Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja mengaku bersubahat untuk menipu Microsoft S$192,000

Seorang remaja Singapura bersubahat dengan seorang lelaki warga Amerika untuk melakukan penipuan terhadap Microsoft dengan membuat tuntutan jaminan palsu unutk memperoleh 56 komputer riba bernilai AS$143,144 (S$192,900).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang remaja Singapura bersubahat dengan seorang lelaki warga Amerika untuk melakukan penipuan terhadap Microsoft dengan membuat tuntutan jaminan palsu unutk memperoleh 56 komputer riba bernilai AS$143,144 (S$192,900).

Tertuduh, yang kini berusia 20 tahun, mendakwa semua komputer riba itu sudah dijual dan dia menggunakan hasil penjualan untuk membeli Bitcoin namun "hilang segala-galanya" setelah harga Bitcoin menjunam pada 2018.

Pesalah itu tidak boleh didedahkan namanya kerana dia berusia bawah 18 tahun ketika melakukan kesalahan itu dan justeru dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda.

Dia mengaku bersalah di mahkamah pada Selasa (22 Feb) atas satu tuduhan berpakat untuk menipu Microsoft dan tiga tuduhan memperoleh barangan hasil daripada perbuatan jenayah. Lagi tujuh tuduhan diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh berusia 16 tahun ketika melakukan kesalahan itu pada 2017. Dia mula berkenalan dengan seorang rakyat Amerika yang dikenali sebagai Justin David May, yang berpangkalan di Amerika Syarikat menerusi sebuah forum online privet. Usia May tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Anggota forum itu membincangkan cara-cara untuk mengeksploit program jaminan awal oleh entiti yang menjual peralatan elektronik. Skim tersebut melibatkan membuat tuntutan jaminan palsu untuk mendapatkan peralatan ganti, di samping gagal memulangkan semula peralatan yang kononnnya rosak.

PELUANG UNTUK LAKUKAN PENIPUAN

Sekitar Ogos dengan Oktober 2017, tertuduh mendapati bahawa komputer riba Microsoft Surface dijual online pada harga AS$800 (S$1,077), iaitu separuh daripada harga runcitnya.

Dia juga mendapati nombor pendaftaran komputer riba Microsoft Surface dengan jaminan yang sah boleh dibeli daripada pengguna forum online tertentu pada sekitar AS$25 (S$33) setiap satu.

Dia berkongsi maklumat itu dengan May.

Secara bersama, mereka melakarkan modus operandi: Tertuduh akan membeli nombor pendaftaran komputer riba dengan jaminan sah menerusi online dan menggunakannya untuk membuat tuntutan jaminan pertukaran awal kepada Microsoft dengan mendakwa bahawa peralatan itu rosak.

Di bawah tuntutan jaminan, dia akan memberikan alamat di AS yang disediakan oleh May bagi Microsoft menghantar alat-alat pengganti itu.

Tertuduh kemudian akan menyerahkan nombor penjejakan penghantaran kepada May untuk memaklumkan kepadanya tentang penghantaran yang bakal tiba dan Microsoft akan menghantar peranti itu ke alamat-alamat yang disediakan di AS.

Sebaik sahaja May menerima komputer riba tersebut, dia akan mengumpul dan menghantarnya ke flat tertuduh di Tampines.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian mereka, May akan menyimpan satu dua komputer riba untuk dirinya sendiri bagi setiap lima hingga lapan komputer riba yang diterima.

Antara Ogos dengan Oktober 2017, tertuduh menyerahkan 56 tuntutan jaminan pertukaran awal palsu kepada Microsoft.

Dia membuat tuntutan itu sama ada menerusi online atau panggilan telefon, menggunakan nama rekaan, alamat emel dan telefon bimbit.

Selepas menerima komputer riba di flatnya di Tampnes, tertuduh menjualnya di Carousell pada harga antara S$1,700 dengan S$2,500 setiap satu. Dia menjual sebanyak 75 komputer riba Microsoft Surface melalui wadah itu, namun siasatan tidak dapat mendedahkan bagaimana dia memperolehi lagi 19 komputer riba.

May didakwa di Amerika Syarikat pada Januari 2018 bagi beberapa kesalahan termasuk melakukan penipuan terhadap Microsoft.

Pada Mei 2018, Jabatan Ehwal Komersil Pasukan Polis Singapura menerima maklumat dari Biro Siasatan Federal (FBI) AS bahawa tertuduh dipercayai bersubahat dengan May untuk melakukan penipuan terhadap Microsoft.

Remaja itu membuat bayaran semula sebanyak S$10,000 kepada Microsoft pada Ogos 2021.

Mahkamah meminta laporan kesesuaian probesen dijalankan dan menangguh menjatuhkan hukuman kepada bulan depan.

May dihukum penjara tujuh tahun dan lapan bulan dan diarah membayar ganti lebih AS$4 juta (S$5.3 juta) selepas mengaku bersalah terhadap dua kes berasingan bagi 42 tuduhan penipuan penghantaran, 10 tuduhan pengubahan wang haram, tiga tuduhan melakukan penghantaran ke negara lain melibatkan barangan yang diperolehi menerusi penipuan dan dua tuduhan mengelak bayaran cukai.

Jabatan Keadilan AS berkata May juga terlibat dalam skim berasingan untuk menipu Cisco Systems, Microsoft, Lenovo Group dan APC by Schneider Electric melibatkan perkakasan komputer.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan