Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Restoran Mihrimah nafi ada kaitan secara langsung dengan GISB Holdings

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pihak Restoran Mihrimah menolak sebarang hubungan perniagaan langsung dengan syarikat Global Ikhwan Services Business (GISB) Holdings Sdn Bhd kecuali sebagai penasihat perniagaan.

Demikian menurut satu kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook dan Instagram milik restoran yang terletak di 742 North Bridge Road itu pada Ahad (15 Sep).

GISB Holdings Sdn Bhd sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung laporan berkaitan dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak di 20 rumah amal milik rangkaian syarikat itu.

s

"Kami menulis surat kepada anda bagi pihak Restoran Mihrimah untuk menangani secara rasmi liputan media dan perbincangan awam baru-baru ini yang melibatkan GISB Holdings Sdn Bhd sebuah syarikat Malaysia yang telah dikaitkan dengan siasatan tertentu yang sedang dijalankan," menurut kenyataan itu.

Ia menegaskan bahawa: "Restoran Mihrimah adalah sebuah restoran milik persendirian yang didaftarkan sepenuhnya di bawah Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) Singapura" dan "dimiliki oleh seorang warganegara Singapura.

"GISB Holdings Sdn Bhd hanya berperanan sebagai penasihat perniagaan kepada Restoran Mihrimah, menyediakan perkhidmatan nasihat dan sokongan dalam pengurusan operasi restoran di Singapura.

"Kami menafikan sekeras-kerasnya sebarang hubungan perniagaan langsung dengan GISB selain daripada perkara di atas."

Walaupun Restoran Mihrimah tidak terlibat secara langsung dalam isu tersebut, pihak restoran melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan kesan reputasi terhadap perniagaan mereka.

"Kami sedar tentang isu siasatan yang sedang dihadapi oleh GISB Holdings Sdn Bhd di Malaysia. Walaupun Restoran Mihrimah tidak terlibat secara langsung dalam perkara ini, kami prihatin tentang potensi kesan reputasi terhadap perniagaan kami."

Pihak Restoran Mihrimah menegaskan komitmennya untuk menjalankan perniagaan dengan "tahap profesionalisme dan integriti yang tertinggi."

Ia juga menekankan bahawa Restoran Mihrimah adalah "syarikat persendirian dan akan terus beroperasi mengikut undang-undang dan peraturan Singapura."

"Kami percaya bahawa perkara ini akan diselesaikan secara adil dan kami berharap untuk hasil yang positif," kata kenyataan itu.

Restoran Mihrimah juga berharap penjelasan itu dapat mengatasi sebarang kekeliruan yang mungkin timbul.

KEKELIRUAN TENTANG KAITAN RESTORAN MIHRIMAH DENGAN GISB

Menurut profil perniagaan yang diperolehi BERITA Mediacorp dari daftar perniagaan ACRA, Restoran Mihrimah didaftarkan di bawah nama dua wanita warga Singapura pada 2016.

Aktiviti perniagaan itu adalah perniagaan restoran dan penyedia khidmat katering.

'
(Gambar: Facebook/Mihrimah Restaurant)


Namun, menurut sebuah laporan media tempatan pada 24 Jun 2022 restoran berdekatan Masjid Sultan itu "berada di bawah naungan syarikat bumiputera Islam Malaysia, GISB Holdings."

Malah lelaman GISB Holding menyenaraikan Restoran Mihrimah sebagai salah satu cawangannya di merata dunia termasuk Jakarta, Kaherah, Dubai, Paris, London dan Thailand.

'
Kekeliruan terhadap kaitan Restoran Mihrimah dengan GISB Holdings Sdn Bhd timbul disebabkan logo GISB Holdings yang tertera pada papan nama restoran dan juga uniform kakitangan restoran itu.

'
(Gambar: Facebook/Mihrimah Restaurant)


GISB International dan Restoran Mihrimah juga pernah menyertai beberapa ekspo makanan di negara ini, yang terakhir acara Mega Raya Sale pada 10-12 Mac 2024.

Restoran Mihrimah belum memberi respons kepada BERITAmediacorp untuk mengulas perkara tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan