Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja mengaku ubah maklumat NRIC untuk masuk kelab dan bar

Gara-gara ingin ikut serta rakan-rakannya memasuki bar dan kelab malam, seorang remaja menukar butiran dalam kad pengenalannya supaya dia memenuhi syarat umur.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja mengaku ubah maklumat NRIC untuk masuk kelab dan bar

Petikan skrin dari Google Street View.

Diterbitkan : 27 Jul 2021 08:32PM Dikemas Kini : 27 Jul 2021 11:38PM

SINGAPURA: Gara-gara ingin ikut serta rakan-rakannya memasuki bar dan kelab malam, seorang remaja menukar butiran dalam kad pengenalannya supaya dia memenuhi syarat umur.

Meski tembelangnya terbongkar di setiap pusat hiburan yang cuba dimasukinya, remaja berusia 17 tahun itu tetap mencuba nasib. Dia mengaku bersalah pada Selasa (27 Jul) atas tiga tuduhan menukar butiran dalam kad pengenalan (NRIC), menggunakan kad NRIC yang diubah dan mempunyai pisau lipat di tempat awam.

Lagi empat tuduhan akan diambil kira ketika menjatuhkan hukuman. Remaja lelaki tidak boleh didedahkan namanya kerana bawah umur.

Mahkamah diberitahu ketika melakukan kesalahan itu remaja berkenaan berusia 15 atau 16 tahun dan bekerja dalam khidmat jamuan makan.

Pada 2019, dia membuat salinan kad pengenalannya dan menukar tahun kelahiran serta nombor NRIC supaya nampak seperti berusia lebih 18 tahun.

Pada 1 Jan 2020, seorang pengawal keselamatan di bar Sticky Fingers di Keng Cheow Street sedang melakukan pemeriksaan rutin. Beliau mendapati remaja itu menggunakan NRIC palsu untuk memasuki bar dan tertuduh mengaku.

Sekitar sebulan selepas itu pada 13 Feb 2020, remaja itu diajak rakan-rakannya untuk ke kelab. Sedar bahawa dia tidak cukup umur, remaja itu sekali lagi memalsukan NRICnya untuk menipu pegawai yang memeriksa bahawa dia memenuhi syarat usia.

Dia mengambil gambar bahagian depan dan belakang NRICnya dan menggunakan aplikasi telefon bimbit untuk menyunting gambar-gambar itu.

Dia menukar tiga angka pertama dan abjad terakhir nombor NRICnya, dan juga menukar tarikh lahirnya daripada November 2003 kepada Januari 1999.

Dia pergi ke sebuah kedai di Tampines Mall untuk mencetak dan menampal kad pengenalan palsu itu.

Pada sekitar 3.30 pagi 14 Februari 2020, dia cuba memasuki kelab One Min dengan kad palsu itu, tetapi ditahan oleh pengawal pintu kelab.

Pengawal tersebut memanggil polis dan memberitahu mereka dia sedang menahan seorang budak lelaki yang menggunakan kad pengenalan palsu.

Dalam satu peristiwa berasingan beberapa hari sebelum itu, para pegawai keselamatan pengangkutan awam yang sedang menjalankan pemeriksaan rutin ke atas remaja itu di Stesen MRT Tampines menjumpai NRIC yang disalin dan pisau lipat pada dirinya.

Remaja itu mendakwa membawa pisau itu untuk digunakan sebagai pembuka botol.

Pihak pendakwa meminta kedua-dua laporan probesen dan kesesuaian latihan pemulihan dilakukan, sambil menekankan bahawa remaja itu mengulangi kesalahannya beberapa kali walaupun ditangkap setiap kali.

Peguam bela Cory Wong dari Invictus Law meminta laporan kesesuaian bagi probesen sahaja, sambil berkata kesalahan-kesalahan tersebut dilakukan ketika anak guamnya masih sangat muda.

Hakim bersetuju dengan pihak pembela dan meminta hanya laporan kesesuaian probesen. Remaja itu akan kembali ke mahkamah untuk mendengar hukumannya pada bulan depan.

Atas kesalahan memalsukan NRIC untuk melakukan penipuan, remaja itu boleh dipenjara selama empat tahun, didenda atau kedua-duanya.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan