Skip to main content

Singapura

Remaja terlibat dadah meningkat di SG; masa untuk bertindak lebih bijak

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja terlibat dadah meningkat di SG; masa untuk bertindak lebih bijak

(Gambar: CNA/Nurjannah Suhaimi)

Diterbitkan : 09 Mar 2025 03:46PM Dikemas Kini : 09 Mar 2025 09:51PM
SINGAPURA: Seiring dengan kenaikan jumlah penyalah guna dadah muda di Singapura, para aktivis belia berkata sudah tiba masanya untuk melawan dadah dengan lebih bijak.

Sekitar empat kali seminggu, Encik Mohammed Narish Mohamed Noh yang berusia 26 tahun boleh ditemui di gelanggang sepak takraw di kawasan kejiranan seperti Ghim Moh, Ang Mo Kio, Yishun dan Jurong dari pukul 7.00 malam hingga 9.30 malam.

Pada permulaan setiap sesi, pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu sering dikelilingi oleh golongan belia berusia antara 13 hingga 24 tahun, sambil beliau mencatat kehadiran, menawarkan snek dan berbual dengan mereka.

Sesi-sesi tersebut adalah lebih daripada sekadar satu permainan; ia merupakan satu inisiatif halus untuk mengalihkan tumpuan golongan belia yang berisiko daripada penggunaan dadah haram. Program itu, yang diwujudkan oleh Encik Narish, disokong oleh Impart, sebuah badan amal yang menyokong golongan belia yang menghadapi cabaran.

Encik Narish melihat sepak takraw sebagai titik permulaan untuk mendekati golongan belia, seperti dirinya, yang terdedah kepada risiko, yang mungkin berpunca dari latar belakang yang bermasalah.

Setelah membesar dalam persekitaran keluarga yang sukar dan terlibat dengan dadah serta kumpulan samseng semasa remaja, beliau ingin mengelakkan golongan belia lain yang berada dalam situasi yang sama daripada membuat kesilapan yang serupa seperti yang dilakukannya.

“Saya menghadapi cabaran semasa tahun pembentukan saya, jadi saya memahami betapa pentingnya untuk berada di sisi seseorang, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan tetapi menolak,” kata Encik Narish.

Biarpun program tersebut bermatlamat untuk memastikan golongan belia di kawasan itu terus terhibur pada waktu petang dan menjauhkan diri daripada kenalan yang kurang baik, Encik Narish berkata usaha antidadah tidak pernah dilakukan secara terbuka, dan sesi itu lebih tertumpu kepada latihan sepak takraw.

“Budaya sukan adalah melibatkan disiplin, rasa hormat antara satu sama lain dan membawa perwatakan seorang atlet. Prinsip-prinsip tersebut adalah nilai yang baik yang boleh dipelajari dan diterapkan dalam kehidupan masing-masing,” kata Encik Narasimman Tivasiha Mani, pengasas bersama dan pengarah eksekutif Impart.

Di antara dan selepas permainan, Encik Narish berinteraksi dengan peserta melalui perbualan santai, secara beransur-ansur membina kepercayaan dan mengenal pasti mereka yang mungkin sedang mencuba dadah haram atau merasa tertekan untuk melakukan sedemikian.

Beliau berkata golongan belia dari estet perumahan yang kurang bernasib baik sering menghadapi masalah kebosanan pada waktu senja apabila ibu bapa mereka sering keluar bekerja, menyebabkan mereka menghabiskan masa di luar rumah dan mencari kenalan yang tidak baik.

“Kebanyakan jenayah yang melibatkan golongan muda berlaku pada waktu malam,” kata Encik Narish. “Saya dapat memahami perasaan mereka dan faham betapa sukarnya untuk melalui semua ini.”

Sementara itu, pelajar tingkatan empat Rayhan Ariq Mohammad Affendy, Alveyna Ng dan Izz Rusyaidi Muhamad Al-Amin, yang berusia 16 tahun, adalah sebahagian daripada skim Persatuan Anti Narkotik Singapura (SANA), yang menggalakkan pelajar dari kumpulan berpakaian seragam untuk melancarkan kempen antidadah di sekolah mereka.

Ketiga-tiga pelajar tersebut adalah ahli Pasukan Kadet Pertahanan Awam Kebangsaan (NCDCC) Sekolah Menengah Riverside, di mana mereka menyaksikan secara langsung cabaran yang dihadapi oleh rakan-rakan mereka berkaitan penyalahgunaan bahan dan ketagihan.

Apabila salah seorang rakannya mula menggunakan vape, Encik Rayhan memutuskan untuk mendapatkan sokongan daripada rakan-rakan lain untuk menjauhkan rakannya daripada terjerumus dengan godaan tersebut.

Vape diharamkan di Singapura sejak 2018. Walaupun terdapat undang-undang ketat dan denda, satu laporan oleh Mediacorp pada tahun lalu mendapati bahawa jumlah individu yang ditangkap kerana memiliki atau menggunakan alat pengawap elektronik, atau vape, meningkat sebanyak 60 peratus antara 2022 dengan 2023.

E-rokok dianggap sebagai pembuka jalan bagi golongan remaja untuk meningkatkan risiko mereka mencuba bahan-bahan lain, termasuk rokok dan juga dadah berat.

Pada 2023, satu kajian di Britain mengikuti lebih 5,000 golongan belia dan mendapati bahawa mereka yang menggunakan e-rokok sebelum berusia 14 tahun berkemungkinan menggunakan kokain sebanyak dua kali ganda berbanding mereka yang tidak menggunakannya.

Encik Rayhan dan rakan-rakannya menyedari bahawa tindakan untuk menyenaraikan kesan negatif vape mungkin tidak akan memberi kesan. Sebaliknya, mereka mengalihkan perhatian rakan sebaya menerusi aktiviti yang lebih sihat di samping memerhatikan mereka.

“Kami pastikan dia sibuk sepanjang masa – sentiasa menelefon, menghantar mesej dan sentiasa berada di sisinya di sekolah untuk memastikan dia tidak pernah keseorangan,” kata Encik Rayhan. Usaha mereka membuahkan hasil, dan dalam beberapa minggu, mereka berjaya membantu rakannya mengurangkan tabiat vapenya dengan ketara.

Walaupun para aktivis belia itu bekerja keras untuk meyakinkan rakan-rakan agar menjauhi bahan terlarang, laporan berita terbaharu menunjukkan realiti yang menyedihkan, mencerminkan pandangan yang semakin longgar dalam kalangan belia terhadap penggunaan dadah.

Bulan lalu, laporan statistik tahunan Biro Narkotik Pusat (CNB) mencatat peningkatan dalam penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia walaupun situasi dadah di Singapura kekal terkawal.

Kira-kira 52 peratus daripada mereka yang diberkas tahun lalu adalah belia di bawah umur 30 tahun, berbanding 51 peratus pada 2023.

Jumlah penyalah guna dadah baharu yang ditangkap di bawah umur 20 tahun meningkat sebanyak 30 peratus.

Selain itu, 61 peratus daripada 199 yang ditangkap atas kesalahan yang berkaitan dengan dadah kanabis adalah penyalah guna baharu, dengan 57 peratus daripadanya berumur bawah 30 tahun.

CNB menyatakan jumlah penyalah guna kanabis yang ditangkap pada 2024 adalah lebih tinggi berbanding purata tahunan yang dicatat sepanjang sedekad lalu.

Daripada 720 penyalah guna methamphetamine baharu yang ditangkap, 53 peratus merupakan individu dibawah 30 tahun. Jumlah penyalahguna baharu dadah itu juga meningkat daripada 63 peratus pada 2023 kepada 75 peratus pada 2024.

Dalam satu laporan oleh Mediacorp, pemangku pengarah CNB, Leon Chan berkata bahawa jumlah penyalah guna baharu yang ditangkap disebabkan kanabis di bawah umur 30 tahun menunjukkan "trend yang menunjukkan peningkatan dalam sikap toleransi terhadap ganja dalam kalangan belia kita".

Individu termuda yang diberkas disebabkan penyalahgunaan dadah berumur 13 tahun, kata Encik Chan.

LEBIH DARIPADA SEKADAR ‘KATAKAN TIDAK KEPADA DADAH’

Memandangkan trend yang membimbangkan itu, para aktivis belia berkata sudah tiba masanya untuk menilai semula bagaimana Singapura membentuk mesej mengenai bahaya penggunaan dadah, terutama ketika mendekati golongan belia.

“Ia tidak boleh terlalu berterus terang,” kata Encik Narish, yang mengamati bahawa terdapat banyak sebab golongan belia terjebak dengan dadah, termasuk kurang daya menahan diri dan tidak memahami betapa seriusnya kesan dadah terhadap kesihatan dan kehidupan mereka.

“Bagi golongan belia, semakin sering anda berkata 'tidak', semakin mereka ingin melakukannya,” kata beliau.

Encik Narish menambah bahawa penggunaan dadah dalam kalangan belia sering kali merupakan tindak balas terhadap keadaan hidup yang sukar, dan advokasi dadah yang berkesan harus memberi tumpuan untuk mencari punca yang lebih mendalam di sebalik isu tersebut.

Para pakar menyatakan faktor-faktor yang mendorong penggunaan dadah semakin rumit dan terdapat beberapa lapisan, yang menyukarkan usaha untuk menyampaikan pesanan antidadah dengan berkesan kepada golongan muda.

“Penggunaan dadah dalam kalangan belia adalah isu yang kompleks dan mempunyai banyak dimensi, dan sebab-sebab mengapa golongan belia mula atau terus menggunakan dadah adalah berbeza,” kata Encik Nicholas Netto, pensyarah kanan dari program kerja sosial di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) .

Encik Netto, bersama pakar-pakar lain, menambah bahawa penerimaan global yang semakin meningkat terhadap kanabis, terutamanya pengunduran larangan di Thailand, menambah satu lagi lapisan kepada cabaran terbabit, menguatkan tanggapan bahawa ganja “tidak berbahaya”.

“Mungkin apa yang meningkat dalam dekad lalu adalah pandangan yang lebih liberal yang disuarakan oleh golongan belia mengenai penggunaan dadah, dan ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk mendengar golongan belia membenarkan penggunaan apa yang dianggap sebagai ‘dadah ringan’,” kata Encik Netto.

Encik Tan Chong Huat, pengerusi Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA) menambah bahawa media sosial memperbesarkan lagi tanggapan itu, dengan mendedahkan golongan belia kepada “naratif pro-kanabis” yang meremehkan risiko yang ada.

Seiring dengan itu, Encik Mohammed Nabil Saeed, 32 tahun, seorang pemimpin rakan sebaya SANA, berkata bahawa sebahagian besar kerja advokasinya adalah untuk membetulkan segala maklumat salah tentang dadah yang sering digambarkan dalam media.

Encik Nabil bekerja dengan individu dalam pemulihan dan keluarga mereka melalui Projek Masyarakat Reben Kuning dan menyampaikan ceramah pendidikan di sekolah-sekolah.

“Saya rasa cara dadah digambarkan dalam media memberi gambaran bahawa dadah tidak begitu teruk,” kata Encik Nabil, yang kini sedang belajar di sekolah undang-undang untuk mendapatkan ijazah dalam bidang itu.

Kerja advokasinya adalah sesuatu yang sangat peribadi bagi dirinya: Beliau pernah menjalani tiga kali hukuman penjara, yang keseluruhannya selama tujuh tahun, kerana penggunaan dadah, memiliki dan mengedar dadah semasa berumur 18 tahun.

Pengalaman hidupnya menjadi alat yang membuatkan kerja advokasinya lebih berkesan, kata beliau.

“Jika anda mahu seseorang memberitahu anda tentang sesuatu, anda mahu orang itu juga pernah mengalaminya, bukan? Saya rasa ia sangat membantu dalam mendekati seseorang,” katanya.

Selepas menjalankan program sepak takraw selama hampir dua tahun, Encik Narish berkata bahawa melihat belia memilih untuk kembali ke sekolah dan cemerlang, di samping melakukan pekerjaan, adalah hasil yang paling bermakna.

“Menemani mereka, dapat memberi sokongan kepada mereka dan mengajak mereka untuk mendapatkan bantuan adalah bahagian yang paling memuaskan,” katanya.

Semasa program sepak takraw, Encik Narish dan relawan lain dari Impart tidak segera campur tangan apabila mereka mengesyaki seorang peserta menggunakan dadah. Sebaliknya, mereka memerhatikan tingkah laku mereka sepanjang masa, menunggu mereka untuk membuka diri dan mencari cara untuk memberikan sokongan serta bimbingan.

Sementara itu, para pejuang belia antidadah lain menyebarkan usaha antidadah dengan cara yang kreatif, seperti menerusi skrip filem mereka sendiri atau video 'stop-motion'.

Sesetengah daripada mereka memberitahu Mediacop bahawa walaupun rakan sebaya mereka nampaknya memahami bahaya penggunaan dadah, masih terdapat banyak keraguan mengenai perkara tersebut.

“Beberapa rakan saya telah mempersoalkan mengapa saya terlibat dalam kerja advokasi antidadah, kerana mereka tidak menyedari betapa seriusnya penggunaan dadah dan bagaimana dadah boleh merosakkan kehidupan,” kata Encik Ethan Daniel Lee, 15 tahun, dari Anglo-Chinese School Independent.

Pelajar Ethan, bersama rakan-rakan sebaya berusia 15 tahun, Gideon Ng Zhi Wen, Jaren Koh Zhen Jie dan Nishan Subramoniam, bekerja di bawah Skim Lencana SANA dengan kumpulan berpakaian seragam mereka untuk menghasilkan video 'stop-motion' berdurasi dua minit menggunakan kepingan Lego yang menunjukkan kesan buruk dadah haram.

“Sikap mereka terhadap dadah adalah, selagi mereka tidak ditangkap, ia tidak mengapa,” kata Encik Ethan. “Dan oleh kerana pandangan tersebut, mereka terus-menerus mempersoalkan tentang mengapa saya berjuang untuk tujuan ini.”

Begitu juga, aktivis belia antidadah Shane Christopher Lum, 25 tahun, dari Institut Teknologi Singapura (SIT) menghadapi keraguan yang serupa dalam kerjanya kerana kebanyakan beranggapan usaha beliau "mungkin tidak akan membuahkan hasil."

Encik Lum merupakan seorang Juara DrugFreeSG yang menggalakkan gaya hidup bebas dadah dan membantu rakan-rakannya membuat pilihan yang lebih sihat dalam menghadapi tekanan.

Apabila beliau dan rakan pelajar kejuruteraan awam, Lokeswari Ragu, 22 tahun, dan Timothy Sim, 24 tahun, menghasilkan video untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyalahgunaan dadah, mereka berjaya mengajak beberapa rakan untuk membantu.

Tetapi beliau menambah: “Terdapat banyak lagi orang yang saya dekati yang tidak percaya bahawa kerja advokasi ini akan mendatangkan sebarang perbezaan.”

Encik Lum berkata, topik penyalahgunaan dadah adalah sesuatu yang telah didengarkan oleh rakan-rakannya sejak zaman sekolah rendah, jadi mereka menganggapnya sebagai isu yang sudah lapuk yang tidak memerlukan perhatian lebih lanjut.

“Kebanyakan mereka juga percaya bahawa usaha pemerintah sudah mencukupi untuk menangani masalah ini, tetapi hakikatnya, ia masih merupakan isu yang mendesak dan membimbangkan dalam kalangan golongan belia.”

PENINGKATAN TREND PENGGUNA DADAH MUDA

Walaupun Singapura mempunyai undang-undang antidadah yang ketat dan dasar sifar toleransi, tinjauan terkini menunjukkan bahawa pengguna dadah semakin muda, dan masalah terbabit semakin memburuk.

Tinjauan Kesihatan dan Gaya Hidup 2022 oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati purata usia pengguna dadah di Singapura yang mula mengambil bahan haram adalah sekitar 16 tahun.

Berdasarkan penemuan tinjauan itu, dianggarkan sekitar 0.7 peratus penduduk Singapura menggunakan dadah haram sekurang-kurangnya sekali dalam 12 bulan yang lalu.

Tinjauan itu juga mendedahkan bahawa 52 peratus daripada penyalah guna melaporkan bahawa mereka bermula dengan kanabis. Dan dalam kalangan mereka yang telah menggunakan dadah, kebanyakan mengatakan mereka melakukannya di rumah atau di rumah rakan.

Tinjauan Persepsi Dadah Kebangsaan NCADA 2023 pula mendapati bahawa 18 peratus daripada 3,000 remaja yang ditinjau melaporkan yang mereka mengenali seseorang yang telah mengambil dadah.

Angka ini meningkat daripada 10.6 peratus dalam tinjauan sebelumnya yang dijalankan pada 2019.

Tinjauan tersebut juga mendapati bahawa walaupun 90.4 peratus daripada remaja bersetuju bahawa pengambilan dadah harus tetap menjadi satu kesalahan di Singapura, hanya 79.3 peratus menyokong untuk mengekekalkan perkara berkaitan kanabis sebagai jenayah.

Sebagai respons kepada pertanyaan dari Mediacorp, seorang jurucakap CNB berkata: "Kami bimbang bahawa penyalahgunaan dadah bermula pada usia yang begitu muda, dan di rumah, tempat yang sepatutnya ada pengawasan ibu bapa dan belia sepatutnya selamat.

"Ia juga membimbangkan bahawa remaja kini semakin mempunyai sikap yang lebih permisif terhadap dadah."

MENGAPA LEBIH RAMAI BELIA SALAH GUNA DADAH

Profesor Madya Lee Jungup dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata bahawa walaupun "pendorong tradisional" seperti tekanan rakan sebaya dan rasa ingin tahu masih wujud, trend terkini menunjukkan pergeseran yang ketara, terutama bagi teknologi, dinamik sosial, dan masalah kesihatan mental.

Kadar kecemasan, kemurungan, dan tekanan yang semakin meningkat mungkin menyumbang kepada peningkatan penggunaan bahan sebagai mekanisme pengurusan emosi, kata Profesor Madya Lee, yang merupakan pensyarah di Jabatan Kerja Sosial NUS.

Menurut Kajian Kesihatan dan Mental Remaja Nasional (NYMHS) pada 2024, kira-kira satu daripada tiga remaja (30.6 peratus) yang berumur 15 hingga 35 tahun di Singapura melaporkan bahawa mereka mengalami gejala berkaitan rasa cemas, kemurungan, dan/atau tekanan yang teruk atau sangat teruk.

"Remaja yang menghadapi masalah kesihatan mental, trauma yang teruk, tekanan yang tinggi, atau rasa putus asa dan ketidakmampuan untuk mengatasi keadaan sangat terdedah kepada penggunaan dadah," tambah beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa kemunculan platform digital turut memudahkan pembelian dadah, mendedahkan remaja kepada pasaran dadah dalam talian.

Kaunselor terapi Varian Monterio dari Promises Healthcare berkata cara terbaik untuk mendekati remaja adalah dengan menganggap mereka sebagai individu yang matang dengan berkemampuan untuk memahami dan bertindak berdasarkan maklumat yang disampaikan.

"Pengalaman saya menunjukkan, tiada apa yang lebih membuatkan remaja menutup telinga selain daripada dipandang rendah atau dianggap lebih muda dari usia sebenar mereka," kata Mr Monterio.

Beliau menambah: “Mungkin remaja tidak mengetahui gambaran keseluruhan (berkenaan bahan), tetapi mereka mungkin tahu sebahagian daripadanya.”

Selaras dengan itu, seorang pelajar, Natasha Maya, 15 tahun, dari Sekolah Menengah Pei Hwa, berkata apabila orang dewasa cuba bercakap dengan rakan-rakannya mengenai penyalahgunaan dadah, mereka dengan tidak sengaja terdengar seperti “membebel”, yang menyebabkan para belia berhenti mendengarkan mereka.

Cik Natasha juga terlibat dalam Skim Lencana SANA sebagai sebahagian daripada pasukan NCDCC di sekolahnya.

"Apabila remaja menyedari dan tahu bahawa orang yang menderita akibat ketagihan adalah seperti rakan dan teman biasa mereka, saya rasa itu memberi kesan yang lebih besar daripada seorang dewasa yang sentiasa mengingatkan mereka," katanya. "Ia masuk satu telinga, keluar telinga yang lain."

Encik Sim dari SIT mengakui bahawa menggalakkan gaya hidup bebas dadah adalah sukar di tengah-tengah budaya di mana penggunaan dadah semakin diterima.

“Undang-undang ketat mengenai penyalahgunaan dadah di Singapura bertindak sebagai penghalang yang kuat, tetapi perlu ada lebih banyak kandungan yang boleh mendekati dan menarik perhatian belia masa kini,” kata pelajar kejuruteraan awam itu.

Pendukung antidadah Issac Goh, yang juga seorang bekas pengguna dadah, berkata mesej tunggal yang menyatakan 'katakan tidak kepada dadah' mungkin tidak lagi berkesan dalam sepuluh tahun akan datang.

Lelaki berusia 27 tahun dari Architects of Life (AOL), sebuah perusahaan sosial yang memberi tumpuan kepada pemberdayaan remaja berisiko dan bekas pesalah melalui program penyuluhan dan pembangunan, mengatakan bahawa membantu remaja memahami akibat pengambilan dadah tertentu mungkin lebih berkesan, memandangkan terdapat pelbagai jenis dadah yang boleh didapati di pasaran.

Contohnya, beliau berkata, kempen antidadah boleh memberi tumpuan kepada kesan buruk pengambilan dadah parti, yang lebih biasa digunakan dalam kalangan remaja, berbanding pendekatan yang hanya menyatakan bahawa semua dadah adalah buruk.

PERANAN PERKEMBANGAN SERANTAU

Satu faktor utama masalah dadah begitu sukar diatasi adalah kerana Singapura tidak beroperasi secara terasing.

Perkembangan di negara-negara jiran, terutama Thailand dan Myanmar, memberi kesan besar terhadap sikap belia Singapura terhadap dadah, serta akses mereka kepada bahan-bahan haram tersebut.

Pada Jun 2022, Thailand menjadi salah satu negara pertama di Asia yang membenarkan ganja. Hal itu membawa kepada akses yang meluas, dengan kedai-kedai ganja muncul di seluruh negara dan penggunaan rekreasi menjadi semakin lazim.

Memandangkan Thailand merupakan destinasi percutian yang popular, ia menjadi perkara biasa untuk mendengar cerita mengenai belia Singapura yang pergi ke Phuket, Bangkok atau Krabi dan mengambil ganja di sana, kata pendukung antidadah Encik Goh.

"Anda boleh katakan ia telah menjadi ritual kami (orang Singapura)," kata Encik Goh.

"Setiap kali ada acara seperti Malam Tahun Baru atau Songkran (Tahun Baru Thai), ia seolah-olah menjadi 'pintu terbuka'; kami pergi ke sana dan memandangkan kami berada di sana, kenapa tidak?" katanya.

“Pemikiran orang Singapura apabila kami bercuti adalah: Wah, apa yang kami tak boleh buat di Singapura, kami mesti buat di sini,” kata Encik Goh. “Tetapi hanya kerana ia ada di sana, tidak bermakna kita perlu melakukannya.”

Selama hampir dua tahun selepas ganja dibenarkan, Thailand menyaksikan perkembangan pesat industri ganja, dengan pelancaran puluhan ribu kafe ganja dan peruncit.

Perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan awam mengenai penyalahgunaan ganja, dan pada Mei 2024, pihak berkuasa Thailand berkata mereka merancang untuk menarik balik keputusan dan menjatuhkan semula hukuman jenayah ke atas ganja sebagai narkotik kelas lima, yang akan menjadikannya haram untuk dimiliki atau digunakan.

Namun, dua bulan kemudian, kerajaan Thai berkata mereka akan membenarkan ganja untuk kegunaan perubatan.

Sementara itu, di Myanmar, ketidakstabilan selepas rampasan kuasa tentera pada 2021 menyumbang kepada pengeluaran dadah yang memecah rekod, terutamanya dadah sintetik seperti methamphetamine.

Keruntuhan penguatkuasaan undang-undang di kawasan pengeluaran dadah Myanmar, seperti negeri Shan, telah membenarkan sindiket jenayah meningkatkan pengeluaran, membanjiri pasaran serantau dengan dadah seperti methamphetamine, ekstasi, ketamin, dan yaba (gabungan methamphetamine dan kafein), pada harga yang dipotong.

Kebanyakan dadah tersebut melalui Thailand, yang berfungsi sebagai titik persinggahan penting untuk dadah haram yang berasal dari Segitiga Emas, kawasan di mana utara Thailand, Laos, dan Myanmar bertemu.

Akibatnya, laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) 2024 menunjukkan bahawa pihak berkuasa Thailand pada 2023 merampas sebanyak 648.9 juta tablet yaba dan 26.4 tan methamphetamine kristal, yang dikenali sebagai ais.

Ini adalah lonjakan besar berbanding rampasan yang dibuat pada 2019 yang melibatkan 395 juta tablet yaba dan 17.6 tan ais.

Pada Januari tahun ini, The Straits Times melaporkan rampasan tertinggi bagi dadah sintetik di Asia Timur dan Tenggara yang dipercayai berasal dari Myanmar.

Dalam rencana itu, Pejabat Kawalan Narkotik Thailand berkata pihak berkuasa Thailand merampas 488 juta tablet yaba dan hampir 10 tan ais sepanjang sempadan Thailand-Myanmar pada 2024 setakat September.

GUNAKAN RASA DERITA DEMI KEBAIKAN

Mengenang kembali masa beliau di penjara, Encik Nabil, tentu ada rasa kesal: "Tujuh tahun, itu adalah satu tempoh yang panjang dalam zaman muda saya di penjara. Saya tidak akan pernah mendapat kembali masa itu, dan itu adalah kenyataan."

Namun, meninggalkan penjara dan berintegrasi semula ke dalam masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah.

"Apabila anda masuk penjara, hidup anda terhenti pada titik di mana anda ditangkap," katanya. "Cepatkan lima tahun, anda dibuang kembali ke masyarakat, dan hidup anda bermula semula."

Pertemuan dengan bekas-bekas penagih dadah yang lain boleh menjadi pencetus, tambahnya, dan godaan untuk kembali ke dadah adalah sesuatu yang perlu dilawan dengan keras.

Namun begitu, Encik Nabil bersyukur kerana dapat mengubah perjuangannya menjadi sesuatu yang positif dan kini menggunakan pengalamannya untuk membantu orang lain ketika beliau menyelesaikan tahun keempat dalam pengajian undang-undangnya.

Encik Goh tentu dapat memahami situasi ini. Walaupun kini menjadi pendukung gaya hidup bebas dadah, beliau berkata pengedar dadah yang masih mempunyai nombor untuk menghubunginya dari masa lalu tetap berbuat demikian untuk menawarkan dadah sekali-sekala.

Walaupun beliau sudah menemui cara yang lebih sihat untuk mengatasi tekanan hidup, beliau mengakui bahawa kadangkala ia agak sukar untuk kekal berada di landasan yang betul, terutama ketika tekanan menjadi terlalu berat.

Namun, apa yang sentiasa mengingatkannya adalah kenangan memilukan yang melibatkan reaksi ibunya terhadap penangkapan beliau.

Ibu beliau sedang mandi ketika kejadian itu berlaku, dan apabila beliau memberitahu ibunya bahawa beliau akan pergi ke balai polis, ibu beliau hanya menjawab bahawa dia akan menunggu kepulangannya.

"Pegawai itu berkata, 'Adakah anda mahu memberitahu ibu anda kebenarannya? Jangan buat dia menunggu tanpa sebab,'" kata Encik Goh.

Apabila ibunya keluar dari bilik mandi, dia mendapati Encik Goh berlutut di lantai dengan tangan yang bergari, dikelilingi oleh dua pegawai — satu detik yang akan kekal bersama beliau selama-lamanya.

Encik Goh menjalani tempoh enam bulan di Pusat Pemulihan Dadah (DRC). Selepas dibebaskan, beliau kembali menggunakan dadah, yang menyebabkan penangkapan kedua dan tempoh pemulihan yang lebih panjang.

Merenung kembali perjalanan dan pengalamannya sendiri, beliau menekankan bahawa adalah tidak bijak untuk sekadar memberitahu remaja agar menjauhi dadah kerana ia berbahaya.

"Saya hanya boleh berkongsi cerita saya dan melihat sama ada mereka dapat mengaitkan cerita itu," katanya.

"Yang paling penting untuk kita adalah untuk membuatkan remaja berfikir dan merenung sama ada ini yang mereka mahu untuk sepanjang hidup mereka."
 
Sumber : CNA/AZ/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita