Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja perempuan 15 tahun bunuh datuk, sebelum mengambil nyawa sendiri: Koroner mahkamah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang remaja perempuan 15 tahun membunuh datuknya, sebelum membunuh diri di sebuah flat di Bukit Batok.

Demikian seperti yang diberitahu koroner mahkamah pada Rabu (29 Nov).

Encik Teo An Nee, 84 tahun, ditemui mati dengan luka tikaman pada 23 Jun 2022.

Cucu perempuannya, Cik Ellis Teo, ditemui di atas rumput beberapa blok jauh dari tempat didiaminya pada hari yang sama.

Mahkamah diberitahu para pegawai penyiasat kedua-dua kes bahawa tiada pihak ketiga yang terlibat, berdasarkan bukti yang ditemui.

SIRI KEJADIAN

Cik Teo menetap bersama ibu bapa dan datuknya di Blok 363, Bukit Batok Street 31.

Pada hari kejadian, ibu bapanya sedang berada di tempat kerja manakala datuknya dirakam oleh kamera polis sedang pulang ke rumah kira-kira pukul 2.30 petang.

Sekitar pukul 5.00 petang, Cik Teo dilihat meninggalkan blok tersebut dengan plaster di tangan kirinya.

Catatan dari pengendali kad pengangkutan awam EZ-Link menunjukkannya menaiki MRT. Cik Teo kemudian berjalan ke Blok 115, Bukit Batok West Avenue 6 di mana dia menaiki lif hingga ke tingkat 25, sebelum melompat ke bawah.

Ibu Cik Teo pulang ke rumah seperti biasa dan dijemput anjing milik keluarganya pada kira-kira pukul 5.30 petang. Mulut haiwan peliharaan itu berlumuran darah.

Dia kemudian memeriksa bapa mertuanya dan menemui warga emas itu berlumuran darah, terbaring berdekatan tandas dalam keadaan terlentang.

Bedah siasat menemui sekurang-kurangnya tujuh kesan tikaman pada jasad Encik Teo. Sehelai baju yang merupakan sebahagian daripada seragam sekolah Cik Teo ditemui dalam baldi mop, berlumuran darah datuknya.

IDEA BUNUH DIRI

Selepas kedua-dua mayat ditemui, polis menggeledah bilik Cik Teo dan menemui diarinya, yang mengandungi maklumat tentang masalah kesihatan mentalnya dan idea untuk membunuh diri.

Dalam satu catatan dalam diarinya bertarikh 2021, dia menulis bahawa dia rasa kesunyian dan menulis kaedah untuk meragut nyawa.

Cik Teo juga menulis bahawa dia ingin membunuh diri di blok HDB di belakang rumah sepupunya, yang dekat dengan rumahnya, di mana dia ditemui mati.

Diari tersebut tidak mendedahkan sebarang niat jahat terhadap datuknya, walaupun satu catatan menunjukkan bahawa Cik Teo menghadapi kesukaran ketika bercakap dengan datuknya dan mengajarnya menggunakan telefonnya kerana bahas Mandarinnya tidak begitu baik.

Dalam satu lagi catatan, Cik Teo menulis bahawa dia mempunyai "ibu bapa hebat yang mencintainya" dan dia menyayangi rakan-rakannya.

Seorang pegawai penyiasat berkata bahawa polis tidak dapat mendedahkan kepada mahkamah perkara yang benar-benar berlaku ketika Encik Teo berada di rumah bersama cucu perempuannya.

Tiada sebarang tanda rumah tersebut dipecah masuk dan cap jari kaki serta DNA ditemui di tempat kejadian pada waktu itu dimiliki kedua-dua mangsa.


Anda boleh dapatkan bantuan di:

Talian Samaritans of Singapore:
1767

Talian Institut Kesihatan Mental (IMH): 6389 2222

Talian Bantuan Kesatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019

Anda juga boleh mendapatkan senarai talian bantuan di pautan ini.

Jika anda mengetahui sesiapa yang memerlukan bantuan segera, hubungi talian khidmat kecemasan 24 jam.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan