Remaja radikal hampir-hampir lakukan serangan di kawasan sesak Tampines, dedah Shanmugam

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada 18 Okt 2024. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
SINGAPURA: Penangkapan seorang remaja rakyat Singapura berusia 17 tahun yang menjadi radikal, kurang sebulan sebelum dia melancarkan serangan pengganas di Tampines, "hampir tercapai" kerana dia dengan mudah boleh melakukan serangan besar-besaran ke atas orang ramai.
Demikian menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.
Beliau berkata demikian kepada para wartawan pada Jumaat (18 Okt) di sebuah kawasan terbuka di Tampines Street 81, di mana pelajar itu telah memilih lokasi tersebut untuk melancarkan serangannya.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mendedahkan dalam kenyataan medianya pada Jumaat bahawa remaja itu diberkas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada bulan Ogos sebelum serangan yang dirancang itu dilancarkan semasa cuti sekolah bulan September.
Dia telah merancang untuk menyerang lelaki bukan Muslim berhampiran Kelab Masyarakat Tampines West menggunakan sama ada pisau dapur atau gunting dari rumahnya.
Menyusuli penangkapannya, remaja itu kemudian dikenakan Perintah Tahanan dua tahun pada bulan September.
Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai tempoh antara pemberkasan remaja tersebut dengan serangan yang dirancangkan itu, Encik Shanmugam berkata: "Saya akan katakan ini adalah salah satu daripadanya yang nyaris-nyaris tidak dapat dielakkan.
"Sebelum ini, kebanyakan kes yang saya boleh ingat, rancangan untuk melancarkan serangan masih jauh lagi."
Encik Shanmugam turut menarik perhatian bahawa kawasan di mana remaja itu berniat untuk melakukan serangan sering dikunjungi "ribuan orang" setiap hari, termasuk warga emas dan kanak-kanak kecil, dan ia akan menjadi lebih sesak semasa cuti sekolah.
"Mereka tidak datang ke sana dengan jangkaan mereka akan diserang. Orang ramai dapat bergerak di merata Singapura dengan rasa yang selamat. Lantaran itu, dia boleh dengan mudah melakukan serangan besar-besaran dan membunuh ramai orang di kawasan itu."

Warga emas dan kanak-kanak adalah "sasaran mudah bagi penyerang sedemikian", dan melihat kepada radikalisasi dan betapa hampirnya dia melancarkan serangan itu, ISD memutuskan adalah lebih selamat untuk menahannya, jelas menteri itu.
Beliau menekankan: "Cuba bayangkan sekiranya dia melakukan serangan besar-besaran di sini. Ia sebuah kawasan kejiranan. Apakah akibatnya?
"Mungkin sesiapa sahaja daripada anda semua. Ia mungkin sesiapa sahaja. Ia mungkin anak perempuan anda, anak lelaki anda, anak anda, ibu bapa anda."
Encik Shanmugam juga merujuk kepada kes keganasan bersenjata lain oleh anak muda yang menjadi radikal di merata dunia.
Pada Julai, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun diberkas selepas menikam seorang individu berusia 22 tahun di Universiti Sydney.
Meskipun motif atau ideologi lelaki itu tidak didedahkan, pihak berkuasa Australia meluahkan kebimbangan terhadap bukti yang menunjukkan bahawa anak muda kian radikal.
Dalam insiden berasingan yang berlaku di Sydney, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa dengan kesalahan pengganasan kerana dipercayai menikam seorang paderi pada bulan April.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.