Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja aksi 'backflip' TikTok di Taman Haiwan S'pura kini didakwa aniaya katak

Seorang remaja berusia 19 tahun, yang dihadapkan ke mahkamah dua bulan lalu kini didakwa menganiaya katak dengan meletakkan haiwan itu di permukaan meja foosball (bola sepak meja) dan memukul bola dengan "laju dan kuat" ke arah haiwan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja aksi 'backflip' TikTok di Taman Haiwan S'pura kini didakwa aniaya katak

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 17 Sep 2021 04:22PM Dikemas Kini : 17 Sep 2021 04:24PM

SINGAPURA: Seorang remaja berusia 19 tahun, yang dihadapkan ke mahkamah dua bulan lalu kini didakwa menganiaya katak dengan meletakkan haiwan itu di permukaan meja foosball (bola sepak meja) dan memukul bola dengan "laju dan kuat" ke arah haiwan tersebut.

Ralph Wee Yi Kai, pada Julai didakwa atas tuduhan menceroboh dengan niat melakukan jenayah, selepas dengan sengaja memasuki sebuah kandang di Taman Haiwan Singapura pada 17 Disember tahun lalu dan memuat naik video melakukan aksi 'backflip' ke laman TikTok.

Wee kini didakwa dengan tuduhan sengaja menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak perlu terhadap seekor katak pada 24 Disember tahun lalu di sebuah kediaman di Sentosa Cove.

Katak itu cedera selepas ia terkena bola tersebut dan ia mati sejurus kemudian, menurut dokumen-dokumen mahkamah.

Pada Rabu (15 Sep), Wee diheret ke mahkamah di mana ikat jaminnya sebanyak S$15,000 dibatalkan. Dia kini ditahan reman di Penjara Changi.

Pendakwa polis mengusulkan agar tiada ikat jamin diberikan kepada Wee sambil menegaskan bahawa Wee sudah melanggar syarat ikat jamin apabila dia tidak menghadirkan diri bagi ujian air kencing di Biro Narkotik Pusat (CNB) yang sedang menantikan laporan tentang kemungkinan Wee menyalahgunakan dadah.

Pendakwa itu turut mendedahkan bahawa CNB tidak dapat menghubungi tertuduh. Waran tangkap dikeluarkan terhadap Wee pada Isnin.

Wee akan kembali ke mahkamah pada 13 Oktober.

Dia kini berdepan dengan lima tuduhan secara keseluruhannya - satu tuduhan menceroboh dengan niat melakukan jenayah, tiga tuduhan berasingan melibatkan perbuatan nakal dan merosakkan harta benda awam dan satu tuduhan menyebabkan kesakitan dan penderitaan pada seekor katak.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana melakukan kesalahan terakhir itu boleh dihukum penjara sehingga 1.5 tahun atau didenda sehingga S$15,000 atau kedua-duanya sekali.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan