Skip to main content

Singapura

Remaja mengaku rakam budak lelaki bogel dalam tandas kolam renang awam

Remaja itu didapati mempunyai lebih 50 rakaman lucah melibatkan budak-budak lelaki tidak berpakaian.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja mengaku rakam budak lelaki bogel dalam tandas kolam renang awam

Gambar fail Kompleks Kolam Renang Sengkang.

Diterbitkan : 16 Mar 2021 04:04PM Dikemas Kini : 16 Mar 2021 04:08PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang menemani anaknya di sebuah kompleks kolam renang awam ternampak seorang remaja mengacukan telefon bimbit ke arah anaknya di tandas.

Beliau bersemuka dengan remaja itu, dan pegawai polis yang dipanggil ke tempat kejadian menemui dua telefon bimbit padanya dengan lebih 50 filem lucah melibatkan budak lelaki bogel.

Tertuduh, yang tidak boleh didedahkan namanya di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda kerana berusia 16 tahun, mengaku bersalah pada Selasa (16 Mac) atas 10 tuduhan merakam filem lucah. Lagi 48 tuduhan akan dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh, yang berusia 15 tahun ketika itu, telah pergi ke Kompleks Sukan Sengkang pada 22 Sep 2019 dan merakam budak lelaki tidak berpakaian dalam tandas lelaki. Dia kembali lagi pada 19 Okt 2019, dan merakam lebih banyak video.

Salah seorang budak lelaki itu baru sahaja selesai mengikuti kelas renangnya dan pergi ke kawasan menukar pakaian bersama ayahnya. Ayah budak tersebut ternampak tertuduh mengacukan telefon ke arah anaknya dan bersemuka dengan remaja tersebut sebelum mendapatkan bantuan daripada kakitangan kompleks berkenaan.

Tertuduh takut dan bersembunyi di salah satu bilik tandas. Apabila polis tiba, mereka menemui dua telefon milik tertuduh dengan 58 filem lucah di dalamnya menunjukkan budak lelaki tidak berpakaian - sedang menukar baju, keluar dari bilik tandas atau sedang memakai pakaian.

Pihak pendakwa tidak membantah terhadap permohonan meminta laporan kesesuaian probesen kerana tertuduh masih muda dan tidak mempunyai rekod sabitan sebelumnya. Bagaimanapun, menekankan bahawa remaja itu boleh dianggap sebagai pesalah berulang memandangkan jumlah besar kesalahan dalam kes ini.

Ibu bapa remaja itu menyerahkan surat ke mahkamah bagi pihak anak mereka, dengan ibunya meminta agar dibenarkan berdiri di samping anaknya semasa perbicaraan tetapi permintaan beliau ditolak.

Ibunya juga bertanya mengapa anaknya itu dihadapkan di mahkamah negara dan bukan di mahkamah belia, kerana dia berusia 15 tahun ketika dia melakukan kesalahan itu. Pihak pendakwa menjawab bahawa dia tidak boleh dibicarakan di mahkamah belia kerana didakwa semasa berusia 16 tahun, kerana memerlukan masa lama untuk menyiapkan kes itu ekoran banyaknya kesalahan yang dilakukannya.

Remaja itu tidak berkata apa-apa sebagai pembelaan. Hakim menyuruhnya mengetepikan "apa sahaja yang menyebabkan anda mengambil gambar-gambar itu" dan meminta laporan kesesuaian bagi probesen.

Dia akan kembali ke mahkamah bulan depan bagi penetapan hukuman.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita