Skip to main content

Singapura

Resipi tanduri warisan ayah jadi inspirasi kejayaan Mahmud's Tandoor

Anggaran Waktu Membaca:
Resipi tanduri warisan ayah jadi inspirasi kejayaan Mahmud's Tandoor

Pasangan di sebalik Mahmud’s Tandoor, Encik Muhammad Siraj dan isterinya, Cik Nasyirah Parveen. (Gambar: BERITA Mediacorp/ Syafeera Sofian)

Diterbitkan : 06 Jun 2026 10:42PM

SINGAPURA: Enam tahun lalu ketika pandemik COVID-19 melanda, Cik Nasyirah Parveen bersama suaminya Encik Muhammad Siraj mengorak langkah berani dan mula menceburi dunia perniagaan Makanan & Minuman (F&B) tanpa sebarang pengalaman dalam industri tersebut.

Cik Nasyirah, 34 tahun merupakan bekas guru pendidikan khas peringkat sekolah rendah dan Encik Siraj pula, 37 tahun, sebelum ini bekerja dalam industri media bersama syarikat kandungan digital SGAG. 

" Pada tahun 2020 semenjak pandemik COVID-19, kita buka sebagai perniagaan dari rumah dan pada satu masa saya dapati yang saya pun tak ada kerja dan isteri saya pun dah berhenti kerja dan kami rasa ini adalah masanya untuk cuba kerjaya ni," kongsi Encik Siraj kepada wartawan Syafeera Sofian.

Dari situ, pasangan itu melaburkan duit simpanan mereka dalam membangunkan perniagaan sulung mereka ini.

Mereka bermula secara kecil-kecilan sebagai sebuah perniagaan dari rumah dan kemudian di gerai 'pop-up' atau bazar. 

Kini, Mahmud's Tandoor berkembang menjadi antara kedai burger halal yang popular di Arab Street. 

RESIPI ASLI AYAH DENGAN SENTUHAN MODEN

Restoran tiga tingkat itu terkenal dengan menu 'fusion' yang unik seperti "The OG Tandoori Burger" dan "Masala Fries". 

Mereka mencipta resipi dan menu yang dipengaruhi oleh akar budaya mereka sendiri iaitu Pakistan dan India.

Related article image
Encik Siraj dan Cik Nasyirah bersama ibu-bapa kepada Cik Nasyirah. (Gambar: Instagram/ MahmudsTandoor)

" Bapa saya amat terkenal dengan ayam tanduri masakannya, yang beliau sering bawa ke acara perjumpaan keluarga. (Konsep makanan kami) mestilah makanan Pakistan kerana kami berketurunan Pakistan dan India. Namun, kami mahu menampilkan konsep seperti restoran makanan segera tetapi dengan identiti yang unik untuk rakyat Singapura." jelas Cik Nasyirah.

Lebih istimewa lagi, nama "Mahmud's Tandoor" itu sebenarnya dinamakan sempena nama ayahnya, Encik Mahmud.

Meskipun resipi ciptaannya itu diberi sentuhan moden dengan dijadikan burger, Cik Nasyirah berkata bahawa ayahnya sangat menyokong dari awal perjalanan mereka sehingga kini.

HANYA 5 BURGER TERJUAL PADA HARI PERTAMA BEROPERASI DI GERAI TETAP

Setelah 3 tahun berniaga dari rumah, Mahmud's Tandoor turut membuat penampilan jadi peniaga 'pop-up' buat kali pertama di acara Artbox pada tahun 2023.

Di acara tersebut, Mahmud's Tandoor mendapat sambutan hangat dengan barisan pelanggan yang panjang di gerai,menerima banyak maklum balas positif dan meraih pujian. 

Ini menjadi pembakar semangat dan mereka mula menyewa sebuah gerai kecil di Curbside Crafters beberapa bulan kemudian.

Related article image
Restoran konsep makanan ringkas Mahmud’s Tandoor di 40 Kandahar St. (Gambar: Instagram/ MahmudsTandoor)

"Bila kita buka di Curbside Crafters, lokasi fizikal pertama kami, kami sangat teruja kerana baru sahaja selesai acara Artbox sebelum itu dan kami menerima sambutan yang baik pada acara itu. Jadi kami meminta semua pekerja sambilan untuk datang dan bersiap sedia kerana mungkin akan ada ramai pelanggan sebaik sahaja kami dibuka (tetapi) macam tidak ada pelanggan, " kata Cik Nasyirah.

Meskipun mereka hanya berjaya menjual 5 burger pada hari pertama beroperasi di gerai itu, mereka terus bersikap positif walaupun ada juga perasaan bimbang.

Sikap tidak putus asa mereka ini terbukti membuahkan hasil dengan sokongan pelanggan yang bertambah, lebih-lebih lagi dengan pendedahan yang mereka terima kerana rajin berniaga di acara seperti Artbox, Twilight Fest malah juga di Bazar Ramadan Geylang pada tahun 2024 hingga 2026. 

SETELAH 5 TAHUN BERUSAHA, KINI MILIKI RESTORAN 3 TINGKAT DI KANDAHAR STREET

Pada Februari 2025 yang lalu, pasangan itu berjaya membuka restoran pertama mereka dengan tempat duduk yang lebih luas dan selesa di kedai rumah 3 tingkat yang terletak di 40 Kandahar Street. 

Para pelanggan boleh pilih untuk menjamu selera di ruang berhawa dingin, atau nikmati pemandangan indah Masjid Sultan yang bersebelahan dari tingkat teratas bangunan itu yang menawarkan ruang makan yang terbuka.

"Saya rasa matlamat kami bukan sekadar memikirkan tentang pembukaan cawangan demi cawangan tetapi juga fikirkan bagaimana kita boleh tanamkan akar kami dalam masyarakat supaya kami bukan sekadar satu lagi jenama F&B tetapi menjadi jenama untuk masyarakat, " kata Encik Siraj.

Tidak dapat dinafikan, pasangan itu akui ada sedikit rasa bimbang tentang kos sewa di Arab Street. Namun setelah berbual bersama beberapa peniaga kawasan itu, semangat kebersamaan antara jiran-jiran yang berniaga itu menjadi dorongan buat mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/SF/sf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita