Remaja radikal 17 tahun diberkas kurang sebulan sebelum rancang serangan di kejiranan HDB
SINGAPURA: Seorang warga Singapura berusia 17 tahun yang menjadi radikal diberkas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), beberapa minggu sebelum rancangannya untuk melakukan serangan pengganas di kawasan kejiranan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Pelajar itu, yang digambarkan dalam kenyataan media Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Jumaat (18 Okt), sebagai penyokong "tegar" ISIS mahu menggunakan sama ada pisau dapur atau gunting dari rumahnya sebagai senjata.
Sejak 2020, ISD telah menahan lima remaja radikal yang mahu melakukan serangan di Singapura menggunakan senjata yang mudah diakses.
Serangan sedemikian tidak memerlukan banyak masa mahupun persediaan untuk melakukannya, tegas jabatan itu.
Dalam kes ini, remaja itu bertekad untuk melaksanakan rancangannya dan dia berjaya diberkas pada Ogos, kurang sebulan sebelum dia melakukan serangan itu, tambah ISD.
Dia telah merancang untuk menyerang lelaki-lelaki bukan Islam berhampiran Balai Rakyat Tampines West semasa cuti sekolah pada bulan September. Menyusuli penahanannya, remaja itu telah dikenakan Perintah Tahanan selama dua tahun pada bulan lalu.

PERSIAPAN "KONKRIT"
Remaja lelaki itu memilih Tampines kerana ramai orang berada di kawasan itu dan ia tidak jauh dari rumahnya, menurut ISD.
Dia juga mengambil "langkah-langkah konkrit" untuk mempersiapkan dirinya bagi serangan itu, tambah agensi tersebut.
Pisau atau gunting menjadi senjata pilihannya kerana remaja itu merasakan dia boleh menggunakannya dengan berkesan dan menimpakan "padah maksimum" pada sasarannya.
"Untuk memastikan dia boleh membunuh atau mencederakan sasarannya dengan teruk, dia bercadang untuk menikam pada bahagian leher, dan berlatih menikam menggunakan genggaman berbeza dengan gunting," dedah ISD.
Pada bulan Jun, dia melalui laluan yang akan diambil dari rumahnya untuk melakukan serangan itu.
ISD menambah bahawa remaja itu sanggup dibunuh oleh polis atau orang yang lalu lalang semasa melakukan serangannya, kerana dia percaya tindakannya itu akan memenuhi aspirasinya untuk mati syahid.
"Dia juga akan berasa bangga jika serangan yang dirancangkan itu, jika berjaya dilaksanakan, akan menjadi serangan pengganas pertama di Singapura dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini."
Dia juga merancang untuk mengisytiharkan jihad bersenjatanya sebelum melakukan serangannya dengan harapan ia akan memberi inspirasi kepada orang Islam yang lain untuk sama-sama terlibat dalam keganasan bersenjata, dedah ISD selanjutnya.
BAGAIMANA DIA MENJADI RADIKAL
Menurut ISD, pelajar itu terpengaruh dengan ajaran pendakwah radikal dari luar negara pada Ogos 2023 ketika mencari ilmu agama secara online.
Dia mula berpegang teguh dan taksub kepada fahaman yang bertanggapan bahawa orang Islam tidak seharusnya mengucapkan atau menyampaikan salam perayaan kepada orang bukan Islam.
Serangan kumpulan Hamas terhadap Israel pada 7 Okt 2023 membawa kepada peningkatan bahan pelampau yang disebarkan di ruang siber oleh ISIS dan kumpulan-kumpulan pengganas lain, yang cuba mengambil kesempatan daripada konflik tersebut untuk menyebarkan naratif ganas mereka, menurut ISD.
Pendedahan remaja itu kepada bahan-bahan online pro-ISIS membawanya ke jalan radikalisasi, tambah ISD.
Dia kemudian menyertai pelbagai kumpulan online yang memberikan maklumat terkini mengenai kegiatan-kegiatan ISIS, dan menyokong retorik kumpulan tersebut dalam mempromosikan penggunaan keganasan bersenjata untuk menubuhkan sebuah wilayah Islam.
Menjelang Januari, remaja itu bercita-cita untuk mati syahid semasa berjuang untuk ISIS.
Pada bulan Mei, selepas mengikrarkan taat setianya kepada kumpulan itu, dia menganggap dirinya sebagai seorang anggota ISIS dan bersedia untuk melaksanakan sebarang arahan daripada kumpulan tersebut - termasuk melakukan serangan, kata ISD.
Pertama, dia percaya dia perlu mematuhi seruan ISIS untuk pengikutnya membunuh orang bukan Islam di mana sahaja mereka berada. Dia juga taksub dengan propaganda ISIS yang mengagung-agungkan serangan nekad; yang akhirnya mendorongnya untuk merancang dan melakukan serangan di sini.
RANCANG PERGI SYRIA
Sebelum merancang serangannya di Singapura, remaja itu juga berhasrat untuk pergi ke Syria bagi menyertai ISIS dan melibatkan diri dalam keganasan bersenjata.
Walaupun dia tidak mempunyai sebarang garis masa khusus untuk melakukan perjalanan itu, dia menghubungi seorang kenalan online yang berpangkalan di Syria untuk mendapatkan nasihat, dan juga bagi mengkaji laluan penerbangan ke sana.
"Walaupun dia menentang Perkhidmatan Negara (NS) kerana dia tidak mahu berkhidmat untuk sebuah negara sekular, dan oleh itu, pada pandangannya, pemerintah adalah 'kafir', dia tetap akan menjalani NS kerana dia melihatnya sebagai peluang untuk melengkapkan dirinya dengan kemahiran ketenteraan dan pertempuran yang akan membantunya dalam pertempuran di Syria," dedah ISD dalam kenyataannya.
Untuk mempersiapkan diri, dia turut memuat turun bahan-bahan daripada majalah pelampau yang mengandungi panduan untuk merancang serangan atau melakukan serangan hendap.
Sebelum dia diberkas, remaja itu masih bertanggapan bahawa rancangannya untuk berperang di Syria adalah "usaha penting dan bermakna", kerana dia akan dapat berjuang dan mati bersama para anggota ISIS yang mahu menubuhkan negara Islam di Syria, kata ISD .
Tetapi dia juga mengakui bahawa sukar untuk pergi ke Syria tanpa menimbulkan syak wasangka daripada keluarganya.
"Ini menyumbang kepada keputusannya untuk merancang serangan di Singapura, yang dia rasa lebih mudah untuk dilaksanakan dan memenuhi aspirasinya untuk mati syahid," tambah ISD.
RAHSIAKAN PERGERAKANNYA
Remaja itu juga berusaha untuk menyebarkan kepercayaannya dengan berkongsi secara aktif di media sosial bahan-bahan radikal yang mempromosikan jihad bersenjata, termasuk laungan ISIS.
“Dia mengaku dia mahu mempengaruhi pengikutnya supaya mereka membenci orang bukan Islam dan percaya bahawa membunuh mereka memang wajar,” kata ISD.
Dia juga sering berkongsi kepercayaannya, seperti menasihati orang Islam supaya tidak berinteraksi dengan orang bukan Islam atau menyertai perayaan bukan Islam.
Siasatan ISD setakat ini mendapati bahawa remaja itu tidak berjaya meradikalisasi pengikut atau kenalannya, dan dia bertindak bersendirian.
Keluarga dan rakannya tidak tahu tentang rancangannya untuk melakukan serangan di Singapura atau terlibat dalam keganasan bersenjata di Syria, kata agensi itu.
Bagaimanapun, ibu bapanya menyedari bahawa dia sentiasa menonton video pendakwah asing dan menasihatinya supaya jangan berbuat demikian, dengan mengatakan bahan-bahan itu mungkin tidak sesuai untuk konteks Singapura. Tetapi pelajar itu tidak mengendahkan mereka.
Sebaliknya, dia mengambil langkah untuk menyembunyikan dan merahsiakan aktivitinya, seperti menggunakan kata kod ketika membincangkan kepercayaan radikalnya secara online dan bagi rangkaian peribadi maya (VPN) ketika melungsuri laman web radikal, kata ISD.
Agensi tersebut menyatakan bahawa kes terbaharu itu menarik perhatian kepada trend radikalisasi dalam kalangan remaja yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dan radikalisasi sedemikian - yang biasanya berlaku dalam secara online - boleh berlaku dalam tempoh yang singkat dalam masa beberapa bulan.
ISD juga menarik perhatian kepada ancaman yang semakin meningkat berhubung serangan yang dilakukan sendirian terhadap sasaran-sasaran lemah, menggunakan senjata yang mudah diperolehi, sedang ISIS dan kumpulan-kumpulan pengganas yang lain menyeru pengikut mereka supaya melancarkan serangan di mana sahaja mereka berada.
Sesiapa yang mengetahui atau mengesyaki bahawa seseorang telah menjadi radikal digesa supaya menghubungi talian hotline ISD di 1800-2626-473.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.