Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Restoran La Fez gabungkan selera, sastera & seni dengan persembahan Ramli Sarip

Sebuah persembahan yang menggabungkan tiga 'S' - Seni, Sastera dan Selera berlangsung pada Rabu (28 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah persembahan yang menggabungkan tiga 'S' - Seni, Sastera dan Selera berlangsung pada Rabu (28 Dis).

Persembahan khas yang menampilkan penyanyi legenda Ramli Sarip itu diadakan buat satu malam sahaja di restoran La Fez.

Restoran yang terletak di East Coast Road itu menghidangkan makanan Maghribi.

Tiket-tiket berharga antara S$75 hingga S$100 itu penuh ditempah dan dihadiri sekitar 80 tetamu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain menghiburkan, persembahan berjudul 'Sesi Intim Bersembang bersama Ramli Sarip' itu bertujuan menyediakan ruang untuk membincangkan karya-karya penyanyi itu, yang kaya dengan unsur sasteranya.

Kebanyakan hadirin juga merupakan para guru.

"Mereka (Guru-guru) juga ada peranan untuk kongsi bersama anak murid atau pendengar dan saya hanya nak katakan suka-suka, tidak tetapi ada misi yang kita nak buat ini sebenarnya satu benda yang sangat peribadi," kata Ramli Sarip.

Sepanjang persembahan lebih sejam itu, beliau membawakan lagu-lagu popularnya seperti 'Senandung Hidup Berbudi', 'Layarkan' termasuk beberapa lagu dari album terbarunya, 'Rasa'.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Tidak lokek berkongsi pengalaman, Ramli Sarip turut menyelitkan kisah-kisah atau sejarah menarik tentang lagu-lagu yang dipersembahkan termasuk perjalanan seninya.

"Kita pilih lagu pun mengambil masa dan pastikan lagu itu mempunyai satu mesej dan tema yang tertentu," tambahnya.

GALAK GURU-GURU TERAP LAGU DALAM PEMBELAJARAN

Idea menggabungkan tiga aspek itu merupakan cadangan seorang sasterawan, Encik Mohd Gani Ahmad yang juga bapa kepada pemilik restoran La Fez itu.

Walaupun sudah lama bersara daripada bidang perguruan, keprihatinan terhadap pendidikan bahasa anak muda zaman sekarang memberi ilham kepada Encik Gani untuk mengusahakan sesi tersebut.

"Masa saya menjadi pensyarah sambilan ataupun fasilitator, pemudah cara di Institut Pendidikan Nasional (NIE/NTU), saya selalu mengajar bahasa, mesti dimulakan dengan lagu ataupun puisi. Sama ada pantun dua atau empat kerat, syair, gurindam, lagu-lagu, terutama lagu-lagu terkenal," kata Encik Gani.


Beliau menyarankan agar Ramli Sarip dipilih untuk sesi yang pertama kali diadakan di restoran anaknya itu kerana tertarik dengan jenis karya yang dihasilkan 'papa rok' itu.

"Ramli Sarip banyak membuat, banyak menyanyikan lagu yang berbentuk puisi.
Lagu-lagunya boleh dijadikan bahan perbincangan. Jadi kita ambil dia punya kosa kata. Perkataan-perkataan daripada lagu itu jadi kita bincangkan," tambah Encik Gani.

Menyifatkan persembahannya itu sebagai yang 'paling comel' pernah diadakan sepanjang kerjayanya lebih empat dekad, beliau berharap karya-karyanya itu dapat dimanfaatkan oleh generasi baru.

"Lagu-lagu kita sudah sampai waktunya untuk kita ketengahkan. Mudah-mudahan generasi baru dapat sedikit sebanyak kalau tidak belajar tetapi warna-warna puisi, lagu dan senandung dan syair itu boleh diterima dan relevan dan dia masih diminati," kata Ramli Sarip.

KONSEP PERSEMBAHAN SAMBIL MENJAMU SELERA MUNGKIN AKAN DILUASKAN

Bagi pemilik restoran, Encik Heikal Gani, konsep 'berhibur sambil menjamu selera' yang diperkenalkan itu suatu strategi baru pihaknya bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Pengguna sekarang selalu mencari pengalaman-pengalaman unik. Bila dia (Ramli Sarip) mendengar saya bercakap dengan dia bahawa persembahan ini ialah untuk guru-guru sasterawan dan puisi, dia rasa persembahan ini, peluang ini betul-betul unik untuk dia," kata Encik Heikal, yang turut memiliki jenama aksesori senaman dan Muslim, 'Sugarmat' dan 'Lasouk'.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau berkongsi, syarikatnya sedang berunding untuk membawa artis-artis lain untuk mengadakan persembahan di restorannya, namun belum mencapai sebarang kata putus.

Melihat kepada sambutan terhadap sesi bersama Ramli Sarip itu, beliau berharap dapat terus mengadakan lebih banyak sesi sedemikian pada masa hadapan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan