Skip to main content

Singapura

Remaja diarah jalani latihan pemulihan sekurang-kurangnya 12 bulan kerana edar Kpods, tendang wanita 84 tahun

Seorang remaja yang melakukan beberapa kesalahan termasuk mengedar Kpods dan menendang seorang wanita berusia 84 tahun yang berkerusi roda dijatuhi hukuman latihan pemulihan selama sekurang-kurangnya 12 bulan pada Isnin (7 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja diarah jalani latihan pemulihan sekurang-kurangnya 12 bulan kerana edar Kpods, tendang wanita 84 tahun

Gambar fail pod rokok elektronik. (Gambar: iStock/Yaroslav Litun)

Diterbitkan : 07 Sep 2026 10:53PM Dikemas Kini : 07 Sep 2026 11:33PM
  • Seorang remaja lelaki di Singapura dijatuhi hukuman latihan pemulihan sekurang-kurangnya 12 bulan atas tujuh kesalahan termasuk mengedar etomidate dan menyerang wanita warga emas.
  • Remaja itu juga terlibat dalam pengubahan wang haram dengan mengeluarkan wang daripada akaun bank yang dikompromi, serta memandu kereta tanpa lesen dan COE.
  • Kesalahan dilakukan antara Februari hingga Oktober 2025 di beberapa lokasi seperti Ang Mo Kio dan Pusat Pemeriksaan Woodlands, dan dia pernah melanggar perintah probesyen sebelum ini.
  • Mahkamah menangguhkan hukuman sehingga keputusan peperiksaan dikeluarkan, dan remaja itu dilarang memiliki lesen memandu selama dua tahun selepas dibebaskan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang remaja yang melakukan beberapa kesalahan termasuk mengedar Kpods dan menendang seorang wanita berusia 84 tahun yang berkerusi roda dijatuhi hukuman latihan pemulihan selama sekurang-kurangnya 12 bulan pada Isnin (7 Sep).

Dia mengaku bersalah atas tujuh tuduhan termasuk mengedar etomidate dan memindahkan manfaat daripada kegiatan jenayah.

17 tuduhan lain diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Remaja itu tidak boleh dinamakan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda kerana dia berusia di bawah 18 tahun ketika melakukan sebahagian kesalahan tersebut.

Mahkamah sebelum ini mengarahkan laporan sebelum hukuman disediakan bagi menilai kesesuaiannya menjalani latihan pemulihan.

Timbalan Pendakwa Raya Ernest Goh dalam hujahan bertulis menyifatkan kesalahan remaja itu sebagai "amat serius".

Menurut pihak pendakwaan, dia melakukan sejumlah besar kesalahan antara 28 Februari hingga 16 Oktober 2025, termasuk ketika dibebaskan dengan ikat jamin.

Pihak pendakwaan turut menyatakan remaja itu pernah melanggar perintah probesyen dan kemudian ditahan di Singapore Boys' Home.

Dia melakukan kesalahan sekali lagi kurang setahun selepas dibebaskan.

Hakim Daerah Kamala Ponnampalam pada Isnin berkata remaja itu memerlukan campur tangan khusus dan didapati sihat dari segi fizikal dan mental untuk menjalani latihan pemulihan.

Dia juga dilarang memiliki atau mendapatkan sebarang kelas lesen memandu selama dua tahun selepas dibebaskan.

124 POD MENGANDUNGI ETOMIDATE

Menurut dokumen mahkamah, remaja itu tidak pernah memiliki lesen memandu yang membenarkannya memandu kenderaan bermotor.

Namun, dia membeli sebuah "kereta hantu" dengan harga S$2,500 selepas melihat iklan di Telegram.

"Kereta hantu" merujuk kepada kereta tanpa Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang sah.

Pendaftaran kereta tersebut di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya sudah dibatalkan pada 31 Ogos 2025.

Remaja itu memandu kereta tersebut sekurang-kurangnya enam kali.

Pada sekitar 10.00 malam 15 Oktober 2025, selepas mengambil etomidate, dia memandu ke Ang Mo Kio untuk mengambil teman wanitanya yang ketika itu berusia 16 tahun.

Selepas keluar dari Ekspreswe Bukit Timah (BKE) berhampiran Pusat Pemeriksaan Woodlands, dia secara tidak sengaja memasuki jalan menuju ke pusat pemeriksaan itu.

Ketika pemeriksaan kenderaan dilakukan selepas tengah malam, para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menemui 124 pod rokok elektronik mengandungi cecair, selain beberapa rokok elektronik dan pod lain.

Ujian kemudian mendapati kesemua 124 pod itu mengandungi etomidate.

Remaja tersebut berhasrat menjual setiap pod pada harga S$75, dengan nilai keseluruhan di pasaran sekitar S$9,300.

Dia kemudian ditangkap pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Ujian air kencingnya turut didapati positif bagi etomidate.

JADI PENGHANTAR KUMPULAN PENGUBAHAN WANG HARAM

Dalam kes berasingan sekitar April 2025, remaja itu berkenalan dengan seorang individu tidak dikenali yang menggunakan nama "John Wick" menerusi Telegram.

Individu itu memberitahunya bahawa sebuah kumpulan dari luar negara memerlukan penghantar untuk mengeluarkan wang tunai daripada mesin ATM di Singapura sebagai sebahagian kegiatan pengubahan wang haram.

Remaja itu ditawarkan komisyen sehingga S$2,000 bagi setiap S$100,000 yang dikeluarkan dan bersetuju melakukan tugas tersebut.

Dia kemudian menggunakan sebuah aplikasi telefon untuk mengakses butiran akaun bank yang sudah dikompromi dan mengeluarkan wang daripada mesin ATM.

Antara 3 hingga 4 April 2025, remaja itu bersama seorang rakannya mengeluarkan sejumlah S$19,000 daripada enam akaun UOB tanpa kebenaran pemilik akaun.

Remaja itu menerima sekitar S$750 bagi peranannya dan memberikan S$250 kepada rakannya.

TENDANG WANITA 84 TAHUN

Dalam satu lagi kejadian pada 7 Mei 2025, remaja itu menghampiri seorang wanita berusia 84 tahun yang berkerusi roda dan anak perempuannya yang berusia 60 tahun.

Dia meminta mereka menghantarnya pulang.

Apabila permintaannya ditolak, remaja itu menjadi marah sebelum menendang kerusi roda wanita tersebut serta bahu dan kepalanya.

Mangsa mengalami lebam pada bahu, leher dan muka.

Remaja itu dijadual mula menjalani latihan pemulihan pada 22 September 2026.

Dia meminta mahkamah menangguhkan hukumannya sehingga keputusan peperiksaannya dikeluarkan pada 21 September kerana perlu memohon untuk menangguhkan pengajiannya dan hanya dapat berbuat demikian selepas mengetahui keputusan tersebut.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita