Remaja meninggal dunia dihempap tiang bola keranjang di Bedok South
Seorang remaja meninggal dunia setelah dihempap struktur bola keranjang di Bedok South pada Isnin malam (26 Jul).
(Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang remaja meninggal dunia setelah dihempap struktur bola keranjang di Bedok South pada Isnin malam (26 Jul).
Polis menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan pada pukul 8.43 malam mengenai seseorang yang ditemui cedera di sebelah struktur yang tumbang di gelanggang bola keranjang berdekatan Blok 18 Bedok South Road.
Remaja lelaki 17 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dikejarkan ke hospital, di mana dia meninggal dunia akibat kecederaannya, menurut polis.
Remaja itu dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) dan CPR dilakukan ke atasnya semasa dalam perjalanan, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Dalam catatan di Facebook pada pagi ini (27 Jul), Majlis Bandaran East Coast Pantai Timur menyatakan pihaknya bersedih atas kejadian itu.
Struktur gelung bola keranjang itu tumbang dan menimpa salah seorang pengguna gelanggang, menurut majlis bandaran itu menukil "maklumat awal yang diterimanya".
Majlis bandaran itu menyatakan pihaknya sudah menutup gelanggang bola keranjang tersebut "untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap integriti semua struktur di sana" demi keselamatan penduduk.
"Ingatan kami bersama mangsa dan anggota keluarganya. Kami akan bekerjasama dengan agensi-agensi yang relevan untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada mereka," tambahnya.
Polis menyatakan siasatan ke atas kematian luar biasa itu sedang dijalankan.
Majlis bandaran itu menambah pihaknya sedang bekerjasama dengan polis dan meminta saksi kejadian menghubungi Divisyen Polis Bedok di talian 1800-244-0000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.