Remaja di bawah tahanan ISA dibebaskan atas arahan sekatan
Seorang pelajar, yang ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyokong ISIS, dibebaskan atas Arahan Sekatan (RO) pada bulan ini.
Ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri di Singapura. (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Seorang pelajar, yang ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyokong ISIS, dibebaskan atas Arahan Sekatan (RO) pada bulan ini.
Sejak itu, dia sudahpun mendaftarkan diri bagi kelas-kelas di sebuah institusi posmenengah.
Remaja berkenaan dibebaskan pada Januari setelah menunjukkan "kemajuan baik" dalam pemulihan, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) hari ini (24 Jan).
Dia ditahan di bawah ISA pada Januari 2020 pada usia 17 tahun setelah menjadi radikal kerana terpengaruh oleh seorang "kenalan asing secara online", menurut ISD.
Remaja itu bersedia untuk membantu ISIS dalam kegiatan keganasannya termasuk usaha proproganda online kumpulan tersebut, tambah ISD.
Dia juga "taksub kepada fahaman tegar ISIS sekalipun selepas ISIS tumpas dalam usaha untuk mewujudkan khilafah di Syria dan Iraq".
PEMULIHAN KEAGAMAAN
Semasa penahanannya, remaja itu - yang identitinya tidak boleh didedahkan - didampingi seorang pakar psikologi untuk mengurangkan pendedahannya kepada pengaruh radikal, menurut ISD.
Dia juga menjalani sesi bulanan bersama seorang kaunselor keagamaan daripada Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
Kaunselor itu membantu meningkatkan pengetahuan agama remaja berkenaan dan "memperbetulkan kepercayaannya yang terpesong dalam ideologi radikal yang diserapnya" daripada propaganda ISIS, menurut ISD.
Dalam proses itu, remaja berkenaan "menghargai konteks berbilang kaum dan agama Singapura", menurut jabatan tersebut.
ANTARA "YANG TERPILIH"
Remaja itu berumur 15 tahun ketika dia pertama kali disiasat oleh ISD pada September 2017.
Dia disiasat kerana memuat naik gambar-gambar Presiden Halimah Yacob yang sudahpun diconteng ke media sosial dan "menyeru ISIS di Iraq serta Syria untuk memenggal kepala beliau", menurut ISD.
Para penyiasat ketika itu mendapati dia menjadi radikal dek propaganda yang menyokong ISIS di wadah serta kumpulan media sosial. Remaja itu diperkenalkan kepada sumber-sumber tersebut oleh seseorang yang dikenalinya secara online.
Remaja itu "berasa bangga bahawa dia diberikan akses kepada apa yang dianggapnya sebagai kandungan eksklusif ISIS dalam sebuah wadah sembang privet", menurut ISD dalam kenyataan media sebelum ini.
“Dia melihatnya dirinya sebagai 'cool' serta antara 'yang terpilih' dan ini meningkatkan daya keyakinannnya serta rasa kekitaan."
Dia kemudian menjadi yakin bahawa tindakan ISIS adalah "benar" dan para anggotanya adalah "Muslim sebenar" dan "tentera Islam sebenar", tambah ISD.
Menurut jabatan itu, remaja berkenaan tidak ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ketika itu kerana usianya dan penilaian bahawa dia tidak akan menimbulkan ancaman yang nyata.
Dia menjalani kaunseling dan "usaha dijalankan untuk membawanya kembali ke pangkal jalan" namun dia tetap taksub dalam sokongannya kepada ISIS sekalipun setelah usaha-usaha tersebut dilakukan, menurut ISD.
Akhirnya, dia ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada Januari 2020.
TERUSKAN PENDIDIKAN
Sewaktu penahanannya, aturan dibuat agar remaja berkenaan meneruskan pelajarannya dan menduduki peperiksaan kebangsaan. Ini bagi memastikan dia boleh berintegrasi semula dengan masyarakat apabila dibebaskan, jelas ISD.
Jabatan itu bekerjasama dengan sekolah remaja berkenaan dan dia juga menerima sokongan pengajaran meluas daripada para relawan RRG yang juga guru-guru terlatih Kementerian Pendidikan (MOE).
Dia meraih empat kepujian dalam peperiksan GCE Peringkat Normal (Teknikal) pada 2020 dan lulus semua subjek dalam peperiksan GCE Peringkat Normal (Akademik) tahun lalu.
Sejak dibebaskan atas arahan sekatan pada awal bulan ini remaja itu sudahpun berdaftar bagi satu kursus di sebuah institusi posmenengah, menurut ISD.
Arahan sekatan memerlukan remaja berkenaan untuk mematuhi beberapa syarat dan sekatan seperti tidak menukar tempat tinggal mahupun pekerjaan atau membuat perjalanan ke luar negara tanpa kelulusan pengarah ISD.
Dia juga perlu mendapatkan kelulusan pengarah ISD untuk mengakses Internet mahupun media sosial, mengeluarkan kenyataan awam, mengulas tentang mesyuarat terbuka atau mencetak, mengedarkan, menyumbang kepada mana-mana penerbitan dan memegang jawatan atau menjadi anggota dalam sebarang pertubuhan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.