Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja bawah umur belajar memandu di YouTube, sewa kereta secara haram guna nama bapa

Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun belajar cara memandu di YouTube dan menggunakan nama bapanya secara haram untuk menyewa kereta menerusi satu khidmat perkongsian kereta.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun belajar cara memandu di YouTube dan menggunakan nama bapanya secara haram untuk menyewa kereta menerusi satu khidmat perkongsian kereta.

Remaja berkenaan, kini berusia 19 tahun, mengaku bersalah hari ini (17 Jan) atas satu tuduhan menipu dengan menyamar dan satu lagi tuduhan memandu di bawah umur. Dua tuduhan lain dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Nama lelaki itu tidak boleh didedahkan kerana dia berusia bawah 18 tahun ketika melakukan kesalahan tersebut dan dilindungi di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda.

Mahkamah diberitahu remaja itu memohon satu akaun Tribecar atas nama bapanya sekitar 24 September 2020. Dia menyerahkan butiran bapanya dan memuat naik gambar-gambar NRIC serta lesen memandu beliau.

Permohonan itu berjaya dan remaja tersebut mendapat akses ke sebuah akaun Tribecar atas nama bapanya, seorang lelaki berusia 56 tahun.

Antara 24 September 2020 dengan 7 Oktober 2020, remaja itu menyewa kereta menggunakan akaun bapanya sebanyak lapan kali dan membayar sewa itu sendiri. Dia biasanya memandu kereta itu pada waktu awal pagi, antara 12.00 tengah malam hingga 8.00 pagi.

Pada pagi 7 Oktober 2020, remaja itu sedang membawa dua penumpang menaiki kereta apabila dia ditahan polis yang mengadakan sekatan jalan raya di Ekspreswe Tengah (CTE). Ketika pemeriksaan, polis meminta lesen memandunya.

Dua penumpang tersebut tidak tahu bahawa remaja berkenaan baru berusia 17 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Usia sah untuk memohon bagi lesen memandu di Singapura adalah 18 tahun.

Remaja tersebut ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan menipu dan jenayah di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya.

Dia mengaku memandu kenderaan yang disewa untuk kesemua lapan kali walaupun berusia bawah umur. Dia menambah dia menimba kemahiran memandu di YouTube.

Hakim meminta satu laporan kesesuaian probesen bagi remaja berkenaan dan menangguhkan hukuman kepada Mac.

Hukuman bagi menipu dengan menyamar adalah penjara tidak melebihi lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan memandu bawah umur, pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan