Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Resah di rumah? Taman Warisan cabar anda tiru gaya orang lama era 1950-an

Inilah masanya untuk anda tonjolkan sisi kreatif dan mungkin juga lucu sekali gus berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik daripada Taman Warisan Melayu (TWM).

Anggaran Waktu Membaca:
Resah di rumah? Taman Warisan cabar anda tiru gaya orang lama era 1950-an

Antara kiriman kreatif yang sudah diterima Taman Warisan Melayu. (Gambar-gambar: TWM)

BERITAmediacorp: Hari ini hari kelima langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dilaksanakan. Jika anda sudah mula berasa resah berada di rumah sepanjang hari, Taman Warisan Melayu ada pelbagai cara menarik untuk anda hiburkan hati.

Hujung minggu ini, anda boleh menyelongkar isi rumah dan menggunakan apa saja barangan yang ada untuk meniru gaya 'orang lama' yang dipaparkan menerusi gambar-gambar dan lukisan klasik era 1950-an.

Inilah masanya untuk anda tonjolkan sisi kreatif dan mungkin juga lucu sekali gus berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik daripada Taman Warisan Melayu (TWM).

Inisiatif Taman Warisan itu bertujuan untuk terus mendekatkan masyarakat dengan seni dan budaya. Ini lebih-lebih lagi, setelah muzium di taman itu juga ditutup sehingga 4 Mei sebagai mematuhi langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

ANTARA SENI & KUARANTIN

Menerusi cabaran yang diberi mana 'Stay Home and (Re)create art' (Duduk Rumah dan Cipta Semula Seni) itu, Taman Warisan berharap ia dapat menyuntik sedikit keceriaan dalam kalangan masyarakat sedang kita berdepan krisis tersebut.

"Kami yakin warisan dan budaya boleh menyuntik semangat kita pada masa-masa sukar ini. Jadi kami mahu memastikan semua orang masih boleh menikmati warisan dan budaya, walaupun dari rumah," Pengurus Besar Taman Warisan Melayu, Asmah Alias mmeberitahu BERITAmediacorp.

Menurut Taman Warisan, cabaran tersebut diilhamkan daripada cabaran 'tussenkunstenquarantaine' - yang bermaksud antara seni dan kuarantin - yang dimulakan oleh Muzium Rijkmuseum di Belanda.

Ia menggalak orang ramai menggunakan kreativiti dan meniru gaya atau bentuk pada lukisan-lukisan yang ada di muzium itu.

Oleh itu, Taman Warisan Melayu memutuskan untuk memuat naik hampir 20 gambar dan lukisan klasik Melayu ke laman Facebooknya dan orang ramai bebas memilih untuk meniru yang mana sahaja berkenan di hati mereka.

Gambar-gambar itu boleh anda muat naik ke laman Facebook dan 'tag' Taman Warisan. 50 kiriman pertama berpeluang menerima hadiah-hadiah menarik!

Selain itu, Taman Warisan Melayu juga memanfaatkan wadah digital untuk menyediakan pelbagai aktiviti lain yang boleh dilakukan sekeluarga di rumah. Ini termasuk aktiviti mewarnakan gambar-gambar yang berdasarkan artifak dan pameran yang diadakan sebelum ini.

Anda juga boleh mencuba permainan silang kata, susun suai gambar dan sudoku jawi versi digital.

"Dengan pendekatan melalui media sosial dan dunia digital, kami berharap orang ramai dapat menikmati dan mengamati budaya dan warisan secara lebih mudah juga interaktif," kata Cik Asmah.

PAMERAN DALAM BENTUK DIGITAL 360 DARJAH

Pameran istimewa yang masih berlangsung sekarang di Taman Warisan, iaitu “Seekor Singa, Seorang Putra Dan Sebingkai Cermin”, juga akan disertakan dalam bentuk digital dengan pengunaan Kamera 360 darjah.

Dengan ini, orang ramai tidak perlu berkunjung tetapi dapat melihat sendiri, beberapa artifak yang ada di dalamnya.

"Kami juga akan muat naik gambar-gambar artifak dalam senarai muzium, berbagai bentuk video animasi, masakan, pengetahuan dan sembang warisan untuk tontonan seisi keluarga," tambah Cik Asmah.

Pautan bagi aktiviti-aktiviti digital itu boleh diperolehi di laman Facebook Taman Warisan Melayu.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan