Skip to main content

Singapura

RI, Madrasah Wak Tanjong bakal berentap rebut gelaran juara Bahas 4PM 2024

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bahang pertandingan Bahas 4PM 2024 jelas semakin terasa.

Raffles Institution (RI) dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah berjaya mara ke pusingan akhir untuk berentap bagi merebut takhta Bahas 4PM tahun ini.

Bagi menjamin tempat di pusingan akhir itu, RI selaku penyanggah mengenepikan saingannya dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, dengan mauduk “Artifak sejarah ialah hak milik dunia” dalam pusingan separuh akhir.

Dalam pertarungan berasingan di peringkat separuh akhir, Madrasah Wak Tanjong selaku pencadang menewaskan Madrasah Aljunied Al-Islamiah, dengan mauduk "Budaya keusahawanan patut diagung-agungkan”.

Pusingan separuh akhir tersebut berlangsung pada Sabtu (3 Ogos) di Common Ground, Bedok.

Pensyarah, Bahasa & Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Roszalina Rawi (tengah) serta Penyampai dan Editor Kanan, BERITA Mediacorp Izwan Ohtman (kedua dari kanan) merupakan antara juri yang menilai pembentangan hujah para pembahas semasa pusingan separuh akhir itu. (Gambar: Bahas 4PM)
Kemenangan pada peringkat separuh akhir itu menjadi lebih manis bagi para pembahas dari Madrasah Wak Tanjong selepas mereka berjaya menamatkan penantian selama 13 tahun untuk bertarung dalam pusingan akhir bagi merebut gelaran juara Bahas 4PM 2024.

Kali terakhir RI melangkah ke peringkat akhir adalah pada 2021 apabila pertandingan itu terpaksa diadakan secara online buat pertama kalinya akibat COVID-19.

Ia menyaksikan institusi tersebut menjuarai pertandingan itu buat julung-julung kalinya.

Sebanyak lapan pasukan dari maktab rendah, politeknik dan madrasah telah menyertai Pertandingan Bahas 4PM tahun ini, anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).

PERSAINGAN SENGIT DIJANGKA ANTARA RI, MADRASAH WAK TANJONG

Ditanya mengenai prestasi yang ditonjolkan semasa pusingan separuh akhir, Pengerusi Akademi Bahas 4PM, Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat berkongsi bahawa beliau "sangat berpuas hati" dengan perbahasan yang ditampilkan para pembahas keempat-empat pasukan itu.

"Kesemua pasukan menunjukkan kemajuan yang ketara daripada (prestasi) mereka pada pusingan saringan," ujar Encik Kamal.

Pensyarah, Bahasa & Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Roszalina Rawi serta Penyampai dan Editor Kanan, BERITA Mediacorp Izwan Ohtman merupakan antara juri yang menilai pembentangan hujah para pembahas semasa pusingan separuh akhir itu.
Gambar: Bahas 4PM
Dengan mauduk "Sistem meritokrasi berjaya mengurangkan ketidaksamaan dalam masyarakat", peringkat akhir Bahas 4PM tahun ini dijangka menyaksikan pertarungan sengit antara pasukan RI di meja penyanggah dan Madrasah Wak Tanjong, selaku pencadang.


"Pada pusingan akhir, saya harap ia merupakan satu perbahasan yang akan mengupas topik meritokrasi dengan penuh hemat, di samping memaparkan keindahan bahasa Melayu," kongsi Encik Kamal kepada BERITA Mediacorp.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita