Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Restoran dengan 'surcaj kanak-kanak terjerit-jerit' dedahkan ia boleh kenakan bayaran

Para pelanggan Angie’s Oyster Bar and Grill diberi amaran mereka akan dikenakan bayaran S$10 bagi kanak-kanak yang menjerit-jerit atau tidak terkawal.

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran dengan 'surcaj kanak-kanak terjerit-jerit' dedahkan ia boleh kenakan bayaran

(Gambar: Facebook/Angie's Oyster Bar and Grill)

SINGAPURA: Sebuah restoran yang mengenakan "surcaj bagi kanak-kanak yang menjerit-jerit" menyatakan pihaknya belum mengenakan bayaran itu terhadap mana-mana pelanggan dan pihaknya menerima aduan yang berkurangan tentang kanak-kanak yang tidak berkelakuan baik sejak pelaksanaan dasar tersebut.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Angie’s Oyster Bar and Grill di Outram Road menyatakan pada Rabu (21 Sep) bahawa ibu bapa juga "lebih sedar dan melakukan lebih banyak usaha bagi memastikan anak-anak mereka tidak mengganggu pelanggan lain".

Restoran itu melaksanakan surcaj itu "sekitar sebulan lalu" menyusuli aduan yang kian bertambah dalam kalangan pelanggan.

Petikan skrin mesej teks pengesahan tempahan yang dikirimkan kepada wadah berita Mothership menunjukkan bahawa para pelanggan diberi amaran mereka akan dikenakan bayaran S$10 bagi kanak-kanak yang menjerit-jerit atau tidak terkawal.

"Sebelum dasar itu diperkenalkan, kami menerima komen atau aduan setiap minggu daripada pelanggan lain," menurut restoran itu.

Pihaknya menambah ia "sengaja memaklumkan" ibu bapa dan para penjaga mengenai dasar restoran itu apabila mereka membuat tempahan, sambil menarik perhatian bahawa "99 peratus tetamu kami saling hormat-menghormati dan sangat memahami dasar tersebut".

"Kebanyakan pelanggan kami memahami dasar itu diperkenalkan dengan niat baik dan menghargai usaha kami menjadikan pengalaman menjamu selera seronok bagi semua orang dan bukan sahaja segelintir," dedahnya.

Meskipun sebilangan ibu bapa atau penjaga yang tidak bersetuju dengan dasar itu, restoran tersebut menyatakan pihaknya melihatnya sebagai "amaran awal" dan mempersiapkan diri bagi ketibaan pelanggan.

"Kami faham kami tidak memuaskan hati semua orang, tetapi kami boleh melakukan yang terbaik untuk mengelak kelakuan ego dan menggalak sifat saling hormat-menghormati antara semua pelanggan kami," menurutnya.

Dalam catatan di laman Tripadvisor pada 25 Ogos, seorang pelanggan berkata mereka cuba membuat tempahan di Angie's dan diberitahu tentang surcaj itu apabila mereka memaklumkan pihak restoran bahawa mereka akan membawa kanak-kanak.

Angie's dilaporkan menambah bahawa mereka bukan "restoran yang mesra kanak-kanak".

Mereka menambah bahawa mereka "agak kecewa dengan respons itu" dan tidak akan kembali ke restoran tersebut.

Sebagai respons kepada ulasan itu, Angie's menyatakan restoran itu menerima "semakin banyak aduan kanak-kanak yang berlari-lari tanpa dikawal atau mengganggu orang lain semasa khidmat makanan disediakan".

Restoran itu juga menyatakan "keutamaannya" adalah untuk sentiasa menawarkan suasana menjamu selera yang selesa bagi semua pelanggannya.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan