Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 19 tahun didakwa rogol adik perempuannya

Seorang remaja berumur 19 tahun didakwa pada Rabu (2 Mac) atas tuduhan merogol adik perempuannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 19 tahun didakwa rogol adik perempuannya

Gambar fail: TODAYonline

Diterbitkan : 02 Mar 2022 04:56PM Dikemas Kini : 02 Mar 2022 04:56PM

SINGAPURA: Seorang remaja berumur 19 tahun didakwa pada Rabu (2 Mac) atas tuduhan merogol adik perempuannya.

Dia didakwa atas dua tuduhan merogol, dua tuduhan serangan seksual, satu tuduhan cuba merogol dan dua tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada mangsa.

Tertuduh adalah seorang pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE). Nama tertuduh dan mangsa tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah demi melindungi identiti mereka.

Mahkamah daerah diberitahu bahawa serangan seksual itu dipercayai bermula pada 2017 ketika mangsa berusia lapan tahun.

Tertuduh disyaki melakukan serangan seksual ke atas adik perempuannya itu sebanyak dua kali pada tahun tersebut. Pada Februari 2017, dia didakwa cuba merogol mangsa.

Sekitar Januari 2020, apabila mangsa berumur 11 tahun, tertuduh dipercayai merogol adiknya sebanyak dua kali.

Dia juga dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada adik perempuannya dengan memukul mukanya pada Oktober 2017, menyebabkan bahagian tubuh tersebut lebam, dan memukul kepalanya dengan kayu sehingga berdarah.

Mangsa kini di bawah jagaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Ibu bapa adik-beradik itu berada di mahkamah pada pagi Rabu. Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak S$50,000.

Bagi setiap tuduhan merogol, remaja itu boleh dipenjara antara lapan hingga 20 tahun dan dikenakan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan rotan.

Jenayah melakukan serangan seksual juga membawa hukuman yang sama.

Jika sabit kesalahan cuba merogol, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan disebat.

Bagi setiap tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa