu, dan dengan satu suara, kami menggesa pemerintah-pemerintah supaya menganggap penggunaan dadah sebagai satu isu kesihatan, dan untuk berhenti menjatuhkan hukuman yang tidak perlu dan tidak berkesan ke atas individu.

"Para anggota Suruhanjaya berbincang dengan pemerintah dan pihak-pihak berkepentingan di merata dunia dan saya rasa anda harus mengalu-alukan dialog sebegini rupa."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan