Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja dipenjara lebih 30 minggu tipu pembeli Carousell S$37,000; tidak hadir perbicaraan mahkamah

Selepas didakwa atas kesalahan dadah dan menipu lebih 100 orang yang mahu membeli produk Nintendo, Sim Wei Quan tidak hadir ke perbicaraan kesnya di mahkamah untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-21 sebelum disabit kesalahan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas didakwa atas kesalahan dadah dan menipu lebih 100 orang yang mahu membeli produk Nintendo, Sim Wei Quan tidak hadir ke perbicaraan kesnya di mahkamah untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-21 sebelum disabit kesalahan.

Sim kemudian menipu lebih ramai pembeli online setelah menyedari dia tidak mempunyai cukup wang untuk membayar penginapan di hotel sempena ulang tahunnya.

Pada Rabu (15 Dis), remaja Singapura itu dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah dan satu minggu. Dia direman sejak hujung Mac lalu.

Lelaki berusia 21 tahun itu mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu, satu tuduhan megambil methamphetamine dan satu tuduhan gagal menghadiri perbicaraan selepas dibebaskan dengan ikat jamin. Empat tuduhan lain yang serupa turut dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa sekitar Mac 2020, Sim membuat rancangan untuk memperdaya para pembeli di wadah e-pasaran Carousell dengan menyenaraikan Nintendo Switch dan permainan Nintendo untuk dijual meskipun dia tidak mempunyai permainan-permainan tersebut.

Sim memilih produk-produk itu kerana dia tahu ia popular di wadah tersebut. Dia juga meminta seorang pengkomplot — Neo Shi Xiang, 30 tahun — untuk menyediakan satu akaun bank bagi menerima bayaran daripada pembeli.

Sebagai ganjaran, Sim bersetuju untuk mengupah Neo 20 peratus daripada hasil wang haramnya itu.

Antara Mac dengan April tahun lalu, Sim menipu 129 mangsa sebanyak S$36,885. Dia membelanjakan semua wang itu dan tidak membuat bayaran balik.

Dia diberkas selepas mangsa-mangsanya membuat aduan polis. Sim didakwa dan dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah. Namun, dia ditangkap semula beberapa bulan kemudian selepas para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) mendapat maklumat bahawa lelaki itu terlibat dalam kegiatan dadah.

Pada 20 Januari lalu, Sim diberkas di rumahnya di Bukit Panjang Ring Road. Dia mengaku membeli dadah meth dan perkakas dadah daripada seorang lelaki bernama Alson Tan pada November 2020.

Sim didakwa sekali lagi atas kesalahan tersebut dan dia mengatakan dia berhasrat untuk mengaku bersalah.

Pada 8 Februari, apabila Sim sepatutnya membuat pengakuan bersalah, dia gagal menghadirkan diri dan sebaliknya menginap di sebuah hotel untuk menyambut ulang tahunnya.

Bagi mendapatkan wang untuk membayar penginapannya di hotel, Sim memuat naik senarai bagi iPhone 12 Pro Max di akaun-akaun Carousell serta Facebooknya. Seorang pembeli memindahkan S$1,000 kepadanya tetapi Sim tidak berurusan lanjut dengan pembeli berkenaan berhubung pembelian tersebut.

Mereka yang didapati bersalah menipu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Mereka yang melarikan diri atau melanggar syarat-syarat ikat jamin boleh didenda atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan