Resorts World Cruises belayar ke Bintan, Batam mulai 1 Julai
(Gambar: Dream Cruises)
SINGAPURA: Orang ramai tidak lama lagi boleh menaiki kapal persiaran dari Singapura ke Indonesia.
Mulai 1 Julai, Genting Dream di bawah jenama Resorts World Cruises akan mula melakukan pelayaran dua malam ke Bintan dan Batam, dengan kapal persiaran berlepas pada setiap hari Jumaat.
Demikian menurut syarikat tersebut dalam satu kenyataan media pada Selasa (7 Jun).
Kapal persiaran itu juga akan menawarkan perjalanan tiga malam dari Singapura ke Kuala Lumpur dan Melaka melalui Port Dickson, serta ke Pulau Pinang mulai 3 Julai. Ia juga akan menawarkan pelayaran dua malam ke Kuala Lumpur dan Melaka.
"Resort World Cruises akan menjadi kapal persiaran yang pertama dari Singapura untuk kembali menyambung khidmat ke Indonesia dengan pakej pelayaran hujung minggu selama dua malam ke Bintan dan Batam mulai 1 Julai 2022," kata Presiden Resorts World Cruises Encik Michael Goh.
"Kami akan terus menyertakan lebih banyak destinasi popular ke Phuket dan Krabi di Thailand dan Bali Utara di Indonesia mulai Oktober 2022 untuk memberikan pelancong lebih banyak pilihan destinasi," tambahnya.
"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Singapura, Indonesia serta kerajaan Malaysia dan Thailand kerana memberikan sokongan dalam melancarkan pelayaran bersama Resorts World Cruises."
Menteri Pelancongan Indonesia Sandiaga Salahuddin Uno berkata, negara itu "tidak sabar" untuk menyambut kedatangan Resorts World Cruises dan Genting Dream.
"Dengan Resorts World Cruises memainkan peranan utama dalam menyambung semula pelayaran ke destinasi di Indonesia, kami yakin bahawa secara bersama, kami akan menghidupkan semula industri pelancongan kapal persiaran serantau," tambahnya.
Pengarah Pelayaran Lembaga Pelancongan Singapura (STB) berkata: "Ini akan memperkukuhkan tawaran khdimat pelayaran Singapura, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan bagi pelancong domestik dan antarabangsa.
"STB akan terus bekerja rapat dengan rakan-rakan serantau untuk membuka semula lebih banyak pelabuhan dan menyuntik kesegaran kepada industri pelayaran kapal persiaran di Asia Tenggara."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.