Skip to main content

Singapura

Resort bersepadu bukan pemacu 'utama' ekonomi S'pura

Dua resort bersepadu (IR) Singapura "tidak boleh jadi pemacu utama" ekonomi negara, namun sebaliknya "satu daripada pelbagai", menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Jumaat (5 Apr) seraya menekankan peri pentingnya kepelbagaian ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
Resort bersepadu bukan pemacu 'utama' ekonomi S'pura

(Gambar: Las Vegas Sands)

Diterbitkan : 05 Apr 2019 11:33PM Dikemas Kini : 05 Apr 2019 11:36PM

SINGAPURA: Dua resort bersepadu (IR) Singapura "tidak boleh jadi pemacu utama" ekonomi negara, namun sebaliknya "satu daripada pelbagai", menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Jumaat (5 Apr) seraya menekankan peri pentingnya kepelbagaian ekonomi.

Dalam wawancara media pada Jumaat, Encik Chan menarik perhatian dua isu penting yang diambil kira Singapura semasa rundingannya dengan Marina Bay Sands (MBS) dan Resorts World Sentosa (RWS): Bagaimana Singapura dapat membangunkan ekonominya dan menjana pekerjaan baik bagi warga setempat, serta bagaimana untuk memperkukuh kedudukan sebagai hab perniagaan serantau.

"Satu pengajaran yang kami perolehi dalam strategi ekonomi kita secara keseluruhannya adalah untuk memastikan kita tidak terperangkap dalam satu sektor, atau terlalu bergantung kepada satu sektor," katanya.

"Jika tidak, ekonomi akan menjadi bergolak: Apabila satu sektor terjejas, kita akan terjejas teruk."

Beliau menarik perhatian kepada pelaburan lain yang diterima Singapura sepanjang beberapa tahun lalu, termasuk komitmen Facebook untuk membina pusat data bernilai S$1.4 bilion di sini. Pusat tersebut akan menjadi yang pertama seumpamanya di Asia.

Malah dalam sektor pelancongan juga, tambah menteri itu, terdapat perancangan dan idea untuk mempelbagaikannya, seperti projek menyegarkan kawasan Mandai dan pembangunan Greater Southern Waterfront, selain industri MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran) dalam sektor pelancongan.

"Satu sebab di sebalik pertumbuhan kekal ekonomi Singapura yang mantap adalah kerana kita dapat mempelbagaikan risiko supaya dapat mencapai keseimbangan," kata beliau.

Komen Encik Chan diutarakan menyusuli rancangan bernilai S$9 bilion yang didedahkan MBS dan RWS pada Rabu untuk mengembangkan operasi.

"YAKIN" SINGAPURA DI LANDASAN BETUL

Encik Chan juga menarik perhatian bahawa pelaburan tambahan oleh resort-resort bersepadu itu tidak setara dengan peruntukan lesen perjudian bagi kedua-dua kasino.

"Dari sini anda dapat menyimpulkan bahawa IR di Singapura agak berbeza daripada IR di tempat-tempat lain," kata beliau, sambil berkata bahawa ini bermakna komponen bukan perjudian adalah "lebih mampan" di Singapura.

"Ini memberi kita keyakinan bahawa kita berada di atas landasan yang betul, dan tidak seperti pihak-pihak tertentu yang lain, kita tidak terlalu bergantung pada komponen perjudian," tambah Encik Chan.

Menjawab soalan lanjut yang diajukan para pemberita, Encik Chan mendedahkan bahawa terdapat pihak-pihak lain yang berhasrat untuk menubuhkan resort bersepadu di Singapura.

PERLU CARI "KESEIMBANGAN" DALAM PASARAN BURUH

Dalam wawancara yang sama, Encik Chan menekankan perlunya menyediakan rakyat Singapura dengan lebih pilihan dalam pasaran buruh. Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada peluang 5,000 pekerjaan yang direka dalam pengembangan operasi resort bersepadu itu adalah yang boleh diambil oleh warga setempat.

Encik Chan berkata terdapat pelbagai jawatan dari tahap pengurusan hingga operasi, dan dua pertiga jawatan pekerjaan yang ada dijangka akan dipenuhi warga Singapura.

"Kita sedang sentiasa membuat perubahan untuk memastikan kita dalam kedudukan yang cukup baik, di mana pasaran buruh cukup ketat untuk menaik taraf gaji warga Singapura namun terdapat cukup insentif bagi setiap syarikat untuk mendakapi teknologi dan langkah-langkah penghasilan," kata beliau.

Berhubung isu keberkesanan yuran kemasukan kasino sebagai langkah perlindungan untuk warga Singapura, Encik Chan menekankan bahawa levi itu tidak boleh dinilai secara sendirian. Sebaliknya, ia patut dilihat sebagai sebahagian daripada pelbagai langkah yang sudah diambil.

Pemerintah sebelum ini mengumumkan bahawa harga masuk ke kasino bagi warga Singapura dan penduduk tetap akan dinaikkan sebanyak 50 peratus kepada S$150 bagi levi sehari dan S$3,000 bagi levi setahun.

"Namun ini bukan langkah utama perlindungan sosial... ia sekadar penambahan dan semakan langkah-langkah sosial sedia ada," tambahnya.

Encik Chan juga menjelaskan levi yang dikutip tidak akan dimasukkan ke dana Pemerintah. Semua levi, menurut beliau, akan disalurkan ke Tote Board dan digunakan bagi tujuan kebajikan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita