Skip to main content

Singapura

Remaja mengaku rompak kedai 7-Eleven bersenjatakan pisau

Bersenjatakan sebilah pisau, seorang remaja mencuri enam paket rokok dan sekeping burger di sebuah cawangan 7-Eleven di Sengkang.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja mengaku rompak kedai 7-Eleven bersenjatakan pisau

(Gambar: Wikicommons/Calvin Teo)

Diterbitkan : 21 Feb 2020 03:26PM Dikemas Kini : 21 Feb 2020 03:31PM

SINGAPURA: Bersenjatakan sebilah pisau, seorang remaja mencuri enam paket rokok dan sekeping burger di sebuah cawangan 7-Eleven di Sengkang.

Menurut peguamnya, dia melakukan demikian kerana tiba-tiba mempunyai keinginan kuat untuk meniru babak yang dilihat dalam filem melibatkan para perompak.

Dia juga tahu bahawa hanya terdapat seorang pekerja yang bekerja pada malam itu, dan berasa lapar serta tidak mempunyai cukp wang untuk membeli makanan.

Jacob Seow, 18 tahun mengaku bersalah pada Jumaat (21 Feb) atas satu tuduhan merompak, yang telah dikurangkan daripada tuduhan rompakan bersenjata.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Seow mengambil keputusan merompak cawangan itu di Blok 403A, Fernvale Lane, pada 3 Ogos tahun lalu.

Dia mengambil pisau dari dapurnya, yang kemudian disampan dalam sakunya, dan meninggalkan rumah pada 12.30 tengah malam pada 4 Ogos.

Dia memasuki kedai itu, yang dijaga oleh seorang pembantu kedai berusia 21 tahun, dan meletakkan sekeping coklat di kaunter pembayaran untuk mengalihkan perhatian mangsa.

ACU PISAU TERHADAP MANGSA, TUNTUT WANG DAN ROKOK

Dia kemudian mengacukan pisau terhadap mangsa, sebelum meletak beg di kaunter dan mengarahkan mangsa memasukkan wang serta rokok di dalamnya.

Mangsa memberitahunya bahawa beliau hanya boleh memasukkan rokok, kerana tidak dapat membuka kaunter menyimpan wang, menurut Timbalan Pendakwa Raya Sean Teh.

Seow kemudian mencuri enam paket rokok bernilai antara S$12.60 dengan S$14.30 dan meletakkannya di dalam beg.

Dia membenarkan si mangsa menyimpan telefon bimbitnya, sebelum mengambil burger bernilai $2.90 dari peti sejuk.

Dia kemudian meletakkan tangannya di leher mangsa dan mencekiknya, dengan niat membuatnya pengsan dan melengahkannya daripada menelefon polis.

Bagaimanapun, dia berhenti buat demikian kerana takut ada orang akan memasuki kedai itu, dan berterima kasih kepada si mangsa kerana membenarkannya mencuri.

ANAK GUAM MASIH MUDA, KESAL: PEMBELA

Peguam bela Ashwin Ganapathy dari IRB Law meminta untuk laporan probesyen sahaja, sambil berkata bahawa anak guamnya masih muda dan ia adalah kali pertama dia menyalahi undang-undang.

Beliau berkata bahawa Seow, yang kini menjalani perkhidmatan negara dengan SCDF, amat menyesali perbuatannya dan sudah menulis surat mohon maaf kepada mangsa.

Ibu bapa Seow bercerai semasa dia kanak-kanak, dan dibesarkan oleh ibunya dan teman lelaki ibunya. Mereka sudah melihat perubahan positif pada kelakuan Seow dan dia kini mendengar nasihat mereka serta tidak lagi melawan, menurut peguamnya. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita