Rencana dakwa Tharman Shanmugaratnam sokong program kripto palsu semata, tegas Polis
Anda pernah ternampak rencana di Internet yang menunjukkan seolah-olah Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam menyokong program perdagangan automatik mata wang kripto dan mendakwa bahawa program seumpama itu boleh menjana keuntungan yang lumayan?
Petikan skrin rencana berita palsu yang menampilkan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam. (Gambar: SPF)
SINGAPURA: Anda pernah ternampak rencana di Internet yang menunjukkan seolah-olah Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam menyokong program perdagangan automatik mata wang kripto dan mendakwa bahawa program seumpama itu boleh menjana keuntungan yang lumayan?
Semua itu adalah rencana berita palsu, Pasukan Polis Singapura (SPF) memberi amaran pada Rabu (13 Jul).
Polis pada Rabu mengeluarkan nasihat untuk mengingatkan masyarakat awam supaya terus berwaspada terhadap rencana yang menggunakan maklumat palsu untuk mempromosikan program perdagangan automatik mata wang kripto.
Menurut SPF, terdapat rencana palsu yang disebarkan di wadah online, memaparkan Encik Tharman yang kononnya menyokong program perdagangan automatik mata wang kripto algoritme seperti Sistem Bitcoin.
Artikel-artikel berkenaan menggambarkan pelaburan tersebut sebagai sangat menguntungkan dan hampir bebas risiko selain mendakwa bahawa rakyat Singapura meraih "berjuta-juta dolar hanya dengan duduk di rumah" dengan mengeksploitasikan naik turun Bitcoin.
"Sokongan ini tidak dibuat oleh SM Tharman," menurut polis sambil menambah bahawa rencana-rencana sedemikian biasanya adalah iklan online berbayar yang bertujuan untuk mengumpan perhatian umum.
Pengguna yang menekan pautan dalam rencana itu akan dibawa ke laman lain, yang menawarkan pelaburan menerusi perdagangan mata wang kripto atau produk kewangan lain.
Pengguna kemudian akan diminta untuk berkongsi nombor telefon mereka dan kemudian menerima panggilan daripada seorang "wakil" skim berkenaan, menurut polis.
"Anggota masyarakat sangat dinasihatkan supaya berhati-hati dan elak daripada memberikan sebarang maklumat kewangan mahupun butiran peribadi pada borang-borang yang menjadi pautan kepada laman tersebut," tambahnya.
Sebarang maklumat tentang penipuan boleh dilaporkan kepada polis di talian 1800-255-0000 atau diserahkan secara online.
Anggota awam juga boleh melayari www.scamalert.sg atau menghubungi talian antipenipuan di 1800-722-6688 untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.