Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja dikenakan probesen, rakam 101 gambar orang gunakan tandas lelaki

Warga Singapura itu seorang pelajar dan bekerja sambilan di sebuah kedai di Parkway Parade ketika melakukan kesalahan antara Mei dengan Disember 2021.

 

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Atas sebab ingin 'mencari keseronokan' seorang remaja pergi ke tandas awam yang berbeza di Singapura selama tujuh bulan dan secara rahsia mengambil gambar mangsa lelaki menggunakan tandas.

Dia dapat menyembunyikan tindak tanduknya itu dan mengumpul 97 keping gambar 28 mangsa sehingga berjaya ditangkap sedang berbuat demikian oleh seorang bapa yang sedang menggunakan tandas di Parkway Parade bersama anak lelakinya berusia tiga tahun.

Pelaku yang kini berusia 20 tahun itu dikenakan perintah probesen selama 18 bulan pada Khamis (22 Ogos).

Dia tidak boleh dinamakan kerana berusia bawah 18 tahun ketika melakukan beberapa kesalahan tersebut dan oleh itu dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda.

Dia dilarang menggunakan peranti dengan kamera melainkan pegawai probesen atau pekerja kes menilai sebaliknya, dan perlu menghadiri program rawatan yang menyasarkan kesalahan seksualnya.

Belia itu juga perlu melakukan khidmat masyarakat selama 60 jam.

LATAR BELAKANG KES

Mahkamah diberitahu bahawa warga Singapura itu berusia 17 atau 18 tahun ketika melakukan kesalahan antara Mei dengan Disember 2021.

Dia seorang pelajar dan bekerja sambilan di sebuah kedai di Parkway Parade.

Antara 7 Mei 2021 hingga 11 Dis 2021, remaja itu memasuki tandas awam dan menggunakan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar 28 mangsa lelaki yang tidak dikenali menggunakan tandas itu.

Dia akan masuk ke dalam bilik di sebelah bilik yang digunakan mangsa, dan memegang telefonnya di bahagian atas dinding yang memisahkan bilik tandas untuk mengambil gambar mangsa.

Pada kira-kira jam 7.10 malam pada 11 Dis 2021, seorang lelaki berusia 39 tahun membawa anak lelakinya berusia tiga tahun ke tandas di besmen 1 Parkway Parade.

Mereka masuk ke sebuah bilik bersama-sama, dengan remaja itu di dalam bilik bersebelahan.

Remaja itu memegang telefonnya di bahagian atas dinding dan mengambil empat gambar bapa dan anak itu menggunakan tandas.

Bagaimanapun, bapa berkenaan melihat apa yang berlaku dan meminta bantuan daripada pengawal keselamatan yang lalu di situ.

Bersama-sama, mereka menahan remaja itu, yang kemudian ditangkap oleh polis.

Mereka merampas telefonnya dan menemui sejumlah 101 gambar 30 mangsa lelaki - termasuk bapa dan anak lelaki - di dalamnya.

Sebagai sebahagian daripada hukumannya, pesalah perlu berada di dalam rumah dari 11.00 malam hingga 6.00 pagi melainkan dia mendapat kebenaran.

Bapa saudara dan ibu saudaranya membayar bon S$5,000 untuk memastikan di berkelakuan baik semasa tempoh probesen.
 
Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan