Skip to main content

Singapura

RIA 897 Kick Off! 2.0 galak belia pupuk semangat persaudaraan, disiplin

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Jun 2026 05:47PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 11:28AM
SINGAPURA: Menyemai semangat persaudaraan, kesatuan dan nilai-nilai positif dalam kalangan belia menjadi matlamat utama penganjuran kejohanan futsal RIA 897 Kick Off! 2.0 yang kembali berlangsung tahun ini.

Kejohanan itu menghimpunkan 32 pasukan belia yang bersaing dalam dua kategori umur, sekali gus menyediakan wadah untuk golongan muda berinteraksi, membina keyakinan diri serta mengamalkan semangat kesukanan.

Acara itu yang dianjurkan buat kali kedua diadakan di FutsalArena @ Yishun Ltd pada Ahad (21 Jun).

Penyampai RIA 897, Far Anwar, berkata: "Mesej utama saya rasa untuk kita menggalakkan kesatuan dan ukhwah dalam pertandingan. Dan yang penting sekali untuk mereka berseronok bersama dengan kawan-kawan."

"Ia mencerminkan usaha kami untuk menyemai sifat-sifat positif dalam masyarakat belia kita dan juga menunjukkan bahawa kita ini komited untuk terus menyokong masyarakat belia di Singapura. Bukan sahaja dalam talian, bukan sahaja menerusi radio tetapi juga dengan acara acara sebegini," tambahnya lagi.
Related article image
(Gambar: Mediacorp)
ACARA BAGI MEMBINA KEYAKINAN, DISIPLIN DAN DAYA TAHAN DALAM GOLONGAN BELIA


Acara itu turut menampilkan para pemain pasukan bola sepak negara, termasuk kapten pasukan, Hariss Harun serta Shawal Anuar.

Ia juga memberi peluang kepada orang ramai bertemu penyampai RIA 897.

Bagi Hariss, kejohanan seperti itu bukan sahaja memberi peluang kepada belia untuk beraksi, malah membantu mereka membina keyakinan diri dalam suasana yang positif.

"Ia penting kerana ia memberi ruang yang selamat untuk belia kita menonjolkan bakat dan kebolehan mereka serta membina keyakinan diri. Jadi, ia memang sangat penting," kata Hariss.

Menurut beliau, futsal dan bola sepak juga mengajar nilai penting yang boleh diterapkan dalam kehidupan seharian
Related article image
(Gambar: Mediacorp)
"Disiplin dan daya tahan sangat penting. Bola sepak ialah sukan berpasukan, jadi kita perlu belajar bagaimana untuk bekerjasama dan bermain sebagai satu pasukan. Setiap orang mempunyai karakter dan sikap yang berbeza, jadi penting untuk kita belajar bekerjasama. Sebab itu disiplin dan daya tahan merupakan antara nilai yang paling penting," kata beliau.

Bagi Mohammed Syahir Mohammed Shanym, 21 tahun, penyertaannya didorong oleh minat terhadap sukan tersebut serta keinginan untuk mencabar diri sendiri.

"Bagi saya, saya mahu berseronok. Itu yang paling penting bagi saya. Apa yang mendorong saya untuk sertai pertandingan ini adalah untuk merasakan kepuasan diri. Saya mahu buktikan kepada diri sendiri bahawa saya boleh bermain. Dan yang paling penting, saya mahu berseronok," kata Syahir.

"Sejak kecil, ketika saya berusia tiga tahun, bapa saya memang selalu membawa saya ke bawah blok untuk bermain bola. Kami bermain futsal di padang-padang kecil, kadang-kadang di gelanggang bola keranjang, dan saya masih bermain sehingga hari ini. Keluarga dan masyarakat sekeliling saya sangat menyokong. Dulu, hampir setiap hari ada permainan bola di bawah blok. Secara keseluruhannya, saya rasa saya mendapat sokongan yang sangat baik," katanya lagi.

HADIAH TAHUN INI LEBIH LUMAYAN, $2,000 DAN $1,000 BAGI 2 KATEGORI

Sebanyak 16 pasukan mengambil bahagian dalam Kategori A bagi peserta berusia 13 hingga 16 tahun, manakala 16 pasukan lagi bertanding dalam Kategori B untuk belia berusia 17 hingga 21 tahun.
Related article image
(Gambar: Mediacorp)
Bagi Kategori A, pasukan Happy Family FC muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai $1,000.

Tempat kedua dimenangi Kampong Ballerz yang menerima $700, manakala Bluelock FC menduduki tempat ketiga dengan hadiah $500.

Bagi Kategori B, pasukan Pink Fluffy Unicorn dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang $2,000.

West Side FC muncul naib juara dengan hadiah $1,500, manakala Coconut FC menduduki tempat ketiga dan menerima $1,000.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita