Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja Australia disiasat atas kegiatan berkait pengganasan dihalang masuk SG pada Okt: MHA

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja Australia disiasat atas kegiatan berkait pengganasan dihalang masuk SG pada Okt: MHA

(Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 12 Nov 2024 09:42PM Dikemas Kini : 13 Nov 2024 12:25AM
SINGAPURA: Seorang remaja warga Australia yang sedang disiasat atas kegiatan berkaitan pengganasan dilarang memasuki Singapura pada Oktober, dedah Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Selasa (12 Nov).

Remaja 17 tahun itu tiba dari Melbourne, Australia bersama empat anggota keluarganya pada 24 Oktober. Dia kemudian disoal siasat dan diperiksa.

Dalam respons kepada soalan Mediacorp, MHA menyatakan remaja tersebut sebelum ini disiasat pihak berkuasa Australia atas aktiviti radikalisasi dan berkaitan pengganasan pada 2021.

Dia dilaporkan tertarik dengan kumpulan ISIS dan pernah meluahkan keinginan untuk melancarkan serangan tembakan di sekolah.

"Dia juga mengkaji cara untuk membuat bom dan bercakap dengan individu-individu lain yang berfikiran sepertinya," dedah MHA.

"Disebabkan kejadian yang berlaku sebelum ini berkaitan dengan pengganasan, pemuda itu dilarang memasuki Singapura, dan dihantar pulang ke Melbourne bersama anggota keluarga yang menemaninya."

MHA menyatakan anggota keluarga remaja itu yang lain diberi pilihan untuk memasuki Singapura. Walau bagaimanapun, mereka memutuskan untuk pulang ke Melbourne bersamanya dan menaiki penerbangan terawal seterusnya ke Melbourne pada 25 Oktober.

Sementara menunggu penerbangan tersebut, mereka sekeluarga diiringi ke bilik tahanan.

"Atas sebab-sebab keselamatan berdasarkan protokol sedia ada, barang peribadi dan bagasi mereka diserahkan untuk disimpan, termasuk mengeluarkan tali kasut untuk mencegah sebarang bahaya yang boleh menimpa diri mereka atau orang lain.

"Keluarga itu ditempatkan dalam bilik berasingan, berdasarkan jantina, yang terang dan dipantau oleh kamera CCTV untuk memastikan keselamatan semua orang di dalam bilik tahanan itu," tambah MHA.

Kementerian tersebut menyatakan bahawa mereka diberi akses kepada kemudahan seperti makanan, minuman dan bilik air, dan dibenarkan untuk berkumpul ketika waktu makan dan berinteraksi dengan satu sama lain di ruang yang dikongsi khas pada tempoh masa yang dibenarkan.

Akhbar The Guardian melaporkan pada 4 November bahawa remaja tersebut, yang menghidap autisme, dan dua adik-beradiknya yang masih di sekolah rendah, ditahan semalaman di lapangan terbang, di dalam bilik dengan "lebih puluhan tahanan lain".

Bapa kepada remaja itu dinukil berkata bahawa layanan diberi tidak "adil" mahupun "berperikemanusiaan", dan keadaan kemudahan di bilik tahanan itu sangat teruk.

Remaja tersebut, yang dikenali dengan nama samaran Thomas Carrick, berusia 13 tahun ketika dia disiasat pihak berkuasa Australia. Dia kemudian dibebaskan dari sebarang kesalahan jenayah.

Dalam satu laporan pada 14 Februari oleh penyiar Australia, ABC News, Polis Persekutuan Australia juga mempertahankan operasi rahsianya yang didapati membuat remaja itu lebih radikal.

Operasi tersebut dilaporkan melibatkan seorang pegawai yang menyamar, dan menyasar remaja itu dengan mengatakan bahawa dia boleh menjadi penembak tepat atau pengebom nekad yang hebat.

Dalam kenyataannya, MHA menyatakan bahawa kemasukan pelawat ke Singapura bukan automatik ataupun satu hak.

MHA menambah bahawa pemerintah Singapura memandang serius terhadap sesiapa sahaja yang menyokong, atau terlibat dalam keganasan atau pengganasan, dan bekerjasama rapat dengan rakan antarabangsanya untuk memastikan negara ini selamat.

Kira-kira 2,500 pengunjung tidak dibenarkan masuk ke Singapura setiap bulan atas pelbagai sebab.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan