Skip to main content

Singapura

Remaja dikenakan probesen setelah cabul bekas kekasih di tangga

Dakwaan kedua menyimpan 464 video lucah diambil kira dalam menetapkan hukuman ke atas remaja 17 tahun itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja dikenakan probesen setelah cabul bekas kekasih di tangga

Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 23 Jul 2021 07:10PM Dikemas Kini : 23 Jul 2021 07:12PM

SINGAPURA: Seorang remaja lelaki 17 tahun dikenakan hukuman probesen 21 bulan pada Jumaat (23 Jul) kerana mencabul bekas kekasihnya di tangga.

Remaja tersebut, yang tidak boleh didedahkan namanya kerana masih bawah umur, mengaku bersalah atas satu tuduhan menghina kehormatan mangsa. Tuduhan kedua memiliki 464 video lucah dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

Dia juga harus melakukan khidmat masyarakat selama 60 jam dan menjalani program rawatan untuk mengatasi kesalahan seksual.

Mahkamah diberitahu remaja itu dan mangsa, yang juga 17 tahun, menjalin hubungan setelah dua bulan berkenalan. Mereka putus hubungan setelah sekitar sebulan namun kekal menjadi kawan, menurut pihak pendakwa.

Pada sekitar 6.30 pagi pada 8 Julai tahun lalu, pasangan itu telah ke tingkat empat sebuah tempat meletak kereta bertingkat dekat dengan sekolah mangsa untuk merokok sebelum kelas bermula.

Setelah selesai merokok, remaja lelaki itu memeluk mangsa dari belakang. Pesalah itu juga terus mencabul mangsa, yang cuba menolak beberapa kali, sebelum akhirnya berkata bahawa dia sudah lewat ke sekolah dan beredar dari tempat itu.

Mangsa kemudian memberitahu seorang ahli psikologi dan pekerja kesnya bahawa tertuduh telah mencabulnya, dan seorang pegawai perlindungan kanak-kanak membawa remaja perempuan itu untuk membuat laporan polis.

Pihak pendakwa pada Jumaat berkata beliau telah menerima kedua-dua laporan probesen dan psikologi dan tidak akan membantah hukuman probesen dikenakan.

Hakim memanggil ibu bapa pesalah tampil ke depan dan bertanya jika mereka dapat melakukan sesuatu mengenai tabiat buruk anak mereka iaitu minum alkohol dan merokok di bawah umur.

Mereka bersetuju untuk mengawasi anak mereka semasa dia dalam tempoh probesen, dan membayar jaminan S$5,000 untuk memastikan tingkah lakunya yang baik.

Hakim kemudian memberitahu pesalah bahawa dia diberi peluang untuk membuktikan dirinya.

Atas kesalahan mencabul, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat, atau mana-mana gabungan hukuman itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita