Skip to main content

Singapura

Restoran nasi ambeng Padi tebar sayap ke London pula, susuli kejayaan di New York

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tatkala memasuki sebuah kedai makanan bernama 'Food Court' di Kensington High Street di London, para pengunjung akan menemui sebuah jenama makanan tempatan Singapura yang tidak asing.

Di situlah Padi memilih untuk bertapak, sebagai langkah strategik dalam mendekati pasaran antarabangsa serta masyarakat Asia yang semakin berkembang di kawasan tersebut.

Demikian dikongsi Pengurus Pembangunan Perniagaan Padi bagi cawangan New York dan London, Encik Aidil Iskandar Salman, 32 tahun, semasa ditemui BERITA Mediacorp di Padi@Bussorah baru-baru ini.

“Kita pilih London sebab ia merupakan hab antarabangsa dengan aliran pelancong yang tinggi. Pada masa sama, terdapat masyarakat Asia yang besar termasuk dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, yang kita rasa akan menikmati makanan kita.

“Dengan adanya masyarakat ini, ia juga dapat membantu mengembangkan perniagaan kami di sana,” jelas Encik Aidil yang mula membantu perniagaan keluarga itu sejak 2020, meskipun ketika itu bekerja sebagai jurutera selama empat tahun.

Kini, anak sulung daripada empat beradik itu memainkan peranan penting dalam mengurus operasi di dua bandar utama, New York dan London.

Dalam mengurus operasi di luar negara, Encik Aidil turut berulang-alik antara Singapura, London dan New York sambil mengimbangi tanggungjawab keluarga sebagai seorang suami dan bakal bapa.

DARI NEW YORK KE LONDON

Menurut Encik Aidil, cawangan di New York yang dibuka pada 2022 kini sudah stabil, dengan empat kakitangan termasuk dirinya.

Kejayaan itu kemudian membuka jalan kepada pembukaan cawangan di 62 Kensington High Street, London, yang baru beroperasi sekitar sebulan lalu.

Di London, operasi dijalankan dalam skala lebih kecil dengan empat hingga lima kakitangan.

Operasi harian bermula dari 11 pagi hingga 10 malam, dibahagikan kepada dua syif bagi memastikan kelancaran perkhidmatan.

BERMULA KECIL UNTUK KURANGKAN RISIKO

Berbeza dengan operasi di Bussorah Street, Singapura yang dibuka sejak Mei 2015, Padi di London tidak bermula dengan skala yang besar.

Jika di Singapura, Padi beroperasi sebagai restoran penuh, di London ia memilih konsep ‘food court’ di mana ia mengendalikan sebuah gerai sahaja dengan ruang makan pelanggan dikongsi bersama pegerai-pegerai lain.

Ini sebagai langkah mengurangkan risiko serta mengawal kos dalam pasaran baharu.

Menurut Aidil, sekitar $100,000 diperlukan untuk memulakan operasi di London.
Related article image
Padi di London berkonsepkan ‘food court’ di mana ia mengendalikan sebuah gerai sahaja dengan ruang makan pelanggan dikongsi bersama pegerai-pegerai lain. (Gambar: Aidil Iskandar Salman)
PASARAN LEBIH MENCABAR, KOS PERLU DIKAWAL

Mengakui persekitaran perniagaan di London lebih mencabar, khususnya dari segi kos operasi dan nilai mata wang, Encik Aidil berkata: “Kalau tukar mata wang, memang semuanya nampak mahal.”

Mengambil contoh set nasi ambeng untuk dua orang, ia mencecah sekitar $69 berbanding S$38 di Singapura.

Nmaun, beliau menegaskan bahawa perbandingan sedemikian tidak boleh dilihat secara langsung.

Sebaliknya, “perlu fokus kepada kos operasi dan hasil”.

Menurutnya, konsep perniagaan di mana-mana pasaran pada asasnya sama iaitu memastikan hasil melebihi kos operasi.

“Kos ini merangkumi tenaga kerja, bahan mentah, sewa dan cukai. Apa yang penting adalah mengawal kos. Dari situ, kita akan nilai prestasi jualan dan terus menambah baik operasi dari minggu ke minggu, bulan ke bulan,” jelas beliau.
Related article image
Dalam mengurus operasi Padi di luar negara, Pengurus Pembangunan Perniagaan Padi bagi cawangan New York dan London, Encik Aidil Iskandar Salman, 32 tahun, berulang-alik antara Singapura, London dan New York. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)

Mengulas lanjut, Encik Aidil mendapatkan bahan mentah daripada pembekal tempatan di London, selain mengurangkan kebergantungan kepada import dari Singapura yang boleh meningkatkan kos penghantaran meski masih membawa serbuk teh tarik dari Singapura ke London bagi mengekalkan rasa yang konsisten.

“Ada juga sebahagian bahan mentah dibawa dari Singapura, tetapi kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada import kerana kos penghantaran, kargo udara boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.”

“Jika kita dapat mengawal kos dan mendapatkan pembekal yang sesuai, Insha Allah perniagaan boleh menjana keuntungan dan terus bertahan dalam jangka panjang,” tambah beliau lagi.

Malah, dari segi sewa, kos operasi di Singapura dilihat lebih tinggi, sekitar 10 hingga 15 peratus berbanding London.

Namun begitu, perniagaan di luar negara tetap memerlukan perancangan teliti, termasuk kos tambahan seperti sewa ruang dan pengurusan sisa, tambah Encik Aidil.

Ketika ditanya mengenai keutamaan buat masa ini, beliau menegaskan bahawa tumpuan bukan pada meraih keuntungan segera.

“Kita sasarkan sekitar enam bulan hingga setahun untuk mula melihat keuntungan. Buat masa ini, fasa awal lebih tertumpu kepada membina pendedahan dan memperkenalkan jenama kepada pelanggan di London,” ujarnya.

Setelah perniagaannya menjadi semakin mantap, Encik Aidil punya rancangan untuk beralih daripada hanya sebuah gerai di dalam 'food court' kepada sebuah restoran.

Dan dalam jangka panjang, beliau mahu membawa jenama Padi ke bandar-bandar lain di Amerika dan Jepun.

Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita