Skip to main content

Singapura

Rentak Budaya 2023 beri peluang kepada belia martabatkan seni warisan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Lebih 300 belia bergabung bagi semarakkan lagi seni budaya dan warisan Melayu menerusi acara Rentak Budaya 2023.

Ia adalah sebuah acara yang bukan sahaja meneroka kebudayaan dan warisan Melayu, tetapi juga memartabatkannya menerusi persembahan seperti dikir barat, silat dan tarian Melayu.

Acara yang bertemakan 'Warita Kita' itu diadakan di Wisma Geylang Serai pada hujung minggu lalu (17 dan 18 Jun).

Ia adalah acara acara dwitahunan anjuran Persatuan Bahasa Melayu (Perbayu) NTU yang menyatukan mahasiswa beberapa universiti serta pelajar politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) setempat.

--

Ketua Rentak Budaya 2023, Haidar Ali Mohammad Rashid, 26 tahun berkata beliau berharap acara tersebut dapat membangkitkan lagi semangat berseni.

"Kami mendapati bahawa disebabkan COVID-19, peluang-peluang untuk mempersembahkan seni kita ini telah berkurangan dan dengan itu penggiat-penggiat dia pun berkurangan. Jadi dengan wadah-wadah seperti ini, kita berharap ia akan mendorong para penggiat untuk kembali aktif dan yang mana tengah aktif ini, membakar lagi semangat mereka untuk terus memperjuangkan seni budaya warisan Melayu kita," kata Encik Haidar kepada BERITAmediacorp.

BELIA BANGGA DAPAT LESTARIKAN BUDAYA MELAYU

Para peserta dan sukarelawan yang terlibat dalam Rentak Budaya 2023 terdiri daripada para mahasiswa, pelajar politeknik dan ITE.

Antara mereka yang menyumbang tenaga dan bakat bagi acara tersebut ialah Cik Anisya Farahdila Amin Azly, 21 tahun.

Menurut pelajar Nanyang Politeknik itu, beliau terdorong untuk menyertai Rentak Budaya 2023 kerana ingin mewakili sekolahnya dan meraih pengalaman baru.

"Ini adalah kali pertama saya menyertai Rentak Budaya. Saya rasa sangat teruja sebab saya tahu Rentak Budaya ini adalah sebuah acara yang besar. Oleh itu, saya rasa sangat berbesar hati sebab saya dapat menjadi sebahagian daripada acara yang dapat mempromosikan seni budaya kepada semua," kata Cik Anisya yang membuat persembahan dalam segmen tarian.

Seorang lagi peserta yang terlibat dalam acara itu ialah Encik Muhammad Fikri Fazli.

--

Menurutnya, beliau sudah terlibat dalam acara Rentak Budaya sejak tahun 2015.

Sebagai seorang pesilat, beliau berasa bangga setiap kali mendapat peluang membuat persembahan dan menonjolkan seni itu.

Selain itu, acara itu juga dapat mengeratkan silaturahim dan menjalin persahabatan dengan rakan-rakan baru.

"Saya rasa sangat gembira dan bangga kerana dapat mewakili seni silat dan dapat mempersembahkan seni silat dalam acara ini. Selain itu, saya ingin menunjukkan kepada para penonton pelbagai persembahan silat yang unik," ujar Encik Muhammad Fikri, 26 tahun.

Selain persembahan, pelbagai pameran interaktif turut diadakan.

Pengunjung juga dapat mengetahui secara lebih mendalam tentang aspek budaya Melayu seperti permainan dan peralatan muzik tradisional Melayu.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita