Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Richard Branson diundang bahas dengan Shanmugam berhubung dasar antidadah, hukuman mati SG

Anggaran Waktu Membaca:
Richard Branson diundang bahas dengan Shanmugam berhubung dasar antidadah, hukuman mati SG

Hartawan Richard Branson. (Gambar: AFP)

SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan pihaknya mengundang hartawan Britain, Richard Branson, ke Singapura bagi satu perbahasan yang akan ditayangkan secara langsung di televisyen dengan menteri K Shanmugam berhubung pendekatan negara ini terhadap dadah dan hukuman mati.

Encik Branson lantang menyuarakan pendapatnya berhubung hukuman mati yang dilaksanakan Singapura bagi jenayah seperti pengedaran dadah, dengan yang terbaru dalam catatan di blognya pada 10 Oktober lalu.

Awal tahun ini pula, beliau bersuara terhadap hukuman mati yang dijalankan ke atas pengedar dadah yang disabit kesalahan, Nagaenthran Dharmalingam.

Sebagai memberi respons kepada catatan di blognya, MHA menegaskan dalam kenyataan media pada Sabtu (22 Okt) bahawa beliau membuat dakwaan palsu tentang sikap berat sebelah terhadap satu-satu kaum dan layanan kepada para peguam bela.

Kementerian itu juga menekankan pendirian Singapura terhadap dadah, dengan menyatakan hukuman mati itu mempunyai kesan pencegahan yang jelas ke atas para pengedar dadah di Singapura.

"Keutamaan kami adalah untuk melindungi Singapura dan rakyat Singapura daripada ancaman dadah," jelas MHA.

"Kami mengambil pendekatan pencegahan bahaya yang menyeluruh, termasuk pelaksanaan hukuman mati ke atas pengedar dadah yang mengedar jumlah besar dadah dan mahu meraih keuntungan dengan membinasakan kehidupan orang lain."

Mengulas tentang undangan kepada Encik Branson bagi membahaskan isu itu, MHA menyatakan: "Penerbangan dan penginapan Encik Branson ke Singapura akan dibiayai.

"Encik Branson boleh menggunakan platform ini untuk menunjukkan kesilapan cara kami kepada rakyat Singapura dan mengapa Singapura harus memansuhkan undang-undang yang sudahpun menjadikan penduduk kami selamat daripada ancaman global penyalahgunaan dadah."

Dalam catatan di blognya pada 10 Oktober, Encik Branson berkata Nagaenthran memiliki "masalah intelektual yang jelas terbukti" dan tetap digantung meskipun berdepan keadaan itu.

"Kami sudah menjelaskan beberapa kali bahawa ini tidak benar. Mahkamah Singapura mengekalkan kedudukannya bahawa Nagaenthran tahu apa yang dia lakukan dan bahawa dia tidak mempunyai masalah intelektual," jelas MHA pada Sabtu (22 Okt).

"Encik Branson juga mencadangkan bahawa Singapura mencabuli komitmen antarabangsa kami untuk melindungi golongan kurang upaya dengan melaksanakan hukuman mati ke atas Nagaenthran. Ini juga tidak benar, kerana Nagaenthran tidak mempunyai masalah intelektual."

Encik Branson juga menyentuh tentang dakwaan yang mengesyaiki berlaku sikap berat sebelah terhadap satu-satu kaum dan bahawa mereka yang dihukum mati sejak kebelakangan ini adalah pengedar dadah berskala kecil.

"Dakwaan ini adalah palsu. Encik Branson mungkin memetik kenyataan itu daripada sebilangan aktivis di Singapura dengan agenda mereka tersendiri," menurut kementerian itu.

"Undang-undang dan prosedur kami dilaksanakan secara saksama ke atas semua orang, tanpa mengira latar belakang, kerakyatan, kaum, tahap pendidikan mahupun status kewangan. Setiap orang yang berdepan hukuman mati adalah berdasarkan proses penuh mengikut undang-undang.

"Perbicaraan mereka adalah telus dan terbuka kepada orang awam dan media."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan