Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja belanja sakan dengan kad debit yang ditemui di stesen LRT, dikenakan probesen

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang remaja, yang terjumpa kad debit di sebuah stesen LRT dan menggunakannya untuk berbelanja dengan rakannya, dikenakan probesen selama 18 bulan pada Khamis (12 Okt). 

Nama remaja lelaki berkenaan dan rakan yang bersubahat dengannya tidak boleh didedahkan kerana dia berusia bawah 18 tahun ketika kesalahan dilakukan dan identitinya dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda.

Remaja lelaki itu mengaku bersalah atas satu tuduhan bersubahat untuk menipu, dengan tiga lagi pertuduhan diambil kira. 

Mahkamah diberitahu bahawa remaja berusia 17 tahun itu terjumpa kad debit DBS berkenaan di mesin EZ-Link di Stesen LRT Kadaloor di Punggol pada 28 Mac tahun lalu. 

Dia pertama kali menggunakan kad tersebut untuk menokok S$20 dalam kad EZ-Link miliknya. Apabila dia menyedari bahawa urus niaga tersebut berjaya dilaksanakan, dia kemudian menokok lagi S$50 dalam kadnya itu. 

Remaja lelaki itu kemudian mengambil gambar kad debit berkenaan dan menghantarnya kepada rakannya yang berusia 16 tahun, sambil memberitahu bahawa kad tersebut boleh digunakan dan mengajak rakannya itu untuk meluangkan masa dengannya. 

Kedua-dua remaja tersebut berjumpa selama dua hari pada 28 Mac dan 29 Mac tahun lalu dan memutuskan untuk menggunakan kad tersebut bagi membeli barangan untuk diri mereka.

Antara barangan yang dibeli mereka termasuk jam Apple berharga S$459, gelang Pandora Jewelry bernilai S$159, pakaian berjumlah kira-kira S$179 dari Cotton On serta makanan dan minuman. 

Secara keseluruhannya, kedua-dua mereka menghabiskan hampir S$1,200, dengan menggunakan kad mangsa sebanyak 18 kali.

Selain probesen selama 18 bulan yang dijatuhkan ke atasnya pada Khamis, pesalah terbabit perlu melakukan kerja khidmat masyarakat selama 100 jam. 

Dia juga akan diletakkan di bawah skim pemantauan elektronik selama enam bulan atau sehingga dia menjalani Perkhidmatan Negara, bergantung kepada yang mana lebih awal. 

Probesennya akan disemak semula dalam enam bulan dan neneknya membayar ikat jamin S$5,000 bagi memastikan tingkah lakunya baik semasa menjalani probesen.

Rakan subahatnya pula dijangka mengaku bersalah, menurut kertas mahkamah. 

Hukuman bagi kesalahan menipu adalah penjara sehingga 10 tahun dan denda. 

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan