Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Richard Branson tidak hormat hakim & sistem keadilan SG dengan andaiannya terhadap hukuman mati, tegas MHA

Anggaran Waktu Membaca:
Richard Branson tidak hormat hakim & sistem keadilan SG dengan andaiannya terhadap hukuman mati, tegas MHA

Gambar: AFP

Diterbitkan : 25 Apr 2023 02:48PM Dikemas Kini : 25 Apr 2023 02:49PM
SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Selasa (25 Apr) menyatakan bahawa pandangan hartawan Britain, Richard Branson, mengenai seorang warga Singapura yang dijatuhi hukuman mati, menunjukkan rasa "tidak hormat" kepada hakim serta sistem keadilan jenayah negara ini.

Tangaraju Suppiah, warga Singapura berusia 46 tahun, disabit bersalah kerana bersubahat mengedar lebih 1 kilogram kanabis dan dijatuhi hukuman mati pada 9 Oktober 2018. Dia dijadual digantung pada Rabu (26 Apr).

Pada Isnin (23 Apr), Encik Branson menulis dalam satu catatan blog bertajuk "Mengapa Tangaraju Suppiah tidak patut mati", sambil mendakwa bahawa sabitan yang dikenakan ke atas Tangaraju tidak memenuhi piawaian dan bahawa "Singapura berkemungkinan akan membunuh seorang lelaki yang tidak bersalah".

Dalam responsnya, MHA menekankan bahawa ia "jelas tidak benar sama sekali".

Ia menambah adalah "dikesali bahawa Encik Branson, dalam ingin berhujah mengenai kesnya, memilih untuk kononnya mempunyai pengetahuan lebih daripada Mahkamah Singapura, yang sudah meneliti kes tersebut dengan terperinci selama tempoh lebih tiga tahun".

Kementerian tersebut menyatakan bercanggah dengan dakwaan Encik Branson bahawa Tangaraju "sebenarnya tidak berurusan langsung sama sekali" dengan dadah ketika dia diberkas, bukti jelas menunjukkan bahawa dia menyelaraskan penghantaran dadah untuk pengedaran.

"Tangaraju terbabit dalam satu kes dengan dua lagi individu, di mana nombor telefonnya digunakan untuk berhubungan dengan dua lagi yang terlibat dalam penghantaran kanabis," jelas MHA.

"(Hujah) pembelaan Tangaraju adalah dia bukan individu yang berhubungan dengan dua lagi yang terlibat dalam kes tersebut. Namun, Mahkamah Tinggi mendapati bukti Tangaraju sukar dipercayai dan mendapati dia berhubungan dengan dua lagi dan merupakan individu yang menyelaraskan penghantaran dan resit kepada dirinya, menerusi dua yang lain."

MHA menambah Mahkamah Tinggi juga mendapati Tangaraju mempunyai niat untuk mengedar dadah kanabis.

"Setelah pemeriksaan dijalankan ke atas semua bukti, termasuk (hujah) pembelaan Tangaraju, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa tuduhan terhadap Tangaraju terbukti melampaui keraguan munasabah," jelas kementerian tersebut. Ia menyatakan bahawa Tangaraju diwakili oleh peguam bela sepanjang proses mahkamah.

Encik Branson lantang menyuarakan pandangannya mengenai hukuman mati yang dikuatkuasakan Singapura terhadap jenayah seperti pengedaran dadah. Tahun lalu, beliau juga bangkit menentang hukuman mati yang dikenakan ke atas pengedar dadah yang disabit kesalahan, Nagaenthran Dharmalingam.

Pada hujung tahun lalu, MHA menyatakan pihaknya telah mengundang Encik Branson ke Singapura untuk berdebat dengan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berhubung kes tersebut, yang akan disiarkan secara langsung di televisyen.

Encik Branson bagaimanapun menolak undangan tersebut, dengan mengatakan bahawa perbahasan mengenai hukuman mati "memerlukan suara-suara penduduk tempatan".
Dalam responsnya pada Selasa, MHA menekankan bahawa meskipun terdapat beberapa penjelasan yang dibuat sebelum ini, Encik Branson "terus-menerus membuat andaian terhadap pendekatan Singapura berhubung dadah, temasuk pelaksanaan hukuman mati".

Selain Encik Branson, kenyataan juga dikeluarkan oleh Delegasi Kesatuan Eropah ke Singapura dan Anggota Parlimen Australia Graham Perrett.

Kenyataan Kesatuan Eropah (EU), yang dikeluarkan pada Isnin bersama dengan misi diplomatik anggota-anggota negara EU, Norway dan Switzerland di Singapura, menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan pelaksanaan hukuman mati terhadap Tanagaraju dan sebaliknya, meringankan hukumannya kepada bukan hukuman mati.

Sementara itu, Encik Perrett menyuarakan pandangannya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis lalu (20 Apr), menyatakan bahawa beliau "bimbang pelaksanaan hukuman mati ke atas Tangaraju melanggar piawai undang-undang antarabangsa".

Pada Selasa, MHA menekankan pendirian "sifar-tolak ansur" Singapura dan apa yang digelarnya sebagai "pendekatan berbilang serampang" untuk menangani penyalahgunaan dadah, yang mana termasuk program pemulihan.

"Hukuman mati adalah komponen penting dalam sistem keadilan jenayah Singapura dan telah berkesan dalam memastikan Singapura kekal selamat," tekan MHA, sambil menambah bahawa ia diguna pakai "dengan bijaksana dengan kawal lindung yang ketat".
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan