Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja diberkas semasa cuba jual vape kepada budak lelaki 13 tahun: HSA

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang remaja 18 tahun diberkas pada Isnin (27 Nov) oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) semasa dia cuba menjual vape kepada seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.

HSA menerima maklumat bahawa remaja 18 tahun itu sering kelihatan menjual vape di sebuah taman permainan di Toa Payoh.

Setelah ditangkap, para pegawai HSA menggeledah rumahnya di Toa Payoh dan menjumpai lebih 700 vape dan komponen lain yang berkaitan dengan anggaran nilai S$15,400.

Produk-produk itu dirampas dan remaja berkenaan sedang membantu siasatan HSA.

"HSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan tegas ke atas sesiapa yang menjalankan kegiatan haram seperti menjual vape yang diharamkan kepada orang awam, terutama sekali kepada remaja dan pelajar," tegas HSA.

Perbuatan mengimport, mengedar atau menjual vape dan komponen berkaitan adalah haram. Pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga enam bulan, dikenakan denda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh dikenakan hukuman dua kali ganda.

Mereka yang memiliki, menggunakan atau membeli vape juga boleh didenda sehingga S$2,000.

Seorang lelaki dikenakan denda S$13,700 pada November apabila ratusan vape dan pod dijumpai di tempat kerjanya di cawangan Harvey Norman di pusat beli-belah West Mall.
Lelaki itu diberkas pada Januari selepas para pegawai HSA menerima maklumat mengenai penjualan vape kepada para pelajar di kawasan tersebut.

Tahun lalu, 800 pelajar dari sekolah-sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) ditangkap menghisap vape dan dirujuk kepada HSA, menurut Menteri Kedua Pendidikan Maliki Osman pada Oktober.

Menghisap vape mungkin isu yang kurang dikesan dalam kalangan para pelajar, tambah beliau.

Jumlah orang yang ditangkap menghisap vape semakin meningkat. Sebanyak 4,916 prang diberkas atas kesalahan itu pada 2022, berbanding 4,697 pada tahun sebelumnya dan 1,266 pada 2020, menurut perangkaan HSA.
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan