Remaja ditangkap disyaki tipu Foodpanda lebih S$14,000 dalam tuntutan palsu
Seorang remaja ditangkap kerana disyaki menipu syarikat penghantaran makanan Foodpanda lebih S$14,000 dalam tuntutan palsu bagi pengembalian wang, menurut polis pada Isnin (24 Ogos).

Gambar fail seorang penghantar makanan Foodpanda menunggang basikal (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Seorang remaja ditangkap kerana disyaki menipu syarikat penghantaran makanan Foodpanda lebih S$14,000 dalam tuntutan palsu bagi pengembalian wang, menurut polis pada Isnin (24 Ogos).
"Pada 21 Ogos, polis menerima laporan daripada syarikat penghantaran itu yang diperdaya untuk mempercayai bahawa pekerja penghantarannya gagal menghantar tempahan seorang pelanggan," kata Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media.
Syarikat tersebut meluluskan tuntutan pengembalian wang palsu itu, tambah polis. Para pegawai dari Divisyen Polis Jurong menangkap lelaki 17 tahun terbabit pada Isnin setelah mengenal pasti identitinya.
"Siasatan awal menunjukkan bahawa dia membuat tuntutan palsu pengembalian wang bernilai S$14,000 bagi tempahan penghantarannya termasuk makanan yang dimasak, barangan dapur dan minuman keras," kata polis.
Remaja itu akan didakwa pada Selasa (25 Ogos) kerana menipu. Sekiranya didapati bersalah, dia boleh didenda dan dipenjara hingga 10 tahun.
"Polis memandang serius terhadap sesiapa yang mungkin terlibat dalam kegiatan penipuan dan pelakunya akan dikenakan tindakan selaras undang-undang," kata SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.