Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Restoran-restoran bingkas lakar strategi baru dengan cabaran jumlah pelanggan semasa Ramadan

Restoran-restoran yang lazimnya dikunjungi pelanggan Melayu/Islam juga terasa kesan jumlah pelanggan yang berkurangan pada siang hari sepanjang musim Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sedang umat Islam menunaikan ibadah puasa semasa bulan Ramadan ini, restoran-restoran yang lazimnya dikunjungi pelanggan Melayu/Islam juga terasa kesan jumlah pelanggan yang berkurangan pada siang hari sepanjang musim ini.

Malah menurut pengarah bersama restoran Bakeology_SG di 41 Arab Street, Cik Melrose Hanafi, mereka tidak menerima seorang pelanggan pun pada hari pertama Ramadan.

"Semasa Ramadan, memang betul bila kita buka pada hari pertama itu, tak ada orang masuk, sebab pelanggan kita semasa makan tengah hari selalunya mereka yang bekerja di pejabat. Semasa hari pertama Ramadan memang tak ada, jadi agak membimbangkanlah," kongsi beliau.

bakeology SG
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Namun demikian, para pengarah bersama restoran itu bingkas menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut dan membuka bazar mini di hadapan restoran mereka bagi menyediakan juadah berbuka puasa.

Menghidangkan lauk-pauk, kuih-muih Melayu, bubur lambuk serta minuman sejuk, Bakeology_SG berjaya menarik perhatian para pejalan kaki yang lalu-lalang di Arab Street itu.

Baki makanan daripada bazar mini itu pula akan diberikan kepada para pemandu penghantaran Grab di kawasan tersebut, jelas Cik Melrose.

bakeology sg
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Seorang lagi pengarah bersama di Bakeology_SG, Encik Arief B. melahirkan harapan agar bazar mini itu sedikit sebanyak dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kehadiran restoran itu yang baru dibuka dua bulan lalu.

"Kami bersaing dengan jiran-jiran kami yang jauh lebih berpengalaman dan senior dalam bidang ini. Untuk kami, Bakeology_SG, kami masih hijau dalam industri ini, kami masih 'bayi' di Arab Street, jadi kita kena mengikut rentak semua pesaing di kawasan Arab Street.

"Ini juga bagi mewujudkan kesedaran orang-orang yang jalan di Arab Street ini, jadi pada masa akan datang kami berharap dapat memikat mereka untuk kembali makan di sini," kata Encik Arief.

HASILKAN KHIDMAT TEMPAHAN' MANGKUK TINGKAT'

Sehubungan itu, Bakeology_SG juga menyediakan tempahan penghantaran 'mangkuk tingkat' untuk orang ramai berbuka puasa di rumah.

Disediakan dalam pakej 10 atau 20 hari, harga pakej itu bermula dari $350 hingga $1,700.

Strategi tersebut dapat membantu meningkatkan jualan restoran baru itu.

Setakat ini, mereka sudah menerima hampir 20 tempahan 'mangkuk tingkat' buat masa ini, dengan lima tempahan bagi pakej bernilai $1,700.

bakeology sg
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

"Tentu sekali ia sangat membantu... Kami sudah menjana pendapatan daripada 'iftar tingkat', jadi ia suatu idea yang bagus sebenarnya - sesuatu yang menjana pendapatan dan hasil jualan kami, terutama sekali bazar mini," jelas Cik Melrose.

Bagi memenuhi keperluan mereka yang ingin bersahur, Bakeology_SG juga menukar waktu pembukaan restorannya pada hujung minggu.

Berbanding 11.00 pagi hingga 11.00 malam sebelum ini, pada bulan Ramadan ini Bakeology_SG dibuka dari 4.00 petang hingga 2.00 pagi dari hari Khamis hingga Sabtu.

KEKURANGAN PEKERJA HANTARAN MAKANAN, TAWAR BAUCAR UNTUK GALAK PELANGGAN AMBIL SENDIRI

Bagi restoran ASAP & Co. pula, pemiliknya Encik Isrudy Shaik memberi tumpuan kepada pesanan makanan untuk dibawa pulang serta menggalak khidmat 'curbside pickup' atau mengambil makanan dari tepi jalan di kawasan restoran tersebut.

Ini termasuk memberikan baucar $10 bagi mereka yang datang sendiri untuk mengambil makanan yang ditempah.

"Kita menggalakkan orang datang untuk 'pickup di curbside' bagi menggalak mereka datang ke sini daripada mencari para penghantar makanan.

"Kadang-kadang susah betul nak cari penghantar makanan semasa Ramadan kerana semua datang serentak untuk menghantar makanan untuk bulan puasa ini," kata Encik Isrudy.

Selain itu, ASAP & Co, yang terkenal dengan hidangan pelbagai hidangan daging, menyediakan makanan untuk dibungkus secara set.

asap & co
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Ini, kata Encik Isrudy, bagi menggalak keluarga untuk menikmati hidangan itu bersama-sama bagi mengukuhkan hubungan keluarga semasa bulan puasa ini.

Ini termasuk menyediakan set menu baru bagi khidmat ekspres 'curbside pickup', termasuk hidangan 'Smoked Brisket Mantou', 'Smoked Brisket Vietnamese Roll' dan 'Smoked Brisket Taco'.

Restoran itu juga memperkenalkan set pencuci mulut yang antara lain mengandungi hidangan Creme Brulee Cempedak, Kek Karamel Pisang dan Panna Cotta Pulut Hitam.

asap & co
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Selain itu, restoran itu juga menyediakan bubur asyura dengan daging bahagian dada atau 'brisket' untuk diberikan kepada para pelanggannya secara percuma bermula jam 4.30 petang setiap hari.

KEMBALIKAN JUADAH MAKAN BERAMAI-RAMAI

Bagi restoran The Halia yang terletak di Kebun Bunga Singapura, hidangan 'Communal Meals' atau untuk makan berkongsi secara beramai-ramai bagi juadah berbuka puasa dikembalikan tahun ini selepas ditiadakan selama dua tahun akibat COVID-19.

Antara juadah makan beramai-ramai yang diperkenalkan Ramadan ini termasuk 'Chilli Crab Spaghettini' dan hidangan baru 'Slow Cooked King Island Prime Rib'.

the halia
(Gambar: The Halia/ Instagram)

Jurucakap The Halia, Cik Lydia Rashid memberitahu BERITAmediacorp bahawa terdapat peningkatan dari segi pelanggan yang berminat dan bertanya tentang menu 'communal' itu sejak dilancarkan pada 3 April.

"Pada hari pertama Ramadan, 35 peratus pelanggan kami yang berbuka puasa di The Halia memilih menu 'communal' itu.

the halia
(Gambar: The Halia/ Instagram)

"Ia satu permulaan yang baik dan kami yakin permintaannya akan bertambah dalam hari-hari yang mendatang," kata Cik Lydia.

Dengan pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 dan sempena Ramadan ini, perubahan strategi dalam perniagaan makanan dan menyesuaikannya dengan keadaan semasa, jelas penting bagi mengikuti trend, memikat pelanggan baru serta terus memenuhi keperluan pelanggan.

"Perubahan memberikan nafas baru kepada kami dan menjadikan kami relevan. Ia juga memastikan pasukan kami di The Halia bingkas untuk sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki diri dan menjadi lebih baik lagi," ujar Cik Lydia.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan