Remaja didakwa serang Amos Yee di konvensyen anime Suntec City
Seorang remaja didakwa pada Isnin (11 Mei) selepas dipercayai menyerang Amos Yee pada hujung minggu lalu di satu konvensyen anime.
Petikan video yang tular di internet menunjukkan Amos Yee bergaduh dengan seorang lelaki di luar satu konvensyen anime di Pusat Konvensyen Suntec pada 9 Mei 2026. (Gambar: Petikan skrin, X/amosyeeishere)
- Bosco Chun Ho Wang, warga China berusia 18 tahun, didakwa kerana menyerang Amos Yee di konvensyen anime di Suntec City, Singapura pada 9 Mei.
- Chun menghadapi pertuduhan mengganggu ketenteraman awam dan sengaja menyebabkan kecederaan, dengan hukuman penjara atau denda jika sabit kesalahan.
- Amos Yee, warga Singapura berusia 27 tahun, turut berdepan pertuduhan berkaitan kegagalan menjalani Perkhidmatan Negara dan dijadual hadir ke mahkamah pada 22 Mei.
- Artikel turut menyebut insiden terdahulu pada 2015 di mana Yee pernah diserang, menyorot isu keselamatan dan tindakan undang-undang terhadap pelaku serangan.
Bosco Chun Ho Wang, seorang warga China berusia 18 tahun, yang juga merupakan penduduk tetap Singapura, dikenakan satu pertuduhan mengganggu ketenteraman awam dan satu pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan.
Kejadian tersebut berlaku pada sekitar pukul 2.10 petang pada Sabtu (9 Mei) di tingkat empat Pusat Konvensyen Suntec City.
Chun didakwa menumbuk dan menendang Yee. Tindakannya itu, di samping jeritannya, didakwa menyebabkan gangguan kepada orang awam.
Jika disabit kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, Chun boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Jika didapati bersalah mengganggu ketenteraman awam, dia boleh didenda sehingga S$2,000.
Selepas kejadian itu, Yee memuat naik gambar di internet yang menunjukkan bibirnya yang berdarah.
Warga Singapura berusia 27 tahun itu sedang berdepan pertuduhan berkaitan kegagalannya menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Dia dijadual menghadiri sidang praperbicaraan bagi kes tersebut pada 22 Mei.
Yee dihantar pulang ke Singapura dan didakwa pada Mac lalu, sekitar 10 tahun selepas meninggalkan negara ini untuk ke Amerika Syarikat.
Ini bukan kali pertama Yee diserang.
Pada 2015, dia ditampar di luar Mahkamah Negara oleh seorang lelaki. Rakaman video kejadian itu turut menjadi tular di media sosial.
Pelakunya, Encik Neo Gim Huah, dijatuhi hukuman penjara tiga minggu selepas hakim memutuskan hukuman penjara perlu dikenakan untuk menegaskan bahawa tindakan membuat pengadilan sendiri tidak boleh diterima sama sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.