Skip to main content

Singapura

Remaja angkat bicara tentang bekerja sebagai penghantar makanan Foodpanda

Bagaimana jika anak anda bertanya sekiranya dia boleh menjadi seorang penghantar makanan kelak?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sudah menjadi satu kebiasaan bagi sesetengah ibu bapa yang acap kali berkongsi tentang pekerjaan-pekerjaan yang mereka harap akan diceburi anak-anak mereka. Dari situ, kanak-kanak mula mengenali kerjaya seorang doktor, guru, peguam dan sebagainya. Kemudian pula, mereka akan berkongsi dengan teman-teman lain tentang cita-cita masing-masing.

Bagaimana pula jika anak anda bertanya sekiranya dia boleh menjadi seorang penghantar makanan kelak?

"Jangan, jangan kerja seperti ini. Pekerjaan itu untuk mereka yang tak belajar dan mereka yang baru keluar penjara," itulah jawapan seorang ibu ketika beliau dan anaknya berada di dalam sebuah lif di Causeway Point, bersama seorang penghantar makanan Foodpanda.

Semestinya, kata-kata seperti itu menyinggung perasaan seseorang yang sedang bekerja mencari sesuap nasi. Pengalaman itu dikongsi sendiri oleh penghantar makanan Foodpanda menerusi kiriman tweet di lamannya.

Luahan hati individu tersebut mendapat reaksi ramai pengguna Twitter. Lebih 1,400 pengguna mengongsi catatannya.

"Saya tidak tahu mengapa orang lain akan mempunyai pandangan seperti itu," kata pengguna Twitter, @ahmsafiyybr.

"Saya hanya 17 tahun. Saya sedang menuntut di Politeknik Singapura bagi pengajian diploma. Foodpanda hanya kerja sambilan saya untuk mendapat duit bagi perbelanjaan harian. Saya tidak ingin bergantung kepada orang tua kerana saya sedang belajar untuk berdikari dan keluarga saya pula berdepan dengan masalah kewangan," luah beliau.

Meskipun akur bahawa mungkin ada segelintir individu yang baru keluar penjara atau tidak belajar sehingga terpaksa menjadi penghantar makanan, pengguna Twitter itu berkata tanggapan itu tidak semestinya benar bagi semua pekerja syarikat khidmat penghantaran makanan.

"Malah, ramai dalam kalangan kami masih bersekolah dan ini hanya kerja sambilan. Bekerja dengan Foodpanda sesuatu yang biasa kerana kami mendapat bayaran lumayan, waktu kerjanya juga fleksibel."

Jelas, pengguna Twitter itu sangat kecewa kerana masih ada dalam kalangan masyarakat yang mempunyai tanggapan sedemikian.

"Anda mesti seseorang yang begitu angkuh sehingga menganggap penghantar makanan seperti kami sebagai sampah masyarakat," tambah beliau.

"Hargailah kami. Jangan pandang rendah dengan cara sebegitu." 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita