Skip to main content

Singapura

Reste Laboratories didakwa gagal bayar caruman CPF pekerja; MOM siasat kemungkinan gaji tidak dibayar

Anggaran Waktu Membaca:
Reste Laboratories didakwa gagal bayar caruman CPF pekerja; MOM siasat kemungkinan gaji tidak dibayar

Logo CPF di sebuah bangunan komersil di Tampines. (Gambar fail: Mediacorp)

Diterbitkan : 23 Aug 2025 07:19PM Dikemas Kini : 23 Aug 2025 07:20PM
SINGAPURA: Sebuah makmal didakwa kerana gagal membayar caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi beberapa kakitangannya.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Lembaga CPF dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan pada Selasa (19 Ogos) ia sedia maklum mengenai caruman CPF yang tidak dibayar oleh Reste Laboratories dan perkara itu dihadapkan ke mahkamah.

"Melalui usaha penguatkuasaan, Lembaga CPF berjaya mendapatkan semula tunggakan CPF dan akan terus berurusan dengan syarikat itu bagi mendapatkan semula baki tunggakan," menurut CPF.

Menurut kertas tuduhan, Reste Laboratories dituduh gagal membayar caruman CPF bagi 10 kakitangan.

Seorang kakitangan dilaporkan tidak dibayar caruman CPF selama tiga bulan.

MOM sedia maklum mengenai "kemungkinan tunggakan gaji" dan sedang menyiasat syarikat bagi sebarang kesalahan di bawah Akta Pekerjaan.

Ia menasihatkan para kakitangan yang terjejas supaya memfailkan tuntutan dengan Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM), yang akan membantu mereka dengan tuntutan itu.

Menurut lamannya, Reste Laboratories, yang juga dikenali sebagai ResteLab, adalah sebuah makmal diagnostik klinikal yang terletak di sebuah kemudahan seluas 20,000 kaki persegi di Toa Payoh.

Ia dibangunkan pada 2016.

Seorang bekas kakitangan memberitahu Mediacorp bahawa beliau membuat aduan dengan Lembaga CPF pada awal tahun ini.

Mediacorp sudah pun menghubungi Reste Laboratories bagi mendapatkan komen.

Para majikan harus pastikan caruman CPF dibayar tepat pada masa - ia perlu dibayar pada setiap hujung bulan - dan sampaikan tarikh pembayaran kepada para kakitangan, menurut MOM di lelamannya.

Sekiranya majikan tidak dapat membayar caruman CPF tepat pada masanya, mereka perlu membayar sebarang caruman tunggakan secepat mungkin dan mengutamakan pembayarannya dalam kalangan tunggakan syarikat yang lain, menurut MOM.
Sumber : CNA/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita