Remaja perempuan 18 tahun diberkas jual kanta lekap tidak berdaftar di Telegram
Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun diberkas kerana menjual kanta lekap tidak berdaftar di Telegram, sedang pihak berkuasa menjalankan tindakan keras selama berbulan-bulan terhadap penjualan produk kesihatan haram secara online.
Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun diberkas kerana menjual kanta lekap tidak berdaftar di Telegram serta di gerai sewa di sebuah pusat beli-belah. (Gambar: HSA)
This audio is generated by an AI tool.
Dalam kenyataan medianya pada Khamis (26 Jun), Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyatakan bahawa ia telah menurunkan 171 penyenaraian kanta lekap tidak berdaftar di platform e-dagang dan media sosial tempatan.
Enam belas laman web di luar negara yang menjual kanta lekap sedemikian kepada pengguna di Singapura telah disekat.
"Kanta lekap tidak berdaftar ini, yang dipasarkan kepada pengguna pada harga menarik, belum dinilai oleh HSA terhadap keselamatan dan kualitinya," kata agensi itu sambil menambah bahawa produk sedemikian boleh menyebabkan komplikasi serius seperti jangkitan mata, ulser kornea dan potensi berlaku gangguan pada daya penglihatan.
Dalam kes remaja perempuan berusia 18 tahun itu, yang diberkas pada Mac, HSA menyatakan bahawa dia telah membeli 500 kanta lekap sedemikian daripada laman web luar negara pada harga S$6 sepasang. Dia memperoleh keuntungan dengan menjualnya pada harga S$12.
Remaja itu memuat naik di Telegram bahawa kanta lekap itu tersedia untuk dijual di gerai sewanya di pusat beli-belah di bahagian timur Singapura. Sebanyak 280 kanta lekap berkuasa dan tidak berkuasa dirampas dalam operasi bersama HSA dan Kementerian Kesihatan (MOH).
HSA turut mendedahkan bahawa ia telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadapnya. "Penjual itu juga sedang disiasat oleh MOH dan akan ditangani secara berasingan," tambahnya.
UBAT PRESKRIPSI HARAM
Kes itu adalah satu daripada 1,288 penyenaraian produk kesihatan haram yang diturunkan daripada platform e-dagang dan media sosial tempatan dalam operasi yang dijalankan dari 16 Dis 2024 hingga 16 Mei 2025.
Operasi itu adalah sebahagian daripada usaha global yang diselaraskan oleh Interpol untuk memerangi jenayah farmaseutikal. Sebanyak 90 negara terlibat, kata HSA.
Tiga kategori teratas produk kesihatan haram yang dikesan ialah: Ubat untuk keadaan kulit dan rambut (37 peratus), krim antibiotik, antikulat dan antivirus, tablet atau kapsul (15 peratus), dan kanta lekap tidak berdaftar (13 peratus).
Ubat preskripsi membentuk separuh daripada jumlah penyenaraian produk haram yang dikesan online.
Daripada 1,288 penyenaraian yang diturunkan, 644 adalah untuk ubat preskripsi. Ini termasuk krim jerawat, ubat keguguran rambut, serta tablet dan kapsul antibiotik, antikulat dan antivirus untuk merawat jangkitan.
"Produk ini sering dicari oleh pengguna yang mengubati diri sendiri, " kata HSA.
"Bagaimanapun, pengguna yang membeli ubat-ubatan ini secara online mempertaruhkan kesihatan mereka kerana ubat preskripsi mengandungi bahan yang hanya boleh digunakan di bawah pengawasan perubatan yang betul."
HSA berkata pengguna kanta lekap harus ambil perhatian bahawa adalah satu kesalahan di sisi undang-undang untuk menjual kanta lekap secara online.
Kanta lekap ialah peranti perubatan yang mesti didaftarkan dengan pihak berkuasa untuk memastikan ia memenuhi piawai keselamatan, prestasi dan kualiti yang diperlukan.
Ia juga penting untuk menjalani pemeriksaan mata yang betul dan mempunyai kanta lekap yang dipasang oleh pakar optometris berdaftar atau pakar optik pengamal kanta lekap sebelum menggunakan kanta lekap itu, kata HSA.
Dari 2024 hingga Jun tahun ini, HSA menerima tujuh aduan daripada pengguna kanta lekap yang mengalami reaksi buruk mata seperti konjunktivitis, ulser kornea dan penglihatan kabur, dengan kebanyakan pengguna terjejas memerlukan rawatan perubatan dengan antibiotik.
Bilangan sebenar pengguna terjejas mungkin lebih tinggi kerana ada yang mungkin tidak mendapatkan rawatan perubatan, kata HSA.
Sesiapa yang didapati bersalah kerana membekalkan produk kesihatan yang tidak sah, tidak berdaftar atau palsu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan didenda sehingga S$100,000 jika sabit kesalahan di mahkamah.
Sesiapa yang diberkas kerana mengimport atau membekalkan kanta lekap tidak berdaftar boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan didenda sehingga S$100,000.
Individu yang tidak layak mengeluarkan preskripsi, membekalkan, menyediakan atau menjual kanta lekap berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda S$25,000 untuk kesalahan pertama. Hukuman berganda untuk kesalahan berikutnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.