Skip to main content

Singapura

Remaja berpakaian ala Arab 'bantu siasatan polis'

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja berpakaian ala Arab 'bantu siasatan polis'

(Gambar: Tangkapan skrin video di Reddit)

Diterbitkan : 23 Jul 2022 09:48AM Dikemas Kini : 23 Jul 2022 09:49AM

SINGAPURA: Seorang pelajar lelaki Maktab Rendah Yishun-Innova (YIJC) terlibat dalam siasatan polis setelah rakaman video di bilik darjah institusi tinggi itu menunjukkan lakonan yang berunsur perkauman dan memaparkan stereotaip negatif. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Jumaat (22 Jul), Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan ia sedia maklum mengenai video yang menonjolkan "perbuatan nakal seorang pelajar" dari YIJC. 

"Pelajar itu sedang bekerjasama dalam siasatan polis." 

Video itu tersebar di Reddit, TikTok dan akaun Instagram Wake Up, Singapore. 

Dalam video tersebut, seorang pelajar dilihat memakai pakaian tradisional lelaki Arab, dilengkapi dengan kufiya. 

Para pelajar dilihat merakam apa yang sedang berlaku atau bersiap sedia untuk merakam lakonan yang dilakukan di dalam bilik darjah. 

Dalam sebuah bilik darjah, pelajar yang berpakaian ala Arab itu meletakkan tangan pada bahagian dada seorang lagi pelajar yang sedang melutut dan memakai penutup kepala berwarna hitam - seakan-akan pelaksanaan hukuman mati. 

Pelajar yang berpakaian Arab itu kemudian melompat lalu lari meninggalkan bilik darjah tersebut. 

Dia kemudian memasuki dua lagi bilik darjah, setiap kali dengan seorang lagi memakai penutup kepala berwarna hitam dan sedang melutut. Pelajar yang berpakaian Arab itu kemudian dilihat segera meninggalkan sebuah beg galas hitam dan "melarikan diri" dari bilik darjah tersebut. 

Di dua lagi bilik darjah, dia masuk seorang diri dan meninggalkan beg galas tersebut sebelum bergegas keluar. 

Dalam rakaman video selama 28 saat yang tersebar luas tertera mesej yang berbunyi: "Ini melampaui batas... pelajar JC berbuat sedemikian pada Hari Keharmonian Kaum." 

MOE bagaimanapun tidak memberi sebarang respons  apabila ditanya tarikh rakaman video tersebut. 

MOE menyatakan: "YIJC sudah menasihatkan pelajar tersebut agar dia memahami bahawa kelakuannya itu tidak sesuai, dan sensitiviti harus diamalkan dalam konteks Singapura yang berbilang kaum dan agama." 

Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan pada Jumaat malam (22 Jul): "Polis mengesahkan bahawa aduan dibuat. Seorang remaja lelaki sedang membantu dalam siasatan polis."

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita