Remaja perempuan 13 tahun disiasat kerana hisap vape di luar Mahkamah Negara
Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun sedang membantu siasatan selepas dia dilihat menggunakan vape yang dibubuh dengan anestetik di luar Mahkamah Negara, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (13 Mei).
HSA telah dimaklumkan mengenai kes itu pada 24 Apr selepas remaja itu "berkelakuan meragam" semasa menghisap vape di depan khalayak ramai di luar mahkamah di Chinatown.
"Dia tidak berkelakuan tidak tentu hala dan kelihatan tidak menyedari keadaan di sekelilingnya; satu petanda dia mungkin mabuk dadah," kata pihak berkuasa.
Para pegawai dari HSA mengenal pasti remaja berusia 13 tahun itu dan menyerbu kediamannya, merampas vape yang didapati mengandungi etomidate.
Etomidate adalah ramuan perubatan yang digunakan dalam amalan klinikal sebagai agen anestetik. Ia hanya boleh digunakan di bawah pengawasan perubatan.
Kesan buruk etomidate termasuk rasa loya dan muntah, kekejangan otot, perubahan pernafasan dan tekanan darah, serta sawan dan psikosis.
Menurut HSA, ia mengenal pasti dan memberkas orang yang menjual vape itu kepada remaja berusia 13 tahun itu. Satu vape dan tiga pod yang dirampas daripada penjual juga didapati mengandungi etomidate.
Penjual berusia 25 tahun dan isterinya berusia 26 tahun turut membantu siasatan.
Dalam kejadian berasingan, HSA mengenal pasti seorang lelaki berusia 36 tahun yang dirakam sedang menghisap vape di dalam MRT. Rakaman video mengenai perbuatannya itu telah dimuat naik ke media sosial pada 18 Apr.

Agensi itu turut menyatakan bahawa orang ramai yang menyaksikan sesiapa sahaja menggunakan vape boleh "secara sukarela membantu" HSA dalam tindakan penguatkuasaannya dengan menyerahkan "gambar atau video yang jelas" mengenai pesalah kepada hsa_trb [at] hsa.gov.sg.
Membeli, memiliki dan menggunakan vape dilarang di Singapura. Ini termasuk pembelian online dan dari luar negara.
Pesalah boleh didenda sehingga S$2,000.
Jika sabit kesalahan, mereka yang memiliki atau menggunakan pod vape yang mengandungi etomidate boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai import, pengedaran atau penjualan vape boleh menghubungi Cawangan Peraturan Tembakau di talian 6684 2036 atau 6684 2037 pada waktu pejabat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.