Skip to main content

Singapura

Rena Lee jadi rakyat SG pertama dipilih sebagai hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa

Duta bagi Undang-Undang Antarabangsa, Rena Lee, mencipta sejarah sebagai rakyat Singapura pertama dipilih menjadi hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Anggaran Waktu Membaca:
Rena Lee jadi rakyat SG pertama dipilih sebagai hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa

Duta bagi Undang-Undang Antarabangsa, Rena Lee, akan memulakan penggalnya sebagai hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Februari 2027. (Gambar fail: NUS Law)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 06:00AM Dikemas Kini : 04 Nov 2026 08:24AM
Rena Lee becomes first Singaporean elected as a Judge of the International Court of Justice
  • Rena Lee was elected as a Judge of the International Court of Justice (ICJ), becoming the first Singaporean and the first woman from Southeast Asia to serve on the court.
  • The vote took place at the UN headquarters in New York on Nov 3, with Lee receiving 151 votes in the General Assembly and 13 in the Security Council.
  • She will serve a term from 2027 to 2036, beginning in February 2027; her nomination was announced in 2024 and formalised in 2026.
  • The Singapore Government supported her nomination to strengthen international law, and Lee’s expertise includes leading negotiations that resulted in the 2023 BBNJ Agreement.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Duta bagi Undang-Undang Antarabangsa, Rena Lee, mencipta sejarah sebagai rakyat Singapura pertama dipilih menjadi hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Cik Lee, 57 tahun, juga merupakan wanita pertama dari Asia Tenggara dipilih menganggotai mahkamah itu, menurut Kementerian Undang-Undang (MinLaw) pada Rabu (4 Nov).

Beliau memperoleh satu daripada 5 kerusi yang dipertandingkan dalam mahkamah yang dianggotai 15 hakim, bagi penggal dari 2027 hingga 2036.

Cik Lee akan memulakan penggalnya pada Februari 2027.

Pemilihan itu diadakan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Selasa (3 Nov), dengan pengundian dijalankan secara berasingan dalam Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan PBB.

Cik Lee meraih majoriti mutlak dalam kedua-dua badan itu, dengan memperoleh 151 daripada 191 undi dalam Perhimpunan Agung PBB dan 13 daripada 15 undi dalam Majlis Keselamatan PBB.

Beliau mencatatkan jumlah undi tertinggi dalam Perhimpunan Agung PBB dan jumlah undi tertinggi bersama dalam Majlis Keselamatan PBB.

Pemerintah Singapura mengucapkan tahniah kepada Cik Lee atas pemilihannya yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting bagi negara.

MinLaw menyatakan sokongan kukuh yang diterima Cik Lee mencerminkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kewibawaannya.

Pencalonan Cik Lee pertama kali diumumkan pada 2024 sebelum beliau dicalonkan secara rasmi pada 2026.

Beliau turut memegang beberapa jawatan dalam institusi antarabangsa, termasuk Mahkamah Tetap Timbang Tara dan Panel Pendamai Pusat Antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan.

Sebagai Presiden Persidangan Antara Pemerintah PBB mengenai Kepelbagaian Biologi Marin di Kawasan di Luar Bidang Kuasa Negara (BBNJ), Cik Lee mengetuai rundingan pelbagai hala yang rumit selama 5 tahun.

Usaha itu membawa kepada penerimaan Perjanjian BBNJ yang bersejarah pada 2023.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berada di New York bagi menghadiri pemilihan tersebut.

Kedua-dua menteri itu sebelum ini menegaskan sokongan penuh pemerintah terhadap pencalonan Cik Lee dan menganjurkan majlis sambutan untuknya di New York pada Isnin (2 Nov), menjelang pengundian.

Dr Balakrishnan berkata kepakaran mendalam Cik Lee, pegangan teguh kepada kedaulatan undang-undang serta keupayaannya memahami pelbagai pandangan dalam menyelesaikan perbezaan akan menjadi aset penting kepada ICJ.

Beliau turut menekankan bahawa pencalonan Cik Lee merupakan sebahagian daripada usaha Singapura menyokong dan mempertahankan sistem pelbagai hala berasaskan peraturan, ketika institusi antarabangsa menghadapi tekanan yang semakin meningkat.

Dalam catatan Facebook pada Rabu (4 Nov), Encik Tong pula menyifatkan pemilihan Cik Lee sebagai pencapaian bersejarah yang mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadapnya.

Related article image
Duta bagi Undang-Undang Antarabangsa, Rena Lee (tengah), bersama Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kiri), dan Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Edwin Tong, selepas beliau dipilih sebagai hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Selasa (3 Nov 2026). (Gambar: Facebook/Edwin Tong)

Beliau berkata pencalonan pertama Singapura bagi jawatan itu menunjukkan kepentingan yang diberikan negara kepada usaha menegakkan undang-undang antarabangsa, khususnya sebagai sebuah negara kecil.

Encik Tong turut memuji ketabahan, keazaman dan kesungguhan Cik Lee sepanjang kempen pencalonannya yang berlangsung selama beberapa bulan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada para pegawai Kementerian Undang-Undang, Kementerian Ehwal Luar serta perwakilan Singapura di luar negara yang bekerja keras menyokong pencalonan itu.

Encik Tong, yang mengenali Cik Lee sejak zaman pengajian undang-undang, turut menzahirkan kegembiraan atas pencapaian sahabat lamanya itu.

Beliau menyifatkan Cik Lee sebagai seorang yang mesra, berpegang teguh pada prinsip dan tetap merendah diri meskipun mencapai pelbagai kejayaan.

Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita