Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Restoran Banana Leaf Apolo didenda kerana adakan majlis ulang tahun dihadiri 40 pelanggan

Restoran Banana Leaf Apolo didenda S$10,000 di mahkamah pada Rabu (5 Mei) kerana mengadakan pesta ulang tahun di cawangannya di Little India untuk 40 tetamu dalam jamuan bufet layan diri.

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran Banana Leaf Apolo didenda kerana adakan majlis ulang tahun dihadiri 40 pelanggan

Petikan Google Street View.

Diterbitkan : 05 May 2021 09:30PM Dikemas Kini : 05 May 2021 09:32PM

SINGAPURA: Restoran Banana Leaf Apolo didenda S$10,000 di mahkamah pada Rabu (5 Mei) kerana mengadakan pesta ulang tahun di cawangannya di Little India untuk 40 tetamu dalam jamuan bufet layan diri.

Pengurus besar rangkaian restoran itu, yang sudah beroperasi di Singapura sejak 1974, mengaku bersalah atas dua tuduhan melanggar peraturan COVID-19.

Tuduhan-tuduhan ini melibatkan tindakan membenarkan 40 individu berkumpul di restoran di 48 Serangoon Road itu antara pukul 6.00 petang dengan 10.00 malam pada 12 September tahun lalu dan membenarkan beberapa tetamu membuat ucapan. Lagi tiga tuduhan dipertimbangkan dalam menentukan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa restoran itu menerima tempahan awal bagi kumpulan itu untuk mengadakan sambutan ulang tahun di tingkat dua. Para kakitangan menyediakan sistem bunyi, mikrofon dan sebuah projektor untuk para tetamu membuat ucapan dan untuk memaparkan satu montaj video. Makanan juga dihidangkan kepada para tetamu.

Para duta jarak selamat melaporkan terdapat sekumpulan besar orang di tingkat dua. Menurut para duta, serta apa yang terakam menerusi kamera litar tertutup, para pelanggan dari meja-meja berlainan saling bergaul tanpa mengekalkan jarak selamat 1 meter. Meja dan kerusi juga disusun secara rapat.

Para pelanggan juga mengambil sendiri makanan daripada hidangan bufet dan menghidangkannya kepada tetamu lain, dan tiada kakitangan yang memberitahu mereka supaya jangan berbuat demikian. Pengurus restoran juga tidak berada di sana apabila duta jarak selamat mengunjungi tempat itu kerana dia berada di tingkat bawah.

Pihak pendakwa meminta denda sebanyak S$10,000 atau S$5,000 bagi setiap tuduhan dikenakan.

Timbalan Pendakwa Raya Stephanie Koh menyifatkannya sebagai "satu pelanggaran serius", kerana acara itu berlangsung selama empat jam dan melibatkan pergaulan orang ramai pada jarak yang dekat.

"Ini adalah acara yang menimbulkan risiko jangkitan virus yang tinggi dan mungkin membentuk sebuah kelompok jangkitan jika sesiapa dijangkiti," kata Cik Koh, sambil menambah ia tidak berlaku dalam kes ini.

Menurutnya "tiada sebab" bagi restoran itu untuk menerima tempahan bagi jumlah pelanggan yang ramai dengan sekatan COVID-19 yang dilaksanakan. Mereka juga tidak menetapkan langkah-langkah bagi menguruskan pergerakan pelanggan dan sebaliknya, memudahkan beberapa pelanggaran berlaku dengan menyediakan peralatan, katanya.

Pengurus restoran itu berkata di mahkamah: "Kami ingin meminta maaf atas apa yang berlaku dan kami telah mengambil banyak langkah bagi memastikan ia tidak berlaku lagi, tuan."

Syarikat itu boleh didenda sehingga S$10,000 bagi setiap tuduhan melanggar peraturan COVID-19.

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan