Skip to main content

Singapura

Ribuan banjiri kawasan The Promontory @ Marina Bay, tonton NDP bersama

Anggaran Waktu Membaca:
Ribuan banjiri kawasan The Promontory @ Marina Bay, tonton NDP bersama

7,000 pengunjung menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan dari The Promontory @ Marina Bay (Gambar: Nurhelmy Hakim)

SINGAPURA: Kawasan The Promontory @ Marina Bay dibanjiri dengan lautan merah lebih 7,000 pengunjung yang bersama-sama meraikan sambutan SG60.

Para pengunjung datang seawal jam 3.00 petang agar tidak terlepas peluang menyaksikannya.

Setiap sudut kawasan itu dikerumuni keluarga-keluarga yang datang dengan kelengkapan berkelah untuk meluangkan masa bersama-sama sambil menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan.

Para pengunjung di kawasan The Promontory @ Marina Bay berpeluang menyaksikan NDP secara langsung menerusi acara NDP Bay Celebrations anjuran NTUC.

Acara itu berlangsung sehingga 9.00 malam.

Bertemakan Majulah SG Youth, acara itu bukan sekadar sebuah pesta tetapi mencerminkan impian, suara dan sokongan untuk anak muda Singapura.
Related article image
Persembahan oleh artis tempatan Shazza (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Antara persembahan khas di acara itu termasuk puluhan penari muda yang muncul dalam 'flash mob', diiringi lagu remix Hari Kebangsaan untuk menyemarakkan lagi semangat belia.

Suasana di The Promontory juga diserikan dengan persembahan-persembahan oleh artis-artis muda tempatan seperti Shazaza, Estelle Fly dan ShiGGA Shay.

Malah, para pengunjung di The Promontory juga dapat menonton segala aksi yang berlaku di Padang secara langsung, menerusi skrin-skrin yang disediakan.

Buat julung-julung kalinya tahun ini, sambutan perbarisan NDP di Padang dilanjutkan ke kawasan Marina Bay.

Lantaran itu, mereka di The Promontory juga tidak terlepas peluang menyaksikan aksi-aksi NDP seperti Terjunan Perpaduan oleh para penyelam tentera laut dan Red Lions.
Related article image
Para penyelam tentera laut melakukan Terjunan Perpaduan (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Para pengunjung di kawasan The Promontory yang ditemui BERITAMediacorp juga melahirkan rasa teruja kerana dapat meraikan ulang tahun Singapura ke-60 di sana.

Cik Marliana Ramli, yang datang bersama keluarganya berkata: "Kita memang tidak dapat tiket ke Padang, tetapi di sini, kita tetap dapat menyaksikan NDP dengan keluarga juga. Walaupun bukan di Padang, tetapi suasananya tetap meriah!"

Ibunya, yang juga penyanyi veteran, Maria Bachok berkata: "Kita pun tidak ada apa-apa di rumah, jadi kita santai sahaja di sini. Kita meriahkan ulang tahun Singapura. Merdeka! Merdeka! Merdeka!"
Related article image
Cik Marliana Ramli (dua dari kanan), ibunya Maria Bachok (tengah) dan anggota keluarga dari Malaysia (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Cik Marliana sekeluarga juga membawa anggota keluarga dari seberang tambak, untuk menyaksikan NDP tahun ini.

Selain mereka, Cik Husnita Hussein sekeluarga juga antara mereka yang datang seawal jam 3.00 petang untuk mendapat tempat di kawasan The Promontory.

"Kita tidak dapat tiket tetapi tidak semestinya kita tidak boleh tonton pertunjukan bunga api kan? Kita mencari alternatif lain dan ini juga satu perhimpunan buat kami," jelas Cik Husnita Hussein.
Related article image
Cik Husnita Hussein (paling kanan) bersama anggota keluarganya (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Yang pasti, tidak kira di Padang mahupun di The Promontory, semangat dan jiwa kewarganegaraan rakyat Singapura begitu kuat sekali pada 9 Ogos ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita