Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja dikenakan probesen gara-gara bohong dijangkiti COVID-19 sebagai gurauan

Seorang remaja berusia 19 tahun dikenakan probesen selama 9 bulan pada hari ini (14 Dis) kerana berbohong menerusi akaun Instagram bahawa dia dijangkiti COVID-19 dan akan meninggal dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja dikenakan probesen gara-gara bohong dijangkiti COVID-19 sebagai gurauan

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 14 Dec 2021 01:25PM Dikemas Kini : 14 Dec 2021 01:26PM

SINGAPURA: Seorang remaja berusia 19 tahun dikenakan probesen selama 9 bulan pada hari ini (14 Dis) kerana berbohong menerusi akaun Instagram bahawa dia dijangkiti COVID-19 dan akan meninggal dunia.

Siew Hanlong juga perlu melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama 40 jam dan ibu bapanya mengikat jamin S$5,000 bagi memastikan tingkah lakunya baik semasa probesen.

Siew mengaku bersalah dua bulan lalu atas dua tuduhan menyampaikan maklumat palsu di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Lain (Ketenteramaan dan Gangguan Awam).

Siew memuat naik gambar ujian positif PCR yang diperolehinya online ke Instagram Stories sekitar pukul 1.00 pagi pada 23 Mei 2021, dengan kapsyen: "Kawan-kawan, saya dijangkiti varian baru COVID bye saya akan mati."

Siew juga memuat naik satu lagi gambar menunjukkan dirinya di atas katil hospital, dengan kapsyen: "Di ICU sekarang selamat tinggal semua."

Sedangkan, pada waktu itu, dia berada di rumah dan tidak dijangkit COVID-19. Gambar yang digunakan adalah gambar semasa dia dimasukkan ke hospital atas insiden yang tiada kaitan dengan COVID-19.

Beberapa minit selepas memuat naik catatan-catatan tersebut, Siew memadamkannya. Namun, ia sudah dilihat orang lain.

Seorang kawan Siew yang merupakan anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) di Pulau Tekong terjaga dari tidur pada pukul 4.45 pagi dan menyedari rakan-rakannya yang lain sedang berbincang tentang catatan Instagram Stories yang dimuat naik itu di ruang sembang Whatsapp.

Bimbang sekiranya beliau mungkin dijangkiti COVID-19 daripada Siew, beliau memaklumkan kepada para pegawainya bahawa beliau adalah kontak rapat kes COVID-19 dan menunjukkan catatan Instagram Stories Siew kepada mereka. Ini setelah Siew gagal membalas pertanyaan beliau.

NSF tersebut disuruh mengemas barang-barangnya dan mengambil ujian swab sebelum pulang ke rumah. Jadual latihan pada hari itu terganggu dan bilik NSF tersebut juga dibersihkan selepas beliau meninggalkan Pulau Tekong.

Kemudian, Siew pula memberitahu beliau bahawa Instagram Storiesnya adalah satu gurauan. NSF berkenaan memaklumkan kepada bapa dan para pegawai tentera tentang gurauan Siew sebelum membuat aduan polis.

Pihak pendakwa tidak menolak gesaan untuk mengadakan laporan bagi menilai kesesuaian probesen untuk Siew, yang didapati sesuai bagi hukuman tersebut.

Bagi kesalahan menyampaikan mesej palsu, Siew boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan