Remaja didakwa bunuh bapa sendiri direman buat tempoh lanjut
Pada masa yang sama, mahkamah menolak permintaan peguam bela bagi mendapat akses untuk bertemu dengan Sylesnar Seah Jie Kai, 19 tahun, sebelum siasatan polis selesai dijalankan.
Seah didakwa di mahkamah pada Rabu (12 Okt) atas tuduhan membunuh bapanya, Eddie Seah Wee Teck, 47 tahun, di antara tingkat empat dengan lima Blok 653 Yishun Avenue 4 pada 10 Oktober lalu.
Kertas pertuduhan bagi kesalahan membunuh itu tidak menyatakan bagaimana kematian Eddie Seah berlaku.
Peguam bela Sunil Sudheesan mengemukakan tiga permohonan untuk mendapatkan akses kepada anak guamnya pada Rabu ketika Seah didakwa buat pertama kalinya. Beliau sebaliknya diminta supaya memfailkan penyerahan bertulis dan kembali pada keesokan harinya.
Sementara itu, pada Khamis, dua timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes meminta Hakim Daerah Terence Tay supaya membenarkan mereka untuk menahan reman tertuduh lebih lanjut selama tujuh hari.
Pihak pendakwaan menyatakan siasatan polis terhadap "kesalahan membunuh yang amat serius" baru memasuki hari ketiga memandangkan Seah diberkas pada lewat petang Isnin.
Beliau menambah undang-undang jelas menyatakan bahawa seorang tertuduh akan diberikan akses kepada peguam bela "dalam tempoh waktu yang munasabah". Apa yang dianggap "munasabah", terang beliau, mengambil dalam pertimbangan siasatan polis serta prosedur-prosedur yang diperlukan.
Kes akan dibicarakan lagi pada 20 Oktober.
Jika didapati bersalah atas tuduhan membunuh, remaja itu boleh dijatuhi hukuman mati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.