Remaja di Singapura mengaku ugut bunuh pemain bola sepak EPL Neal Maupay
Seorang remaja Singapura pada Rabu (2 Jun) mengaku mengganggu pemain bola sepak Liga Perdana England, Neal Maupay, dengan mengancam untuk membunuhnya serta keluarga penyerang dengan Brighton & Hove Albion itu.
SINGAPURA: Seorang remaja Singapura pada Rabu (2 Jun) mengaku mengganggu pemain bola sepak Liga Perdana England, Neal Maupay, dengan mengancam untuk membunuhnya serta keluarga penyerang dengan Brighton & Hove Albion itu.
Menurut dokumen mahkamah, Derek Ng De Ren, 19 tahun, mengirim ugutan itu melalui Instagram ketika berada di Singapura.
Mahkamah diberitahu bahawa Ng, pelajar maktab rendah, menonton perlawanan antara Arsenal dan Brighton di televisyen sekitar 10 malam pada 20 Jun tahun lalu.
Mesej itu dikirimkan sebanyak empat kali, setelah Ng marah apabila penjaga gawang Arsenal, Bernd Leno mengalami kecederaan lutut yang serius setelah bergelut dengan Maupay dan dibawa keluar padang.
Arsenal kemudiannya kalah 1-2 dalam perlawanan itu.
Ng mengaku bersalah atas dua tuduhan di bawah Akta Perlindungan dari Gangguan, sementara dua tuduhan lain akan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman pada 7 Jul.
Pada malam 24 Jun, empat hari selepas pertandingan itu, Ng mengirim mesej kepada pemain Perancis itu dengan berkata: "Kau fikir kau akan terlepas kerana mencederakan Leno? Tidak mungkin...
"Tapi jangan bimbang kau akan selamat kau tidak akan terluka. Lebih seronok tengok kau rasa sakit apabila orang tersayang kau menderita."
Keesokan harinya, Ng menghantar satu mesej lain yang mengandungi kata-kata kesat.
Pada awal pagi 26 Jun, dia juga menghantar Maupay mesej yang berbunyi: "Keluarga kau akan diserang nanti, tunggu nanti."
Dia kemudian mengirim mesej lagi pada 1 Jul: "Kau fikir dengan melaporkan akaun aku, kau selamat? Aku akan bunuh kau dan keluarga kau."
Ng menggunakan "kata-kata yang mengancam dengan niat untuk menimbulkan keresahan" kepada Maupay, menurut kertas pertuduhannya.
MUNGKIN DIKENAKAN PROBESEN, LATIHAN PEMULIHAN
Semasa prosiding pada Rabu, Hakim Daerah May Mesenas meminta laporan untuk menilai sama ada Ng sesuai bagi probesen atau latihan pemulihan.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Jeremy Bin kes itu adalah "sebahagian daripada trend tingkah laku menyinggung yang nyata dan meningkat, memanfaatkan teknologi untuk menyebabkan bahaya psikologi yang jauh kepada mangsa tanpa takut akan kesannya”.
Ancaman Ng tambah beliau bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan dan dia dapat menyebabkan bahaya kepada Maupay yang berada kira-kira 10,000 km dari sini.
Peguam Ng Mark Yeo berhujah bahawa hanya laporan probesen yang diperlukan pada ketika ini.
“Kami sedar kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh bukannya ringan. Namun ia tidak begitu serius sehingga memerlukan laporan latihan pemulihan, ” katanya.
Hakim tidak setuju dan mengarahkan agar Ng direman selama tujuh hari, sehingga laporan latihan pemulihan dapat disiapkan.
Arahan probesen biasanya ditawarkan kepada pesalah kali pertama berusia antara 16 dan 21 tahun, dan sabitan jenayah tidak direkodkan.
Latihan pemulihan, bagi pesalah muda yang melakukan jenayah yang agak serius, adalah hukuman yang lebih berat.
Pesalah dewasa yang didapati bersalah menggunakan kata-kata yang mengancam boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.