Remaja SG agungkan 'Ketuanan Asia Timur' ditahan di bawah ISA

Tatu 'sonnenrad' (Matahari Hitam) pada siku Nick Lee Xing Qiu dan kemeja-T dengan lambang 'totenkopf' atau tengkorak. (Gambar: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri)
Nick Lee Xing Qiu, yang berketurunan etnik Cina, mahu melakukan serangan terhadap orang Melayu dan Muslim di Singapura. Dia bertanggapan bahawa etnik Cina, Korea dan Jepun lebih unggul, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Isnin (10 Feb).
Lee telah dikenakan Perintah Tahanan (DO) pada Disember tahun lalu. Dia adalah belia Singapura ketiga yang berpegang kepada ideologi ekstremis berhaluan kanan yang ditangani di bawah ISA.
Kes pertama melibatkan seorang remaja berusia 16 tahun yang ditahan pada Disember 2020 kerana merancang serangan parang ke atas masjid-masjid tempatan. Kes kedua turut membabitkan seorang remaja berusia 16 tahun yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada November 2023 selepas pihak berkuasa mendapati dia terpengaruh dengan ketuanan kulit putih dan merancang untuk melakukan serangan di luar negara.
PROSES MENJADI RADIKAL
Lee mula mempunyai sikap permusuhan dan kebencian terhadap orang Islam pada awal 2023 selepas menemui kandungan Islamofobia dan berhaluan kanan di media sosial. Dia menghabiskan beberapa jam setiap hari mencari dan menggunakan kandungan pelampau online, menurut ISD.
Pada Jun 2023, Lee mencari rakaman video penstriman mengenai serangan pengganas berhaluan kanan, Brenton Tarrant terhadap umat Islam di Christchurch, New Zealand, pada 15 Mac 2019.
Dia menonton rakaman itu berulang kali dan mengagung-agungkan tindakan Tarrant. Dia kemudian memuat turun pengubahsuaian permainan video dan memainkan peranan sebagai Tarrant untuk membunuh orang Islam di Masjid Al Noor di Christchurch.
Menjelang awal 2024, Lee semakin radikal dan dia sikap permusuhan dan kebenciannya terhadap orang Melayu dan Muslim semakin menebal, termasuk etnik-etnik lain yang secara tradisinya disasarkan oleh pelampau berhaluan kanan termasuk orang Yahudi, Mexico, Afrika Amerika dan India.
“Dia juga menyokong ketuanan kulit putih kerana merasakan Islam adalah ancaman terhadap budaya kulit putih,” dedah ISD.
Lee telah menemui idea-idea ketuanan sedemikian yang membuatnya semakin percaya bahawa Cina, Korea dan Jepun adalah etnik-etnik yang unggul, dan dia menyokong fahaman itu kerana dia adalah dari etnik Cina dan dia membenci orang Islam.
Pada September 2024, Lee memasang tatu pada siku kanannya dan lambang 'sonnenrad' (Matahari Hitam) dapat dilihat dalam manifesto Tarrant dan pada begnya semasa serangan Christchurch. Dia juga membeli baju-T dengan cetakan lambang yang dikaitkan dengan Nazi, ketuanan kulit putih dan kumpulan-kumpulan berhaluan kanan yang lain.
MAHU LANCAR 'PERANG KAUM"
Lee juga menanam niat untuk melakukan serangan terhadap orang Islam di Singapura bersama dengan individu berhaluan kanan lain yang dikenalinya secara online. Walaupun dia mendakwa bahawa dia terlalu takut untuk melakukan serangan seorang diri, dia mengakui dia akan menyertai serangan bersama dengan mereka yang ditemuinya online.
"Aspirasi serangannya termasuk melakukan serangan serupa dengan Tarrant ke atas umat Islam di sebuah masjid di Singapura menggunakan senjata api buatan sendiri, pisau dan bom botol," kata ISD.
Lee juga mahu menyiarkan serangannya secara langsung online, mendedikasikannya kepada Tarrant.
Dia juga mahu membaling bom botel (Molotov cocktails) ke arah jirannya yang berbangsa Melayu-Islam semasa cuti keagamaan untuk memperbanyakkan jumlah kematian. Selain bertanya secara online tentang cara-cara untuk membuat bom botol, dia tidak meneruskan persiapannya untuk melakukan serangan itu.
ISD juga berkata Lee sangat yakin dengan Great Replacement Theory, yang mendakwa bahawa penduduk kulit putih di negara-negara Barat berada dalam keadaan bahaya digantikan oleh golongan pendatang bukan kulit putih.
Lee percaya bahawa keganasan perlu untuk menghalang majoriti Cina di Singapura daripada diambil alih oleh apa yang dianggapnya sebagai penduduk Melayu yang berkembang pesat.
Lee juga membayangkan memulakan "perang kaum" antara Cina dan Melayu di Singapura, dengan mewujudkan propaganda anti-Melayu dan anti-Islam untuk disiarkan secara online, dengan harapan ia akan mewujudkan permusuhan antara kedua-dua kaum.
Dia membuka akaun media sosial pada akhir 2024 untuk menghasut orang lain melakukan serangan terhadap orang Melayu dan Muslim. Akaun itu digunakan untuk memuat naik semula video ekstremis berhaluan kanan, dan dia memuat naik kira-kira 20 video buatan sendiri yang mengagungkan pengganas berhaluan kanan dan mengandungi retorik anti-Melayu dan anti-Islam.
Keluarga, guru dan rakan sekolah Lee tidak menyedari tentang radikalisasinya dan tidak ada tanda yang menunjukkan bahawa dia cuba mempengaruhi mereka dengan pandangan ekstremisnya yang ganas, kata ISD.
Rancangannya untuk melancarkan serangan tidak disertakan dengan garis masa yang ditetapkan dan siasatan ke atas kenalan online tidak menemui ancaman terhadap Singapura.
"Ektremisme berhaluan kanan semakin meningkat di seluruh dunia, dan Singapura tidak terlepas daripada ancaman ini," tegas ISD.
Walaupun gerakan itu sering dikaitkan dengan ketuanan kulit putih, mesejnya yang lebih luas tentang sikap cauvinisme etno-agama, perkauman dan xenofobia yang boleh menarik minat penyokong bukan kulit putih.
"ISD akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu di Singapura yang menyokong, mempromosi, menjalankan atau membuat persediaan untuk melakukan keganasan bersenjata, tanpa mengira bagaimana mereka mewajarkan keganasan sedemikian dari sudut ideologi atau di mana keganasan itu dilakukan," tegas ISD.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.